Sepanjang tahun 2021 jenama New Balance dilihat mengukuhkan kedudukan mereka dalam pasaran kasut atau sneakers. Malah di kalangan sneakerhead jenama New Balance kini dianggap sebagai salah satu jenama wajib perlu ada dalam koleksi mereka.
Meneruskan kecemerlangan tahun lalu, New Balance dilihat cukup agresif dan proaktif meletakkan jenama mereka terutamanya menerusi sneakers. Bersempena Tahun Baharu Cina tahun ini, New Balance turut memperkenalkan beberapa kasut menerusi koleksi yang cukup istimewa ini.
New Balance meraikan kedatangan Tahun Baru Cina dengan koleksi edisi terhad baru yang diinspirasikan daripada baris sajak ‘In Me, the Tiger Sniffs the Rose’ oleh Siegfried Sassoon dalam karyanya ‘In Me, Past, Present, Future Meet’.
Menerusi koleksi terbaru, jenama peneraju kasut dan pakaian sukan ini, ingin menggalakkan generasi muda untuk menonjolkan keberanian mereka dan pada masa yang sama, sisi lembut diri.
Dengan penuh semangat dan tenaga, New Balance memulakan Tahun Harimau dengan kasut istimewa yang menyerlahkan semangat berani harimau melalui rekaan menarik dan menonjol dalam koleksi ini. Koleksi Tahun Baru Cina daripada New Balance menampilkan rekaan rangkaian model popular 57/40 dan 327 serta rekaan XC-72.
Koleksi 327 didatangkan dalam warna hitam dan perang yang dihiasi tona merah yang melambangkan keberanian dan kecekalan.
Manakala koleksi 57/40 boleh didapati dengan warna biru gelap dan dihiasi tona merah jambu dan hijau yang melambangkan ketelitian. Koleksi 327 dijual pada harga RM499 dan 57/40 pada RM519.
Bagi koleksi XC-72, rekaannya bertujuan menggabungkan keindahan dan elemen hutan belantara melalui padanan warna tanah dan belang harimau, seterusnya menggalakkan si pemakai untuk menjadi lebih bersemangat dan berani.
Ia turut menampilkan bahan ‘retro suede’ yang lembut untuk menampakkan tekstur organik. Siri XC-72 dijual pada harga RM539.
Koleksi terbaru New Balance boleh didapati secara eksklusif di 3 rangkaian utama New Balance: Pavilion KL, Mid Valley Megamall dan Mid Valley Southkey. Koleksi ini dtawarkan untuk waktu yang terhad.
Buat anda yang ingin tampil dengan gaya tersendiri bolehlah mendapatkan koleksi ini di pasaran sekarang.