Kisah Kesetiaan Pemain Morocco, Achraf Hakimi Terhadap Ibunya Tarik Perhatian Ramai

Share

Tidak lengkap rasanya kejohanan berprestij seperti Piala Dunia tanpa kisah luar biasa yang ditonjolkan pasukan dianggap bukan pilihan atau underdog.

Piala Dunia 2022 Qatar telah menyaksikan pelbagai kejutan demi kejutan. Bermula dengan kemenangan Arab Saudi ke atas Argentina dan juga bagaimana pasukan Jepun dan Korea Selatan menumpaskan lawan yang namanya lebih gah di persada dunia.

Semalam satu lagu keputusan mengejutkan telah disaksikan dunia pada perlawanan peringat pusingan 16 kalah mati. Sebagai pasukan bukan pilihan Morocco tidak diberikan harapan untuk menewaskan pasukan gergasi Eropah, Sepanyol.

Foto: AFP

Namun selepas mengharungi 90 minit masa sebenar dan 30 minit tambahan masa perlawanan berkesudahan tanpa jaringan. Lalu menyaksikan ia diheret ke pentuan penalti.

Sebelum itu, Morocco telah menonjolkan persembahan yang cukup luar biasa dengan taktikal pertahanan yang penuh disiplin dengan setiap pemain mengerahkan tenaga sepenuh hati demi negara mereka tercinta.

Pada penentuan sepakan penalti, selepas Sepanyol gagal tiga sepakan tiba masa untuk pemain bintang mereka, Achraf Hakimi yang juga merupakan pemain kelab gergasi Perancis, PSG.

Tindakannya menjaringkan penalti dengan gaya ‘panenka’ mengejutkan ramai pihak terutamanya di saat-saat genting pasukannya memerlukan jaringan. Ternyata hanya yang berani dan berkeyakinan tinggi sahaja melakukannya.

ANAK SEORANG IMGRAN

Ironinya, Achraf Hakimi merupakan anak imigran yang dilahirkan di Madrid, Sepanyol. Dia dikenali ramai sebagai seorang anak yang cukup taat kepada ibu bapanya. Malah selepas perlawanan semalam lensa kamera sempat menangkap reaksinya yang mendapatkan ibunya di tempat duduk penonton.

Pemain full back yang diberi nama jolokan ‘Arra’ berbakat besar ini lahir pada 4 November 1998 di kota Madrid, Sepanyol. Dia merupakan anak sulung dari tiga orang adik-beradik.

Kedua ibu bapanya berhijrah ke Sepanyol sebelum dia dilahirkan demi mencari sebuah kehidupan yang lebih baik. Walaupun lahir di kota besar Eropah, Achraf tetap setia dengan budaya negara asal keluarganya.

Bersama kedua orang tuanya

Membesar di Getafe di kawasan Selatan Madrid, Achraf merupakan seorang kanak-kanak yang sangat aktif terutamanya dalam bidang sukan seperti olahraga dan renang.

Bapanya merupakan seorang peniaga jalanan yang pendapatannya hanya untuk kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Manakala ibunya pula seorang tukang cuci rumah.

Dalam satu temu bual bersama Bundesliga pada tahun 2018, Achraf berkata, “Ibu saya mengambil upah mencuci dan mengemaskan rumah manakala ayah pula seorang peniaga jalanan. Kami datang dari sebuah keluarga sederhana dan bergelut untuk kehidupan. Hari ini saya berjuang setiap hari untuk mereka. Mereka telah banyak berkorban untuk saya.”

PENGLIBATAN BOLA SEPAK

Penglibatannya dalam dunia bola sepak bermula dari sebuah kelab tempatan yang bakatnya kemudian dikesan oleh Real Madrid. Dia memulakan bola sepak secara srius selepas terpilih mengikuti akademi remaja Real Madrid. Pada tahun 2016 dia mula beraksi untuk Real Madrid Castilla dan kemudian berjaya lolos ke pasukan utama pada tahun berikutnya.

Achraf kemudian menyertai Borussia Dortmund secara pinjaman dan beraksi selama dua musim. Di sinilah bakatnya mula menyinar dan menjadi perhatian ramai sehingga dianggap sebagai antara pertahanan sayap terbaik di dunia.

Kariernya kemudian berpindah ke Itali bersama kelab gergasi Inter Milan Bersama kelab tersebut dia mambantu mereka menjuarai liga dan menamatkan kemarau 11 tahun. Dan kini dia berkaksi bersama salah sebuah pasukan gergasi dan terkaya di dunia, Paris Saint Germain atau PSG.

Adakah Achraf Hakimi dan pasukannya mampu mengalahkan Portugal pada peringkat suku akhir nanti? Sama-sama kita tunggu!

Published by
Farizul Izwany Ibrahim