Kisah Cinta Abadi Lionel Messi & Antonela Sejak Kecil, Hadapi Segala Dugaan Bersama

Share

Pada hari Ahad yang lalu kemuncak Piala Dunia 2022 menemui penghujungnya apabila Argentina dinobatkan sebagai juara.

Perlawanan epik di antara Argentina dan Perancis yang menyaksikan jaringan terikat dengan masing-masing menjaringkan tiga gol dan terpaksa ditentukan dengan sepakan penalti.

Selain Kylian Mbappe yang mencatatkan jaringan hatrik salah satu karakter penting di atas padan ketika itu ialah tidak lain tidak bukan pemain terbaik sepanjang zaman, Lionel Messi.

Kejayaan Messi membimbing pasukan kebangsaannya menjuarai Piala Dunia menyaksikan dia melengkapkan setiap trofi ulung yang mampu dimenangi. Ternyata status pemain terhebat sepanjang zaman itu tidak lagi boleh dipertikaikan.

PERTEMUAN AWAL

Bak kata orang setiap kejayaan seorang lelaki itu pastinya ada sosok seorang wanita yang setia mengiringinya memacu ke arah kejayaan. Selepas kejayaan terbaru Messi, ramai mengalihkan tumpuan pula kepada isterinya, Antonela.

Tahukah anda bahawa Messi dan Antonela udah mengenali satu sama lains ejak dari kecil lagi. Mereka berdua bertemu ketika di zaman kanak-kanak di bandar kelahiran mereka, Rosario, Argentina.

Memetik laporam CNN, ketika membesar Lionel Messi merupakan rakan baik kepada salah seorang lagi pemain bola sepak, Lucas Scaglia. Ketika itu, dia sering menghabiskan masa di rumah rakannya dengan harapan boleh bertemu mata dengan Antonela.

Di situlah bermulanya bibit-bibit perkenalan mereka. Pada ketika itu Antonela berusia 9 tahun. Kemudian pada usia 12 tahun, Messi mengambil langkah yang telah membuka jalan kariernya apabila berpindah ke Sepanyol menyertai Barcelona.

KASIH MESSI PADA ISTERINYA

Perpindahan Messi ke Barcelona menyaksikan mereka berdua tidak bertemu satu sama lain selama beberapa tahun. Namun kemudian bertemu semula selepas tragedi peribadi menyatukan mereka semula.

Sejak dari itu mereka tidak lagi berpisah dan pada tahun 2010, Messi telah melamar Antonela dan mereka berdua secara sah mengikat tali perkahwinan pada 30 Jun 2017.

Pasangan ini kini mempunyai tiga orang cahaya mata iaitu Thiago, 10, Mateo, 7 dan Ciro, 4 tahun.

Dalam satu temu bual bersama Marca, Messi pernah ditanya tentang apa yang dikaguminya tentang Antonela. Dia menjawab, “segalanya”.

“Dia merupakan seorang insan yang mempunyai banyak kualiti yang baik. Bagaimana dia menjalani kehidupan sehariannya, serta bagaimana dia sentiasa dalam mood yang baik. Dia juga sangat positif dalam menghadapi apa jua masalah,” jelas Messi lagi.

Kejayaan Messi mengemudi pasukannya menjadi Juara Piala Dunia 2022 turut diraikan oleh Antonela. Menerusi satu hantarannya di Instagram, Antonela melahirkan rasa bangga tidak terkira.

“Kami semua berasa bangga dengan Lionel Messi. Terima kasih kerana mengajar kita semua erti tidak putus asa dan berjuang hingga ke titisan terakhir. Akhirnya ia tercapai, kamu adalah juara dunia!”, jelasnya lagi.

Semoga kisah cinta sejati Messi dan Antonela menjadi inspirasi buat kita semua. Jangan lupa untuk subscribe YouTube MASKULIN untuk seleksi video seperti di bawah.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim