Bukan semua kehidupan di kota metropolitan sentiasa indah di mata. Melihat dari sisi baik, baiklah ia. Tetapi jika tersilap langkah atau tidak pandai menjaga diri buruk padahnya, biar pun dalam bab mencari rezeki. MASKULIN menyelami jiwa seorang lelaki yang hidup berselindung dengan dua identiti. Di kota namanya Amelia, di kampung pula dipanggil Mat Roni.
Ketika berkunjung ke panggung wayang baru-baru ini, penulis berjumpa dengan seorang lelaki yang kalau dilihat dari segi luarannya seperti seorang wanita. Bibir merah penuh seksi dengan lenggok bentuk badan, pasti menggiurkan mata lelaki yang memandang. Memang orang tidak akan perasan sedikit kalau pun ‘ wanita’ ini mengorat lelaki-lelaki yang mereka dambakan. Tanpa segan silu, penulis mendekatinya untuk mengenali siapa empunya diri.
“ Cuti sekolah ni tak balik kampung kak? Tanya penulis memulakan bicara.
“ Tak. Jawabnya sepatah. Dijelingnya penulis. Mungkin sedang berfikir siapa dan mengapa orang ini bertanya, sedangkan tidak ada kena mengena dengan dirinya. Bagi penulis, biarlah tiada respons, asalkan ada usaha untuk ‘korek rahsia’ lelaki ini berhasil.
Amelia atau nama lelakinya Mat Roni ( bukan nama sebenar) ini dahulunya bukanlah seperti yang dilihat sekarang. Dia dilahirkan dan membesar seperti budak lelaki normal lain. Namun perubahan ini berlaku setelah menginjak usia remaja. Hanya penampilan luaran saja seperti lelaki, tetapi jiwa dan nalurinya ke arah wanita.
Gelojak hati untuk berpenampilan seperti wanita terbatas sama sekali. Maklum sajalah, di kampung mana ada orang macam tu. Mungkin juga kerana menghormati keluarga dan berasa malu, Mat Roni tidak berbuat begitu. Tapi hasratnya suatu hari nanti untuk berpakaian perempuan, mengenakan solekan di wajah membuak-buak. Dan semua ini tercapai akhirnya apabila dia berpindah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan.
TAKUT NAK BALIK KAMPUNG
Sudah beberapa tahun bekerja di ibu kota, Mat Roni sekarang dapat rentak hidup yang diimpikannya selama ini. Naluri kewanitaan semakin bertambah-tambah, malah dia sudah berpakaian tak ubah seperti seorang wanita. Wajah mula ditata rias dengan solekan, lipstik merah menyala, bedak tebal melindungi wajah lelakinya selama ini. Dia gembira dengan apa yang diinginkan dulu menjadi kenyataan. Malah Mat Roni sudah berkawan dengan ramai rakan-rakan yang mempunyai naluri sama sepertinya.
“Jadi, keluarga sudah tahu dan you akan balik ke kampung seperti ini? Tanya penulis untuk tahu lebih lanjut. Sangkaan penulis jauh meleset. Terkejut juga apabila dia mengatakan dirinya terpaksa menjadi dua jantina dalam dua sisi hidup berbeza. Jika di Kuala Lumpur dia akan berlagak lemah lembut seperti seorang wanita, tetapi di kampung dia terpaksa menjadi lelaki sejati. Sebab itu dia berasa berat hati dan takut untuk pulang ke kampung.
Ads
Masih ingat kata-kata ibunya pada kali terakhir dia pulang ke kampung beberapa tahun lalu.
“Kamu tu bukan budak lagi Mat Roni ooii. Umur dah nak senja. Kalau boleh kahwinlah sebelum mak tutup mata. Buat apa tinggal di bandar besar sorang-sorang? Nanti kalau sakit, siapa yang akan jaga kamu?”, kata-kata itu masih terngiang-ngiang di fikirannya.
“ Sebenarnya bukan saya tidak mahu pulang ke kampung halaman, tetapi mungkin masa sahaja belum mengizinkan. Saya belum bersedia untuk berubah, apatah lagi bertukar kerjaya”, Mat Roni jelaskan lagi.
Apa kaitan pekerjaan dengan balik kampung? Tanya penulis keliru.
“ Iyalah, di tempat kerja baru sekarang suasananya jauh berbeza dengan tempat kerja saya dulu. Di sini saya dikelilingi rakan sekerja yang baik dan sporting. Semuanya terdiri daripada rakan perempuan yang jauh lebih baik. Berbeza dengan rakan lelaki yang lebih suka memandang rendah kepada saya. Itulah sebabnya saya lebih selesa berada dalam kelompok perempuan. Mungkin hampir 10 tahun berada di kalangan mereka, saya turut terikut-ikut dengan gaya lemah lembut mereka kot,” terang Mat Roni lagi.
“Jadi sudah berapa tahun awak tidak pulang ke kampung halaman?”, tanya penulis lagi.
“ Dahulu sebelum saya mendapat pekerjaan di Butik Pengantin sebagai pembantu pereka, saya memang kerap balik. Adalah dalam 2 bulan sekali. Itu pun tiap-tiap kali balik, ibu pasti bertanya saya pasal kahwin. Naik rimas dibuatnya. Pernah suatu hari saya tergesa-gesa ketika pulang daripada pameran pengantin di Kuala Lumpur. Hendak dijadikan cerita, tiba-tiba ada panggilan kecemasan dari kampung, saya terpaksa tukar baju di stesyen bas dan berubah jadi identiti asal supaya rahsia saya tidak bocor,” sambungnya lagi.
Ads
“Tak rasa bersalah dengan keluarga ke?”, tanya penulis lagi.
“ Sebenarnya saya serba salah antara pekerjaan dengan identiti diri. Bukanlah saya sengaja mengubah diri saya. Cuba anda letak diri anda di tempat saya. Cari pekerjaan di bandar besar bukannya semudah yang disangka. Berkali-kali saya memohon pekerjaan di bidang yang diminati, tetapi sukarnya kehidupan pada waktu itu, Tuhan sahaja yang tahu.
Saya beberapa kali menganggur tidak bekerja. Sehinggalah saya diterima bekerja di butik ini. Faham-faham sahajalah dunia fesyen biasanya dikuasai oleh wanita, jadi untuk masuk ke dalam industri ini, saya perlulah berubah mengikut keadaan semasa dan persekitaran,” jawab Mat Roni yang berkulit sawo matang ini.
PASTI BERUBAH SUATU HARI NANTI….
Hidup yang berkualiti harus dinikmati hasil daripada tindakan, sikap dan pemikiran yang baik. Semua orang ingin berubah ke arah kehidupan yang sempurna. Begitulah yang dialami Mat Roni. Dia sentiasa mencari masa sesuai untuk menjadi dirinya yang sebenar. Dia sayang keluarga, tetapi dia juga terlalu sayang kerjayanya.
“ Siapa tidak mahu kehidupan 10 tahun dulu? Saya masih ingat, nama saya Mat Roni Abu Hassan. Mana mungkin saya lupa jantina asal. Biar pun apa yang berlaku, saya tidaklah sampai menukar jantina atau setidak-tidaknya makan ubat hormon seperti orang lain yang boleh mengubah hampir keseluruhan badan.
Jika saya balik kampung, saya masih seorang lelaki sejati yang tetap akan melakukan kerja-kerja berat ketika disuruh ibu dan apa paling penting, suatu hari nanti saya tentunya pasti mengimpikan seorang wanita untuk dijadikan isteri”, katanya sedikit terkilan.
Ads
Mat Roni tahu dia melakukan kesalahan yang besar kepada diri dan keluarganya sendiri. Demi mencari sesuap nasi, dia sanggup berbuat apa sahaja asalkan rezeki yang dicari halal. Dia tidak mahu membazirkan waktu memikirkan perjalanan hidupnya di masa akan datang. Suatu hari nanti dia pasti akan meninggalkan segala-galanya jika anda insan yang sudi membimbingnya agar tidak mudah goyah ditelan dek arus kemodenan bandar besar ini.
Memandangkan masa untuk menonton wayang telah tiba, penulis terpaksa menghentikan temu bual dengan Mat Roni. Lagi pun dia seperti mahu tergesa-gesa. Mungkin ada hal yang mahu dilakukannya. Dengan sedikit perkongsian kisah hidupnya, dapatlah penulis mengarang untuk ruangan Kisah Benar ini.
Melalui kisah yang diceritakan, jelaslah bahawa dalam apa jua perkara yang dilakukan haruslah ada pendirian yang tegas. Dalam dunia hari ini, tidak semua mereka menolak seseorang hanya kerana jantina. Biasanya dalam dunia pekerjaan, perkara paling utama ialah kualiti kerja dan pembawaan diri.
Jangan kerana taksub atau sayang kerjaya, ada sampai menyisihkan keluarga atau menjadi orang lain. Berfikirlah sesuatu yang dilakukan ada baik buruknya, jangan sampai ‘gelap’ mata sehingga bertukar identiti dan menyisihkan orang tersayang.
Bila terdengar jeritan orang di sebelah, kaki terangkat di atas kerusi, tangan penuh dengan pop corn menutupi wajah adalah di antara gelagat yang bakal akan anda lihat apabila menonton filem seram hebat Pengabdi Setan ini.
Maskulin berkesempatan menonton filem arahan Joko Anwar yang sememangnya boleh dikategorikan sebagai bingkisan paling seram 2017 untuk filem berbahasa Melayu. Memang tidak boleh lupa wajah seram watak ibu yang sedang sakit terlantar menanti maut itu, ditambah dengan suasana suram, gelap dan mood muzik benar-benar membawa penonton terheret ke dalam kancah ketakutan.
Filem Indonesia yang pernah ditayangkan pada 1980 disutradarai oleh Sisworo Gautama Putra ini sangat popular pada zaman itu. Kini ia dihasilkan semula dengan suntingan lebih segar dan moden oleh pengarah kreatifnya Joko Anwar.
Mengisahkan mengenai sebuah keluarga yang dilanda musibah atas gangguan syaitan atas amalan khurafat yang diamalkan oleh sang ibu. Pelbagai masalah dan tragedi menyeramkan dilalui keluarga ini. Dihidupkan oleh watak-watak dinamik seperti Bront Palarae, Tara Basro, Dimas Aditya dan ramai lagi.
TOP 5 KENAPA ANDA WAJIB TONTON FILEM PENGABDI SETAN!
1.Set penggambaran adalah di sebuah rumah lama yang ditinggalkan lebih 20 tahun.
Untuk mendapatkan mood yang sangat seram, pengarahnya juga mahukan suatu yang realistik, jadi sebuah rumah lama dipilih untuk menghidupkan jalan filem ini. Selain mood seram, kru produksi turut diganggu makhluk halus semasa sesi penggambaran di lakukan.
2.Bront Palarae kini semakin dikenali sebagai #pengabdibapak di kalangan peminat di Indonesia
Disebabkan filem ini menerima banyak anugerah di Festival Filem Indonesia, Nama Bront Palarae turut menjadi sebutan dan semakin mendapat tempat di hati penonton di sana.
3.Terdapat entiti seram REAL yang tidak disengajakan dirakam dan difilemkan.
Kalau anda sudah menonton filem ini nanti, anda akan perasan beberapa kelibat entiti seram yang turut termasuk dan terakam di dalam filem ini. Di antaranya scene hantu bangkit di kuburan, bila dikira semula oleh kru terlebih seorang di dalam filem. Memang la seram!
4.Wajah ibu terlantar sakit yang memang dah macam hantu!
Pelakon Ayu Laksmi yang memegang watak sebagai ibu yang mengamalkan ilmu hitam ini didandan dengan solekan yang sangat menyeramkan. Tidak perlu banyak patah kata, ekspresi sahaja sudah cukup buat penonton menutup mata!
5.Jangan mudah terpengaruh dengan ajaran yang salah, kembali kepada jalan yang benar
Menyedarkan penonton agar tidak terlalu mengejar kesempurnaan hidup. Kita hidup pun hanya sementara, dekatkan diri kepada maha pencipta bukan selainnya.
MASKULIN SCORE : 4.3/5
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
BARANGKALI hanya yang sedang atau pernah melalui kehidupan bermadu dapat merasai pahit manisnya berkongsi kasih daripada seorang lelaki bergelar suami.
Pernahkah terfikir untuk menamatkan sebuah hubungan dengan seseorang yang anda kenali dan sayangi itu yang nyata milik wanita lain?
Melihat sisi yang pelbagai terutama menelusuri kisah rumah tangga pasangan lain yang pernah hidup bermadu sentiasa bergolak hingga berakhir dengan kehancuran, pasti menggugat impian anda untuk memanjangkan hubungan.
Namun, suratan takdir menyatakan memang dia adalah jodoh anda, lalu anda reda atas segalanya. Diserang atau dicop dengan pelbagai tuduhan seperti perampas, pemusnah rumah tangga insan lain dan pelbagai kejian atau kata kesat mungkin juga membuatkan anda gentar untuk melayari bahtera berdua walau hakikatnya anda terpaksa berbahagi atau berkongsi kasih.
Jika itu keputusan dan jalan yang anda pilih, beberapa petua berikut mungkin mampu dimanfaatkan untuk menjadi insan yang tabah dalam memadu kasih.
Tidak dinafikan, menjadi isteri kedua sering dipandang serong dalam masyarakat lalu anda harus bersedia secara mental dan fizikal dalam menempuh fasa yang mungkin melukakan perasaan anda. Apa yang penting (bukan menggalakkan), cinta sejati tidak mudah goyah hanya kerana hinaan atau kejian orang.
# Jangan peduli apa orang kata, peduli hanya apa yang keluarga dan suami anda kata kerana hanya mereka yang berjasa dan berkepentingan dalam hidup anda.
Masyarakat hanya tahu mengutuk, tetapi tidak tahu memberi jalan penyelesaian. Tidak berdosa hidup bermadu, tidak hina menjadi isteri kedua, ketiga atau keempat, dengan syarat suami anda mestilah seorang suami bukannya seorang ‘lelaki’.
# Sentiasa merendah diri dan hormati isteri pertama, biar dia marah atau mengata apa saja asalkan anda sentiasa mengalah.
Kuatkan hati dengan matlamat bahawa perkahwinan anda adalah mencari keredaan Allah melalui kebaikan suami. Jika niat jelas dan ikhlas, lama-kelamaan isteri pertama akan lembut hatinya bahkan dia boleh menjadi kawan baik.
Pasti anda akan tenang apabila madu menghubungi dan bertanyakan khabar anda di kala suami bersamanya. Lakukan perkara serupa kepadanya apabila suami bersama anda pula.
# Senangkan hati suami, dia akan menyenangkan hati anda. Bukankah semua isteri mahu disayangi suaminya?
Oleh itu, anda perlu sentiasa memainkan peranan aktif supaya hati suami selalu senang dan tenang kerana apabila hati suami senang, madu anda juga senang hatinya. Secara langsung, kebaikan itu datang kepada anda juga, hati akan terus diselubungi kebahagiaan tanpa sedikit pun rasa iri bermukim di hati.
# Jangan tamak masa dan harta, terimalah seadanya daripada suami. Ini kerana segelintir isteri yang bermadu mengimpikan masa yang panjang untuknya sedangkan dia kena ingat dia ‘datang’ kemudian.
# Sewajarnya isteri kedua mampu berdikari supaya masa santai itu dipenuhi sebaik-baiknya. Jadi, akan kurang masa untuk memikirkan yang bukan-bukan dan jangan benarkan syaitan menguasai diri.
Mana ada perempuan yang tidak cemburu? Sedikit sebanyak ada rasa cemburu di hati kerana kita hanya manusia biasa, tetapi biarlah berpada-pada dan tunjukkan juga rasa sedikit cemburu itu kepada suami supaya dia tahu yang anda sayang kepadanya.
# Ambil hati mentua sewajarnya supaya dia juga kasihkan anda dan anak seperti dia kasihkan keluarga suami anda yang satu lagi.
# Tiada siapa yang menang atau kalah dalam perhubungan seperti ini, yang penting adalah ketenangan dalam perhubungan itu.
# Sokongan keluarga sendiri sangat penting untuk wanita seperti anda, jadi anda tidak akan rasa kekurangan apabila suami tiada bersama.
# Fikirkan konsep poligami itu adalah berkongsi bukannya merampas.
Namun, ketika anda menerima lamaran bakal suami untuk bergelar isteri kedua, berhati-hatilah ketika menerima lamaran dengan meneliti beberapa perkara iaitu:
# Tanya dan lihat: Adakah dia lelaki bertanggungjawab kepada keluarga dan ibu bapanya? Jika ya, maknanya dia akan bertanggungjawab juga kepada diri anda.
# Adakah dia menjaga solat setiap kali berjumpa anda? Jika ya, maknanya dia lelaki yang tahu perkara asas.
# Adakah bakal madu anda terdidik akhlaknya? Jika ya, mudah untuk anda berbaik-baik dengannya.
# Adakah dia punya pekerjaan tetap sekian lama? Jika ya, maknanya dia tetap pendirian dan tahu maksud kehidupan.
# Adakah dia faham mengenai perkahwinan sama seperti yang anda faham?
Jika ya, mudahlah bagi anda dan dia bertolak ansur. Jika tidak, lebih baik berfikir dua kali kerana tidak semua perempuan atau lelaki kental. Ramai juga yang mengambil peluang dengan konsep poligami ini, namun hanya mereka yang berwibawa saja mampu melakukannya.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Berikut merupakan senarai bandar-bandar paling bahaya di dunia seperti disenaraikan oleh cheatsheet.com:
1) San Pedro Sula, Honduras
San Pedro Sula terletak di bahagian utara Honduran dan merupakan bandar yang paling ganas serta berbahaya di dunia. Bandar yang dikenali sebagai ‘pembunuh ibu kota dunia’ ini telah menjadi bandar paling ganas dipercayai berpunca daripada aktiviti perdagangan dadah serta kumpulan-kumpulan kongsi gelap yang berjuang demi kuasa. Selain itu, gejala rasuah turut memainkan peranan utama dalam negara ini. Ramai penduduk telah melarikan diri dari bandar ini berikutan daripada faktor kemiskinan yang membelenggu masyarakat setempat.
2) Rio de Janeiro, Brazil
Walaupun Brazil gah dengan penganjuran sukan Olimpik Rio 2016, namun bandar ini sebenarnya merupakan antara lokasi yang bermasalah. Rio dipengaruhi oleh keganasan malah turut mengundang bahaya kepada para pelancong. Untuk kekal selamat di sini, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengambil sebarang ubat-ubatan atau dadah yang dijual serta sentiasa elakkan untuk berada di bawah pengaruh dadah. Selain itu, orang ramai turut dinasihatkan untuk tidak mempamerkan alatan mereka seperti telefon pintar dan tablet.
3) Cape Town, South Africa
Cape Town merupakan kota kedua terpadat di Afrika Selatan. Selain daripada serangan jerung, kegiatan jenayah juga merupakan antara masalah terbesar di Cape Town. Pergaduhan dan pertempuran sesama kumpulan merupakan penyebab utama Cape Town menjadi bandar paling merbahaya di Afrika. Namun begitu, walaupun Cape Town mempunyai beberapa bahagian yang menakutkan, lokasi pelancongan di sini kebiasaannya terhindar daripada sebarang jenayah.
EL Salvador terkenal dengan jolokan merbahaya berikutan mempunyai beberapa kumpulan ganas dan ditakuti seluruh dunia seperti MS-13. Disebabkan oleh masalah kumpulan pengganas ini, ramai pihak telah melarikan diri ke utara untuk mencari perlindungan di samping menggelakkan diri daripada masalah kemiskinan di negara berkenaan.
5) Kabul, Afghanistan
Kabul , Afghanistan merupakan antara lokasi yang bukannya menjadi tumpuan pelancong di seluruh dunia. Bandar dan negara ini turut dikaitkan dengan serangan 11 September sehingga menyebabkan kuasa-kuasa seperti Taliban dan Amerika Syarikat telah menduduki kawasan luar bandar tersebut. Selain itu, dengan kewujudan ISIS, ia telah menimbulkan lagi ketegangan di Iran dan Afghanistan.
6) Baghdad, Iraq
Baghdad adalah ibu negara Iraq dan mempunyai populasi dianggarkan seramai 7,000,000 orang. Selain itu, ia merupakan bandar raya terbesar di Iraq. Seperti Kabul , Baghdad masih di ambang perang, dan ia dianggap tidak selamat untuk pelancong.
Caracas merupakan bandar yang mempunyai banyak kumpulan terlibat dengan aktiviti keganasan. Difahamkan, seramai 24,000 orang telah dibunuh di Venezuela pada tahun 2014. Bandar ini adalah di bawah aktiviti harian kartel dadah dan samun bersenjata. Rakyat dan pengunjung perlu sentiasa berwaspada tidak kira yang kawasan yang mereka lawati. Jika anda mahu untuk melawat Caracas, pastikan anda tidak pergi ke bandar seorang diri.
8) Acapulco, Mexico
Suatu masa dahulu, Acapulco adalah merupakan lokasi tarikan pelancong yang mempunyai pemandangan pantai serta air laut yang cantik. Namun begitu, bandar berkenaan kini tidak lagi seperti dahulu apabila sering kali dilanda keganasan dan membahayakan pelancong yang datang. Tentera Mexico terpaksa dipanggil bagi membantu menenangkan keadaan sekiranya berlaku keadaan tidak diingini.
9) Guatemala City, Guatemala
Guatemala turut mempunyai banyak masalah seperti jirannya, El Salvador dan Honduras. Masalah kumpulan pengganas, pengedaran dadah dan kemiskinan merupakan punca mengapa banyak pihak melarikan diri daripada bandar ini. Walaupun ia merupakan bandar yang indah dan mempunyai sejarah tersendiri, namun jenayah dan keganasan yang sering kali berlaku di sana menyebabkan pelancong tidak berani untuk berkunjung ke sana.
10) St. Louis, USA
St. Louis adalah bandar yang paling merbahaya di Amerika. Walaupun St. Louis jauh lebih selamat daripada bandar-bandar di Amerika Tengah , ia masih berdepan dengan isu-isu yang serius. St. Louis telah berdepan dengan isu keganasan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sebagai contoh, rusuhan di Ferguson merupakan antara keganasan yang berlaku di sana.- cheatsheet.com