Khairul Aming Sibuk Cipta Video Hingga Jatuh Sakit

Share

Apabila menyebut nama Khairul Aming, sudah pasti perkara pertama yang terlintas di fikiran orang ramai ialah video-video masakannya yang cukup menggiurkan.

Lebih-lebih lagi di bulan suci Ramadan, siri video “30 Hari, 30 Resipi” nya sering dinanti-nantikan pengikut setia laman sosialnya yang mencari idea-idea juadah berbuka puasa yang baharu.

Namun sedarkah anda yang penghasilan video-video resipi yang menyelerakan itu memerlukan tahap komitmen dan disiplin yang tinggi?

PERNAH JATUH SAKIT

Menurut Khairul Aming, beliau mengakui pernah jatuh sakit hingga dimasukkan ke hospital pada bulan Ramadan 2019 akibat terlalu memaksa diri menghasilkan kandungan masakan.

“Saya memang perah sangat-sangat content untuk keluar… masa tu badan memang teruk sampai tak boleh jalan dalam masa sebulan,” katanya kepada Maskulin ketika ditemui di sidang media Tiktok Awards 2023 semalam.

Tambahnya, beliau terpaksa berbuat demikian demi memenuhi jangkaan pengikutnya yang menantikan video masakannya, apatah lagi tahun tersebut merupakan tahun keduanya menghasilkan kandungan sedemikian.

UBAH STRATEGI, LEBIH BERDISIPLIN

Mengambil pengajaran daripada peristiwa itu, Khairul mula merancang strategi baharu dalam penghasilan kandungan iaitu menyusun jadual dan mendisiplinkan diri untuk patuh pada jadual berkenaan.

“Kita push content kita ibarat dia adalah satu karier utama kita, tapi kena letak limit. Jangan terperangkap dalam dunia nak views, nak likes sampai kita tak jaga kesihatan,” katanya.

MAHU LIHAT LEBIH BANYAK RESIPI TRADISIONAL

Dalam pada itu, Khairul juga berharap agar lebih ramai pencipta kandungan masakan untuk mengetengahkan juadah-juadah tradisional Malaysia agar ia tidak ditelan zaman.

“Banyak sebenarnya masakan-masakan sedap di Malaysia, cuma ada yang kita tak tahu terutamanya resipi-resipi tradisional”.

Oleh itu, Khairul menyeru agar anak-anak muda memanfaatkan pengetahuan mereka mengenai kamera untuk membantu golongan tua di kawasan kampung yang mempunyai kepakaran menyediakan resipi sedemikian.

“Sekurang-kurangnya kita boleh bantu makcik-makcik itu mengajar cara-cara nak buat kuih-kuih tradisional, sebab itu semua benda yang susah nak dapat sekarang,” tambahnya.

Khairul Aming, atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, merupakan antara pempengaruh media sosial kandungan masakan yang terkenal di laman sosial sejak 2018.

Hasil kerja kerasnya itu ternyata tidak sia-sia apabila kini beliau tercalon bagi kategori ‘Creator of The Year‘ bagi Tiktok Awards 2023 yang julung kali diadakan di Malaysia di samping pencipta kandungan terkenal yang lain.

Temasya anugerah berprestij meraikan pencipta kandungan atas talian itu juga bakal disiarkan secara langsung di media arus perdana pada 27 Ogos ini, iaitu di TV3 bagi acara utama dan di TV9 bagi acara karpet merah.

Published by
Ruszaini Ruslan