Ketumbit Bukan Disebabkan Mengintai Orang Mandi, Tetapi Kerana Bakteria Staphylococcus!

Share

Ketumbit di mata memang menyakitkan dan yang pasti akan membuatkan anda tidak selesa di bahagaian mata. Ketumbit (Stye) adalah benjolan kecil dan menyakitkan yang muncul di dalam atau luar kelopak mata. Ia mungkin kelihatan seperti jerawat di pangkal bulu mata anda.

Pembentukannya di bawah kelopak mata mungkin kurang disedari pada mulanya. Tetapi dua keadaan ini boleh menyebabkan kelopak mata menjadi merah, bengkak dan mungkin berasa gatal dan sakit.

Dalam istilah perubatan ketumbit terbahagi kepada dua;

i) Hordeolum
Ia berlaku disebabkan jangkitan kuman pada kawasan folikel bulu mata (hordeolum luaran) ataupun kalenjar meibomian (hordeolum dalaman) yang terletak di belakang kelopak mata. Selalunya ia menyebabkan rasa sakit di bahagian yang terlibat dan mempunyai nanah.

ii) Chalazion
Benjolan pada kelopak mata yang tumbuh ketika kelenjar minyak tersumbat. Tidak seperti stye, ia biasanya tidak menyakitkan dan berasa melekit.

Ketumbit merupakan ketumbuhan pada kelopak mata sama ada melibatkan satu mata sahaja atau kedua-dua belah mata.

Gejala Ketumbit
1. Sakit pada kelopak mata
2. Mata rasa seperti berbiji
3. Merah atau bengkak pada kelopak mata

Komplikasi
Kebanyakan ketumbit akan hilang tanpa memerlukan rawatan dalam beberapa hari. Tetapi sesetengah individu mungkin mendapat komplikasi yang lebih teruk sekiranya jangkitan tersebut merebak ke bahagian lain kelopak mata seterusnya menyebabkan preseptal cellulitis. Keadaan ini menyebabkan kesakitan dan bengkak pada kelopak mata.

Punca ketumbit

Ia berpunca daripada bakteria staphylococcus yang menjangkiti kelenjar minyak di dalam kelopak mata atau folikel rambut bulu mata.

Kuman-kuman itu boleh datang dari apa-apa yang menyentuh atau menggosok mata anda, seperti tangan atau solekan mata anda.

Anda mungkin cenderung untuk mendapatkan lebih banyak semasa musim alergi apabila mata menjadi gatal.

Anda juga lebih cenderung untuk mendapatkannya jika anda mempunyai blepharitis, sejenis keradangan di sekeliling tepi kelopak mata.

Perlu diketahui bahawa ketumbit hordeolum dan chalazion ini boleh berubah kepada satu sama lain. Chalazion boleh berubah menjadi hordeolum ketika mana dijangkiti kuman. Manakala, hordeolum pula boleh menjadi chalazion apabila nanah yang ada di dalam kalenjar tidak dibawa keluar hingga menyebabkan ia tersumbat dan menjadi chalazion pula.

Cara merawat masalah ketumbit

1. Menuam mata dengan menggunakan sapu tangan yang direndam dalam air panas untuk 10 minit dan ulang 2 hingga 3 kali sehari.
2. Membersihkan kelopak mata dengan menggunakan putik kapas yang direndam sabun bayi untuk mengesat bulu mata dengan lembut.
3. Mengurut secara lembut chalazion yang bengkak untuk mengeluarkan lemak yang tersumbat.

Namun, sekiranya ketumbit ini menjadi semakin besar dan sakit atau mengambil masa yang panjang untuk pulih, pesakit perlu berjumpa doktor untuk:

1. Menggunakan titisan atau ubat makan antibiotik.
2. Mengeluarkan nanah atau kandungan kelenjar dengan kaedah surgikal minor.

Walaubagaimanapun, masalah ketumbit jarang sekali memerlukan rawatan doktor kerana biasanya akan beransur pulih dengan sendiri. Oleh itu, individu yang mengalami masalah ini tidak perlulah terlalu risau.

Sekiranya sering mengalami ketumbit, anda haruslah sentiasa menjaga kebersihan kelopak mata dan tidak berkongsi alat solek mata untuk mencegah pertumbuhan ketumbit.

Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad

Published by
L.A