Dalam kes pembunuhan Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, warga maya mempersoalkan hukuman terhadap individu yang menjadi punca kepada konflik hingga tercetusnya pembunuhan itu tujuh tahun lalu, iaitu seorang ‘bomoh’ yang menilik nama Allahyarham sebagai pencuri komputer riba salah seorang tertuduh.

Menurut Mahmud Jumaat iaitu seorang peguam dari Tetuan Emir Mahmud & Co, tindakan saman fitnah wajar diambil apabila reputasi seseorang telah terjejas akibat tuduhan jahat keatasnya, seperti Allahyarham Zulfarhan yang dikatakan telah mencuri sebuah komputer riba sehingga dipukul dan disterika hingga melecur.

Orang Sudah Meninggal Tidak Boleh Difitnah

Bagaimanapun di bawah seksyen 8 (1) Akta Undang-Undang Sivil, klausa tindakan itu terhalang disebabkan Allahyarham telah meninggal dunia, jelas Mahmud menerusi sebuah hantaran di laman Facebooknya

“Merujuk kes Arjilan Bin Muhammad v Datuk Musbah Jamli [2012] 1 LNS 555 Hakim Mahkamah Tinggi dalam penghakimannya menyatakan bahawa kedudukan undang-undang mengenai hak orang yang meninggal dunia untuk menyaman fitnah adalah jelas iaitu orang yang meninggal dunia tidak boleh difitnah,” jelas Mahmud dalam hantaran itu.

“Begitu juga, orang yang meninggal dunia tidak boleh melalui warisnya menyaman untuk memulihkan reputasinya”.

Tambahnya, walaupun saman fitnah telah dimulakan oleh si mati semasa dia masih hidup, saman itu akan berakhir apabila si mati meninggal dunia dan warisnya tidak boleh meneruskannya untuk kepentingan harta pusaka.

Boleh Tuntut Ganti Rugi 

Oleh itu, satu-satunya tindakan yang boleh diambil oleh waris Allahyarham Zulfarhan keatas ‘bomoh’ berkenaan adalah dengan menuntut ganti rugi atas tindakan tidak bertanggungjawab tersebut bawah seksyen 7(1) Akta Undang-Undang Sivil.

“Namun ianya pula terhalang bawah Seksyen 7(5) Akta Undang-Undang Sivil kerana melebihi had masa iaitu 3 tahun dari tarikh kematian,” ujar  Mahmud lagi.

Mahmud bagaimanapun tetap mendoakan agar keluarga Allahyarham Zulfarhan diberi kesabaran menempuhi dugaan menegakkan keadilan kematian anak lelaki mereka itu.

Pada 2017 , Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain meninggal dunia akibat melecur ditekap seterika wap pada hampir keseluruhan badan termasuk di bahagian kemaluan.

Zulfarhan dibelasah dan didera kejam sebegitu oleh enam rakan seperjuangan iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Kes Zulfarhan Osman: Bolehkah ‘Bomoh’ Disaman?
Foto: Enam tertuduh dalam kes Allahyarham Zulfarhan Osman.

Dikhabarkan, komputer riba salah seorang daripada enam tertuduh itu telah hilang dan mereka mendapat tahu dari seorang ‘bomoh’ bahawa nama Zulfarhan merupakan salah satu nama yang tertera dalam tilikannya untuk mencari pencuri komputer riba itu.

‘Bomoh’ itu juga merupakan bapa kepada salah seorang daripada 12 tertuduh yang terlibat membelasah Zulfarhan, selain daripada enam yang bertindak menekap seterika wap pada badan Zulfarhan yang mengakibatkan kematiannya.

Pada 23 Julai 2024, Mahkamah Rayuan memutuskan hukuman gantung ke atas enam tertuduh berkenaan sekaligus menolak hukuman penjara selama 18 tahun yang ditetapkan sebelum itu.

Sumber: Facebook Mahmud Jumaat

BACA: Kes Zulfarhan: Bayaran Nyawa Hanya Kerana Percaya Bomoh

 

Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.

KLIK DI SEENI