Ada yang berkata seseorang itu harus mandi dua kali sehari. Ada pula yang berkata tiga kali dan sesetengah berkata bergantung kepada keadaan cuaca.
Persoalannya bukan kekerapan mandi dalam sehari. Tetapi cara mandi yang betul untuk menjaga kulit tubuh sepanjang masa. Tahukah anda, cara mandi yang tidak betul boleh menyebabkan kerosakan pada kulit? Mandi dengan kerap tak semestinya membuatkan kulit kita bersih. Malah, ada orang yang kerap mandi tetapi masih mengalami masalah kulit yang serius seperti mudah melecet, gatal-gatal dan kulit menjadi kering. Sudah pakai sabun sebaldi pun masih terasa gatal lagi. Bagaimana tu?
Jawapannya adalah cara mandi kita yang tidak betul. Ikuti laporan daripada kajian ABCNews ini tentang tiga kesilapan yang dilakukan ketika mandi yang mendatangkan kemudaratan kepada kulit anda.
1. Air Terlalu Panas (Walaupun anda mungkin rasa ia tidak panas sangat)
Buat anda yang suka mandi dengan air panas, berhati-hatilah. Lebih elok sebenarnya mandi dengan air yang ‘suam’ sahaja. Menurut Doktor Melissa Piliang dari Cleveland, mandian
air yang terlalu panas boleh merosakkan kulit anda dan menyebabkannya menjadi kering dan gatal (ekzema). Bagaimana nak tahu air itu terlalu panas walaupun badan anda dapat
menahannya? Caranya ialah melihat kepada wap. Jika air pancuran mengeluarkan wap, itu maknanya air mandi anda terlalu panas. Di samping itu, jangan mandi terlalu lama di dalam air panas yakni tidak melebihi 10 minit kerana ia juga menyebabkan kulit menjadi kering.
2. Mandi guna sabun anti bakteria
Siapa yang tidak suka sabun mandi sampai berbuih-buih? Bila bilas dengan air badan akan terasa licin seperti tidak kotor langsung. Pakai pula sabun anti-bakteria. Mesti akan terasa badan sudah bersih. Namun, menurut Doktor Melissa bahan kima dari sabun sebegitu tidak elok untuk badan. Ini kerana selain membersihkan badan, sabun anti bakteria juga
berpotensi turut membuang bakteria baik yang diperlukan kulit. Sabun anti bakteria mengandungi bahan triclosan yang sudah diharamkan di Amerika Syarikat dan Food & Drug Administration (FDA). Lebih sesuai menggunakan sabun biasa dan kalau boleh pakai krim pelembab sesudah mandi untuk memastikan kulit sentiasa lembut.
3. Memberus badan & guna tuala keras
Kecuali jika anda bekerja sebagai buruh kontraktor di luar yang menyebabkan badan anda hari-hari menjadi terlalu kotor, anda tidak digalakkan untuk memberus badan setiap masa.
Kulit manusia sudah mengandungi minyak semula jadi. Terdapat bakteria baik di situ yang memastikan kesimbangan kulit agar ia sentiasa sihat. Jadi, apabila anda memberus badan dari kepala hingga ke kaki, anda akan membuang bakteria baik yang diperlukan oleh kulit. Apabila bakteria baik semakin berkurangan, lama kelamaan kulit akan menjadi gatal dan tumbuhnya jerawat. Cukup dengan mencuci dan menghilangkan kotoran pada tubuh seperti pada bahagian kemaluan, celah kangkang dan dubur. Jangan memberus satu badan hingga menanggalkan semua bakteria baik dari kulit!
Apakah TRICLOSAN?
Sejenis bahan kimia yang dijumpai dalam ubat gigi dan sabun mandi anti bakteria. Bahan kimia ini digunakan untuk membuat lapisan pada alat palam telinga (earplug) dan peralatan sukan yang dicampur dengan cat. Sesetengah pakar berpendapat triclosan berbahaya kepada manusia dan haiwan.