Antara salah faham yang sering berlaku apabila berbicara mengenai kanser prostat ialah pengeluaran air mani secara kerap dapat mengurangkan risiko terkena penyakit itu.
Bagaimanapun, Pakar Urologi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Ahmad Nazran Fadzli menegaskan yang fakta itu merupakan hasil kajian yang tidak menyeluruh dan belum terbukti kesahihannya.
“Mitos yang banyak keluar dalam Tiktok dan Instagram sekarang ialah, ada satu kajian di Amerika Syarikat (AS) yang menyatakan banyak mengeluarkan air mani dapat membantu melindungi daripada kanser prostat.
“Tapi kajian itu sendiri yang menyatakan yang itu adalah satu kajian yang ada hadnya sendiri, jadi kita tak boleh guna maklumat kajian itu secara terus begitu sahaja,” jelas Dr Ahmad dalam satu sesi temubual bersama MASKULIN.
“Kita perlukan kajian lagi teliti, barulah kita boleh buktikan yang mengeluarkan air mani dengan kerap boleh mencegah kanser prostat. Jadi, harap jangan disebarkan dahulu, sehingga lebih kajian dapat dilakukan,” tambahnya.
Dengan kerjasama dengan Universiti Malaya (UM), MASKULIN tampil dengan sebuah kempen kesedaran kanser prostat sepanjang bulan November ini.
Bertemakan “Kuasa MASKULIN, Lawan Kanser Prostat”, kempen ini bertujuan mendidik dan memberikan informasi yang tepat mengenai kanser prostat kepada masyarakat umum, khususnya lelaki. Ini termasuk maklumat mengenai faktor risiko, cara pencegahan dan pilihan rawatan yang ada.
Untuk maklumat lanjut mengenai kanser prostat, layari laman sesawang Beat Prostate Cancer.