Salah satu keperluan utama dalam usaha untuk menurunkan berat badan, selain diet dan senaman adalah motivasi untuk meneruskan misi kurus. Tanpa motivasi, pasti anda akan berhenti sekerat jalan.
Diet ke mana, kesihatan ke mana. Sudahnya anda akan kekal dengan bentuk badan sebegitu tanpa ada sebarang usaha untuk menurunkan berat badan.
MASKULIN sempat menemubual Ahmad Zikri Mohamad Nasir, penuntut di sebuah universiti awam tentang perjalanannya menurunkan berat dengan meletakkan semangat untuk meluahkan isi hatinya kepada crush.
“Saya merasakan kalau badan saya kekal besar macam ini, siapa je yang nak dengan saya,” ujarnya yang turut menyatakan bahawa dia seringkali menjadi bahan jenaka di kalangan rakan-rakan kerana badannya berbau dan sering berpeluh.
1. Untuk misi menurunkan berat badan, Zikri mengamalkan pelan diet Atkins. Walaupun mengakui agak sukar untuk dia mengikuti pelan ini tetapi dia sentiasa menjadikan crush serta sindiran rakan-rakannya itu sebagai pembakar semangat untuk dia meneruskan misi menurunkan berat badan.
2. Rutin pemakanannya setiap hari bermula pada waktu pagi dengan minum susu tepung segelas. Kemudian waktu tengah hari, dia akan masak ayam atau daging bersama sayur mengikut kuantiti yang ditetapkan tanpa nasi.
3. Untuk senaman pula, dia akan berjoging setiap hari sejauh tiga kilometer dan pada setiap hujung minggu, dia akan ke gym untuk bersenam selama dua jam.
Rutin ini diamalkannya selama enam bulan tanpa berputus asa dan gembira akhirnya Zikri berjaya menurunkan berat badan daripada 130kg menjadi 65kg.
Pada masa sama, dia kini tidak perlu risau lagi untuk mencari saiz baju kerana kini dia sudah boleh memakai pakaian bersaiz M berbanding dahulu memakai saiz XXL.
Antara sebab lain Zikri tekad untuk turunkan berat badan disebabkan cintanya ditolak wanita idaman gara-gara dia dikatakan kurang effort.
Kata Zikri, dia tidak mengambil hati dengan apa yang berlaku sebaliknya berterima kasih kerana atas alasan ditolak itulah, dia tekad untuk kurus. Kini dia berbangga dengan berat ideal yang dicapainya pada hari ini.
Dia juga berharap agar orang ramai dapat mengambil iktibar daripada kisahnya ini untuk menjadi lebih sihat dan bertenaga sepanjang hari.
Terima kasih crush!