Ini la yang dinamakan hobi hingga ke akhir hayat, seorang lelaki yang meninggal dunia tidak dikebumikan dalam keranda, sebaliknya mayatnya diletakkan dalam kereta. Mungkin kita sering mendengar tentang wasiat yang ditinggalkan seseorang sebelum meninggal dunia. Tapi wasiat yang ditinggalkan oleh lelaki ini memang betul-betul rare.
Dalam kejadian di utara China, tindakan ini dilakukan kerana wasiatnya, menurut laporan.
Menurut laman web Kankan News, Qi, seorang lelaki pencinta kereta dari bandar Baoding, wilayah Hebei telah meminta dirinya dikebumikan di dalam kereta jenis Hyundai Sonata berwarna perak miliknya, apabila dia meninggal dunia, laporkan laman berita Sohu pada Rabu.
Dalam video yang disiarkan di Weibo, kereta itu kelihatan digantung dengan tali sebelum perlahan-lahan diturunkan ke dalam lubang kubur yang besar dari saiz biasa.
Penduduk kampung hanya menyaksikan upacara itu, dengan beberapa orang daripada mereka membantu menahan kenderaan itu ketika ia diletakkan di dalam lubang.
Video itu telah dilihat lebih 1.6 juta kali pada petang Khamis.
“Ia adalah permintaannya, yang mana dia menyatakan mayatnya tidak memerlukan keranda, hanya guna keretanya untuk dikebumikan,” kata seorang penduduk yang tidak didedahkan identitinya dalam video tersebut.
“Dia minat kereta sejak kecil.”
Pengguna Weibo membanjiri ruangan komen.
“Nasib baik si mati hanya minat dengan kereta,” tulis seorang pengguna.
“Saya minat pesawat, apa yang akan saya lakukan?” kata seorang lagi, sementara pengguna ketiga bergurau: “Minta pemilik kubur bawa lesen memandu, polis sangat tegas sejak akhir-akhir ini.”
Ramai yang telah membuat spekulasi tentang apa yang akan berlaku jika kereta itu digali suatu hari nanti. -South China Morning Post