Berita

Keracunan Mihun Goreng Telur Mata: Ramai Mahu Berniaga Tapi Tiada Ilmu Kendali Makanan – Chef Wan

Share

Masyarakat kita ramai yang mahu menjalankan perniagaan makanan namun tiada ilmu dalam pengendalian makanan, demikian pendapat cef selebriti Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali umum sebagai Chef Wan.

Chef Wan tampil menyuarakan pendapat itu susulan kes keracunan mihun goreng dan telur mata yang diedarkan di sebuah sekolah sehingga membawa maut.

“Kebanyakannya orang-orang Melayu kita yang meniaga ni mereka tiada pengetahuan tentang sanitasi dan kebersihan,” kata Chef Wan ketika ditemui MASKULIN.

“Anda tanya mereka tentang jenis kuman, anda tanya mereka tentang jenis suhu. Kosong. Asalkan boleh memasak sahaja, jual”.

Cuaca Tropika, Kuman Mudah Membiak

Chef Wan juga menerangkan yang kuman amat mudah membiak jika tidak dikendalikan dengan cara yang betul lebih-lebih lagi di negara bercuaca tropika yang panas dan lembap seperti Malaysia.

Oleh itu, semua makanan perlu dihidangkan secepat mungkin ketika masih panas.

Bagi perkhidmatan catering yang memerlukan makanan disimpan dahulu sebelum dihantar, suhunya perlu diturunkan dahulu secepat mungkin sejurus selepas dimasak.

Kemudian, barulah makanan tersebut boleh disimpan di dalam peti sejuk dan dipanaskan semula apabila hendak dihidangkan nanti, demikian penjelasan Chef Wan.

Jangan Kedekut Beli Peti Sejuk

Selain itu, Chef Wan juga berpesan kepada peniaga agar tidak kedekut mengeluarkan wang untuk membeli sistem penyejukan yang betul.

“Peti sejuk ada satu atau dua sahaja, tapi nak meniaga macam-macam. Ambil pesanan katering macam nak mampus.

“Bila peti sejuk disumbat penuh, sudah tiada peredaran udara. Bila tiada peredaran udara, peti sejuk itu tidak cukup sejuk,” ujar Chef Wan.

Ulasnya, peti sejuk perlu mempunyai suhu tertentu yang cukup sejuk agar bakteria dan virus tidak membiak.

Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar lelaki tingkatan lima dan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut akibat makan mihun goreng dan telur mata yang tercemar.

Makanan itu diperoleh dari sebuah program yang dianjurkan di sebuah sekolah di Gombak.

Pelajar lelaki berusia 17 tahun tersebut menjamah bihun goreng dan telur mata yang dibawa pulang oleh ibunya yang menghadiri program berkenaan.

Memetik laporan Astro Awani, dia dan ibu bapanya mengalami cirit-birit selepas menjamah makanan tercemar itu.

Bagaimanapun, dia ditemukan tidak sedarkan diri oleh bapanya dua hari kemudian sebelum disahkan meninggal dunia di hospital.

Dalam kejadian berasingan, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun juga telah menjamah makanan lebihan yang dibawa pulang oleh ayahnya yang merupakan pengawal keselamatan di sekolah berkenaan.

Kanak-kanak itu mengalami demam dan cirit-birit dua hari kemudian dan meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan.

Sejumlah 82 orang dilaporkan mengalami gejala keracunan makanan daripada 247 orang yang terdedah kepada makanan tersebut, demikian lapor Berita Harian.

BACA: Individu Kongsi Fakta Salah Mengenai Kesihatan Pun Perlu Direhatkan – Jurulatih Kecergasan

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN.

IKLAN