Tanyalah mana-mana pemandu kenderaan, salah satu igauan terburuk mereka pastinya tidak ingin terlibat dengan kemalangan jalan raya. Apatah lagi berdepan dengan situasi di mana kereta terjunam atau terjatuh di dalam air seperti sungai, tasik atau laut sekali pun.
Telah beberapa kes dilaporkan berlaku sama ada dinegara dan luar negara di mana mangsa tidak dapat diselamatkan kerana kejadian berlaku terlalu pantas. Kejadian tidak diingin seperti ini boleh berlaku disebabkan banyak faktor.
Selain faktor kecuaian diri, ia juga boleh berlaku akibat jalan yang licin ataupun akibat dilanggar kenderaan lain. Apabila kereta mula jatuh dalam air, apakah yang perlu kita lakukan?
Sejujurnya, bila berdepan situasi tersebut kita tak ada banyak masa untuk berfikir. Segalanya perlu dilakukan berdasarkan naluri dan juga persediaan yang mungkin anda lakukan sebelum ini.
Namun sebagai langkah keselamatan terdapat beberapa langkah boleh anda lakukan dalam cubaan menyelamatkan diri.
Pertama sekali anda tidak harus panik dan sentiasa sedar dengan apa yang berlaku. Mungkin adrenalin anda sedang mencanak pada waktu ini namun anda harus kekal fokus. Ingat anda hanya ada masa sedikit sahaja untuk keluar dari kenderaan dan selamatkan diri. Kunci di sini ialah ada harus memberi reaksi yang pantas.
Apabila kenderaan berada di dalam air dan mula tenggelam, tekanan air di bahagian luar akan memberi kesan kepada pintu kereta. Ia akan menjadi sukar untuk dibuka dan boleh dikatakan agak mustahil. Jika anda berjaya buka sekalipun ia akan menyebabkan air masuk dengan lebih banyak dan kenderaan akan tenggelam lebih cepat.
Opsyen pertama yang anda harus ambil ialah keluar menerusi tingkap. Jangan lupa untuk buka tali pinggang keledar dan bertenang. Turunkan tingkap dengan segera dan panjat keluar dengan cepat. Namun jika reaksi anda sedikit perlahan tekanan air di bahagian luar juga akan ‘menekan’ bahagian tingkap.
Jika perkara di atas berlaku anda ada opsyen lain untuk selamatkan diri dan keluar dari kenderaan. Opsyen seterusnya ialah dengan memecahkan tingkap.
Tapi anda harus ingat, jangan sesekali cuba pecahkan cermin hadapan. Ini kerana ia telah direka cipta untuk menerima impak yang kuat. Jadi agak mustahil untuk anda pecahkan cermin hadapan.
Satu-satunya pilihan yang anda ada ialah dengan pecahkan cermin bahagian tepi atau pintu. Sasarkan hentakan atau impak di bahagian atas tingkap.
Untuk memudahkan memecahkan cermin tingkap anda boleh menggunakan headrest tempat duduk sebagai alat. Atau anda boleh gunakan alat pemecah tingkap yang boleh didapati di pasaran seperti Resqme. Jadi jangan lupa untuk simpan alat ini sepanjang masa di dalam ruang penyimpanan.
Selepas tingkap berjaya dipecahkan keluar dengan segera dan berenang ke permukaan sepantas mungkin.
Kesemua langkah di atas merupakan langkah yang perlu dilakukan dengan begitu cepat. Dan anda juga harus memiliki keupayaan untuk berenang bagi memastikan anda selamat. Semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat buat kita semua.
Sumber: INSIDER & WikiHow