Bila bercakap soal kencing manis, perkara utama yang ditekankan berulang-ulang semua pakar perubatan ialah menjaga pemakanan. Bukan setakat pengambilan gula, malah semuanya perlu dikurangkan terutama makanan yang mengandungi karbohidrat dan gula asli termasuklah buah-buahan. Malah ada pakar pemakanan menyifatkan buah- buahan tempatan adalah ancaman utama kepada pemakanan pesakit kencing manis kerana yang lebih ranum, lebih enak rasanya dan semakin tinggi pula kandungan gulanya.
Pada pesakit kencing manis mengawal paras gula dalam darah supaya berada dalam julat sihat bukanlah mudah. Memerlukan disiplin dan kesungguhan. Bukan paras gula sahaja yang hendak dikawal tetapi perlu juga memberi tumpuan kepada tahap kolesterol dan tekanan darah.
Kajian tempatan menunjukkan secara purata rakyat Malaysia mengambil 125 gram gula atau 25 camca teh gula sehari berbanding kadar yang disarankan iaitu hanya 50 gram. Gula ada banyak kalori tetapi tidak mengandungi khasiat. Ia hanya menyumbang kepada masalah kegemukan.
Badan kita mendapat tenaga daripada glukos iaitu gula ringkas. Glukos diperolehi melalui penghadaman makanan berkanji (karbohidarat) seperti nasi, pulut, roti, ubi (kentang, keledek dan keladi), mi dan mi hun, pasta, semua gula yang diproses, madu serta buah-buahan.
Malah hati juga menyimpan glukos yang dikeluarkan apabila ada keperluan. Glukos akan menjadi tenaga selepas ia diserap daripada aliran darah. Proses pemindahan glukos daripada darah ke dalam sel ini dilakukan agen pengangkut yang dipanggil insulin. Badan menjadi kurang sensitif terhadap insulin dan ini menyebabkan pankreas bekerja lebih kuat untuk menghasilkan lebih banyak insulin bagi mengatasi masalah ini. Namun lama kelamaan pankreas akan menjadi lemah tetapi masih tidak mampu menghilangkan rintangan insulin dan akibatnya paras glukos dalam darah menjadi tinggi
Masalahnya, kencing manis tiada tanda khusus malah tidak menunjukkan sebarang tanda pada peringkat awal pembentukannya. Jika ada pun hanyalah kehilangan tenaga dan pesakit terasa cepat penat yang sering disalah anggap Justeru itulah ramai tidak sedar mereka menghidap kencing manis. Kajian menunjukkan sebaik penyakit dikesan seseorang pesakit sudah menghidap kencing manis sekurang-kurangnya selama lapan hingga 10 tahun.
Antara tanda lain kencing manis ialah:
# Kerap buang air kecil termasuk pada waktu malam
# Kerap berasa dahaga dan kebanyakan pesakit menginginkan minuman manis
# Susut berat badan
# Cepat penat dan tidak bermaya
# Kerap alami ruam, gatal dan jangkitan kulit
# Rasa gatal di kemaluan dan jangkitan vagina pada wanita
# Tangan dan kaki terasa kebas
# Luka atau kudis lambat sembuh
Bagi pesakit kencing manis senaman boleh meningkatkan sensitiviti badan terhadap insulin. Peningkatan ini akan membuatkan lebih banyak gula diangkut masuk ke sel dan mengurangkan paras gula dalam darah. Senaman yang dilakukan secara teratur dan berterusan akan memudahkan pengurusan penyakit dan mengembalikan paras gula ke julat normal.
Semua orang tahu senaman boleh mengurangkan risiko banyak penyakit seperti sakit jantung, strok, masalah kolesterol, memperbaiki emosi dan kesihatan secara keseluruhan. Semua orang boleh bersenam tetapi untuk pesakit kencing manis, perlu ketahui tahap gula dalam darah terlebih dulu untuk mengelakkan masalah lain seperti pitam jika paras gula terlalu rendah.
Bagi yang tidak pernah bersenam, mulakan dengan sesi pendek selama 10 minit yang diulang tiga kali dalam satu hari. Apabila sudah biasa, tambahkan masa dan aktiviti untuk meningkatkan stamina. Jika diamalkan berterusan pesakit boleh melihat kesannya.
Bagaimana hendak mengetahui sama ada senaman anda cukup atau tidak? Caranya ialah melalui ujian bercakap, jika anda boleh bercakap macam biasa bermakna senaman tidak mencukupi sebaliknya sekiranya anda tidak boleh bercakap langsung tandanya anda terlebih bersenam. Senaman mencukupi bila anda terasa penat tetapi masih boleh bercakap.