“Tolonglah jangan serabutkan aku lagi. Kau tak faham ke yang aku ni dah penat?!” bentak seorang lelaki memandang langit.
Cuba melepaskan segala amarah dan kekusutan di langit yang terbuka luas meski pun orang sekeliling nampak dia masih mampu menguntum senyuman kelat.
Pernah terjadi pada anda? Jika ya, ketahuilah bahawa anda sudah benar-benar penat baik dari segi mental dan juga emosi.
Penat fizikal boleh dirawat dengan berehat tetapi penat mental serta emosi, ubatnya sukar didapati dengan segera.
Ini kerana penat mental serta emosi melibatkan perihal dalaman, membabitkan rasa yang terpaksa disimpan kerana mahu menjaga hati orang lain.
Jika anda merasakan ada orang lain cuba mengganggu anda dan ada berpendapat ia sangat annoying, segeralah beralih arah. Jangan layankan sangat kerana ia menambah parah pada mental dan emosi anda. Sebaliknya, ambil masa bersendiri dan fokus untuk selesaikan apa-apa tugas anda.
Anda cepat hilang semangat dan merasakan semua kerja yang dibuat serba tak kena. Tenang dan ambil masa. Lepaklah di tempat yang tenteram. Kadang-kala anda akan menemui idea yang tak dijangka. Maaf kasar, tetapi berapa ramai orang yang mendapat idea segar ketika ‘melepak dalam jamban’?
Fikiran anda terlalu memikirkan apa yang orang lain akan kata dan ia seterusnya boleh mencemaskan anda tak tentu-tentu pasal. Perlahan-lahan bina semula keyakinan dalam diri anda dan pamerkan diri anda yang baharu jika benar-benar sudah bersedia.
Kekusutan yang melanda otak kadang-kala membuatkan anda semakin sukar untuk tidur. Ini kerana otak terus aktif memikirkan masalah yang ada waktunya, langsung tidak ada kena-mengena. Sejukkan badan dengan mandi dan dengarlah muzik yang tenang. Bagi umat Islam, boleh pasang ayat suci al-Quran sebagai terapi jiwa.
Kunci terjatuh dari genggaman pun anda punya level kemarahan bukan biasa-biasa. Ini sudah semakin parah. Mood hilang dan emosi semakin ‘ke laut’. Apatah lagi dengan mental anda. Banyakkan bersabar serta beri ruang untuk diri bernafas.
Kalau anda kerap rasa mual dan pening kepala yang kerap, anda sedang mengalami situasi yang sangat kritikal. Boleh berjumpa pakar untuk membantu jika anda merasa semakin sukar untuk mengawalnya.
Ketika berjalan sendirian, anda menangis tanpa sebab. Ini tandanya anda memang sedang penat mental serta emosi. Kemarahan yang dipendam menjadi kesakitan dalam jiwa sehingga anda menitiskan air mata.
Amat bahaya jika anda mula rasa terasing dan anggap semua orang sedang membenci anda. Sebenarnya, ia cuma gangguan perasaan sahaja. Ada kalanya, anda bagaikan terasa semua kemarahan atau perkara negatif itu ditujukan kepada anda sedangkan ia ditujukan kepada orang lain. Ambillah masa untuk bercuti dan kembalilah bekerja apabila semuanya pulih.
Semoga bermanfaat!
Follow Instagram MASKULIN