Kenali Stail Rambut Dreadlock, Braids & Cornrow Serta 6 Asas Wajib Penjagaannya

1072

Orang ramai sering tersalah erti apabila melihat stail rambut yang berlilit. Di mata orang asalkan ia berlilit, itu adalah stail dreadlock.

Sedangkan pada hakikatnya, gaya lilitan rambut ini sebenarnya terbahagi kepada tiga stail iaitu dreadlock, braids / single braids serta cornrow.

Perbezaan tiga konsep

Perbezaan bagi tiga konsep ini dapat dilihat pada stail rambut dreadlock yang menggunakan rambut original untuk disambungkan.

Manakala bagi braids pula, kebanyakan penggaya hari ini menggunakan rambut plastik sebagai penyambungnya untuk tampak lebih kemas.

Begitu juga konsep cornrow yang nampak kemas serta memiliki lilitan tersusun yang sangat menakjubkan.

Tips jaga rambut berlilit

Berbicara lanjut tentang stail rambut ini, Maskulin menemu bual Aril Aziz dari Raffael Models Agency yang gemar menggayakan braids sebagai fesyen rambutnya.

Aril yang juga merupakan tenaga pengajar teknik lakonan kepada bakat-bakat baharu berkongsi cerita ramai orang memuji kerana gaya tersebut.

Menerusi entri ini, jom baca perkongsian tip daripada Aril tentang cara-cara untuk menjaga fesyen rambut yang unik ini :

1. Pakai snowcap

Untuk mengelakkan rambut yang dibuat rosak, anda digalakkan tidur sambil memakai snowcap atau lilit kepala anda dengan tuala kering.

2. Gunting rambut bercabang

Siapkan gunting untuk potong rambut yang bercabang. Rambut baru akan sentiasa tumbuh membuatkan extension semakin ke bawah.

Anda perlu ke saloon semula untuk betulkannya semula. Walaupun penjagaannya memerlukan sedikit kos namun ia penting untuk proses touch up supaya sentiasa kemas.

3. Pantang makan

Makanan seperti seafood boleh menyebabkan kulit kepala anda gatal-gatal. Untuk mengelakkan anda tergaru-garu sehingga merosakkan dandanan rambut atau hilang kekemasannya, ada baiknya anda pantang makan seafood.

4. Elak terkena air

Elakkan diri anda daripada terkena air di luar rumah seperti hujan atau air kolam sewaktu mandi di swimming pool kerana sekali rambut basah, memang sedikit sukar untuk keringkan. Nak selamat, sentiasa bawa hairdryer mudah alih.

5. Ikat rambut dengan kemas

Bagi lelaki yang menggayakan rambut stail ini, anda dinasihatkan untuk ikat rambut dengan kemas ketika makan supaya tidak masuk atau tercelup dalam makanan.

6. Elak terkena debu

Bagi yang menunggang motosikal pula, sila pakai helmet dan ikat rambut supaya habuk debu tidak melekat pada rambut.

Kesan jika tidak jaga rambut

Aril turut berkongsi cerita mana-mana individu yang menggayakan konsep rambut dreadlock, braids atau cornrow ini, sekiranya tidak membasuh rambut dengan sempurna, rasa gatal-gatal pada kulit kepala akan terasa.

Sebagai info tambahan, Aril turut mendedahkan cara terbaik untuk menghilangkan rasa gatal-gatal itu boleh diatasi dengan cara menggunakan air suam yang dibancuh sebati dengan shampoo yang bersesuaian.

Semoga bermanfaat!