Kenali Mesin Senaman Otot Belakang Di Gim & Cara Menggunakannya

Share

Otot belakang yang mantap mampu memperbaiki bentuk tubuh anda agar kelihatan lebih tegap dan maskulin. Jika anda melangkah ke gim, terdapat pelbagai mesin senaman dengan bermacam variasi untuk anda melatih otot belakang. Menerusi video di Youtube Maskulin, pempengaruh kecergasan Aiman Radzi memberikan panduan untuk menggunakan mesin di gim bagi melatih otot berkenaan.

Lat Pulldown

Jika anda pernah ke beberapa gim, anda boleh melihat pelbagai variasi mesin senaman lat pulldown. Sesetengah pemegangnya berbentuk memanjang (long bar

), dan ada juga yang berbentuk V (V-bar). Menurut Aiman, pemegang berbentuk V memberi lebih tekanan pada bahagian bawah belakang badan.

Dalam senaman ini, anda perlu meletakkan tenaga menarik mesin berkenaan pada bahagian siku, bukannya bisep. Selain itu, pastikan anda duduk dengan postur yang betul dan selesa. Jangan membongkok, pastikan sentiasa mendada. Pastikan juga bahagian tulang belikat anda mengepak sehingga seakan-akan mengepit tulang belakang anda.

Tarik pemegang hingga ke paras dada dengan laju, dan lepaskan semula secara perlahan-lahan untuk memaksimakan tekanan. Senaman ini dicadangkan untuk dilakukan sebanyak 15 repitisi untuk tiga hingga empat set, menggunakan bebanan bersesuaian dengan kemampuan anda.

Seated Cable Row

Mesin senaman ini juga boleh menggunakan pemegang jenis long bar ataupun V-bar. Untuk memberi tumpuan kepada otot trapezius (otot berbentuk segitiga di tengah bahagian atas belakang), pemegang jenis long-bar adalah lebih sesuai.

Pastikan duduk dalam keadaan yang selesa dengan postur yang betul, iaitu mendada. Ketika menarik, pemegang boleh ditarik sama ada ke paras perut, paras dada atau paras leher. Ketiga-tiganya tidak salah, namun akan memberikan tekanan yang berbeza pada bahagian trapezius.

Paras yang paling selesa ialah pada paras perut. Pastikan anda meletakkan tenaga di bahagian siku ketika menarik bebanan. Senaman ini dicadangkan untuk dilakukan sebanyak 15 repitisi untuk tiga hingga empat set, menggunakan bebanan bersesuaian dengan kemampuan anda.

Bagaimanapun, pastikan anda mengenal pasti kemampuan diri anda agar dapat melakukan senaman dengan berkesan dan selamat.

Published by
Ruszaini Ruslan