Awal bulan ini, Indonesia kehilangan seorang bakat muda seni bela diri campuran atau mixed martial arts (MMA) iaitu Rahul Pinem yang nekad membunuh diri, dipercayai akibat masalah dengan teman wanitanya.
Petarung MMA berusia 24 tahun itu ditemui pada 1 Jun lalu dalam keadaan berlumuran darah di Hotel Wood Parahyangan Residen yang terletak di wilayah Ciumbuleuit, Kecamatan Cidadap, Kota Bandung, Jawa Barat.
Dalam kejadian sekitar jam 3.30 petang waktu tempatan, Rahul memutuskan untuk menamatkan hidupnya dengan terjun dari tingkat LG bangunan hotel berkenaan, kira-kira setinggi 50 meter, demikian menurut kenyataan pihak bomba dan penyelamat tempatan yang dipetik dari laporan beberapa portal negara itu.
Usaha untuk memujuk Rahul sempat dilakukan sebelum dia memutuskan untuk melakukan tindakan nekad itu oleh pihak penyelamat dan juga pengurus hotel berkenaan yang dikenali sebagai Rita.
Dikatakan Rahul meminta untuk bertemu dengan kekasihnya. Jika tidak, dia akan terjun dari tingkat berkenaan.
Selepas usaha memujuk mereka tidak membuahkan hasil, pihak jurulatih MMA nya pula cuba memujuk dengan menghubungi teman wanita dan juga keluarga Rahul.
Bagaimanapun, kedua-dua talian yang dihubungi tidak aktif, lantas gagal untuk memenuhi kehendak untuk memujuk petinju muda itu.
Sebagai persediaan, pihak penyelamat kemudian meletakkan penyambut (life net) di kawasan gelanggang bola keranjang hotel berkenaan, yang merupakan kawasan jangkaan tempat jatuh Rahul jika dia nekad untuk terjun.
Jangkaan itu benar, Rahul akhirnya nekad terjun namun dia jatuh bukan pada penyambut tersebut lalu meninggal dunia serta merta.
Rahul Pinem memulakan kerjayanya sebagai petarung di One Pride MMA sejak tahun 2019 menjuarai pertarungan sebanyak tiga kali.
Kali terakhir beraksi di gelanggang adalah pada tahun 2020, di mana Rahul berentap dengan Yacub Christ Nugroho.
Jenazah Rahul dikebumikan di Desa Mbetong, Juhar, Karo, Sumut, Sumatera Utara, demikian maklumat yang dipetik dari laporan portal Pojok Satu.
Sumber: Detik, Suara, Pojok Satu
BACA: Bimbang Dimarahi Guru, Lamine Yamal Bawa Kerja Sekolah Ke Euro 2024