MASKULIN yakin ramai di antara anda paling tidak pun pernah membeli pakaian bundle sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup. Atau paling tidak pun menjejakkan kaki ke kedai bundle. Ia kini semakin popular kerana banyak kelebihan tersendiri berbanding berbelanja membeli pakaian baharu di butik yang mahal.
Perniagaan bundle di negara kita sebenarnya bukanlah baharu namun ia telah wujud telah lama iaitu sejak awal 1990-an lagi. Kini ia telah berkembang menjadi salah satu cabang perniagaan yang boleh menjana pendapatan yang baik.
Bagi pengguna pula membeli pakaian bundle mempunyai nilai pulangan yang tersendiri. Kali ini MASKULIN ingin kongsi beberapa kelebihan jika anda berbelanja atau membeli-belah pakaian bundle.
Secara tidak langsung anda membantu alam sekitar dengan mengurangkan pembuagan sisa tekstil. Tahukah anda terdapat kajian mendapat pusat pelupusan sampah di negara sangat penuh dengan pakaian lama. Jadi buat pencinta barangan bundle, tahniah kerana anda menyayangi alam sekitar.
Kenapa perlu berbelanja lebih untuk mendapatkan gaya atau looks yang anda mahu tiru seperti selebriti tempatan mahupun Hollywood. Atau anda mahu bereksperimen dengan gaya lebih unik. Bundle menawarkan pelbagai variasi pakaian dalam nilai harga yang murah dan berpatutan.
Bagi penggemar bundle yang suka membeli secara pukal atau dalam istilah pecintanya, ‘membelah guni’ potensi untuk anda berpeluang mendapat pakaian vintaj serta sukar didapati. Disebabkan itu nilai pasarannya sangat tinggi. Jangan terbeliak jika anda dapati ada t-shirt vintaj dijual pada harga RM5,000 ke atas ya. Mungkin ini juga peluang untuk anda tambah pendapatan sendiri.
Antara salah satu sebab kenapa ramai memilih pakaian bundle adalah dapat miliki pakaian berjenama pada harga lebih murah. Bayangkan anda dapat beli sepasang seluar jean dengan harga RM100 berbanding di butik jenama sama pada harga tiga kali ganda lebih mahal. Memang berbaloi kelebihan beli baju bundle.
Usah memandang rendah akan pakaian bundle. Ini kerana kebanyakannya mempunyai kualiti yang agak baik dan tahan lama. Malah ada pakaian bundle yang dijual berusia lebih 30 tahun. Namun kualitinya masih utuh dan boleh digunakan.
Selain pakaian, kasut bundle juga semakin mendapat tempat di kalangan peminat fesyen tempatan. Malah ada banyak kedai bundle kini yang secara spesifik menjual kasut bundle sahaja. Jadi tidak hairanlah dengan kelebihan baju bundle ini ia semakin popular dari semasa ke semasa.
Subscribe YouTube MASKULIN untuk seleksi video menarik tentang gaya hidup lelaki terkini.