Duduk di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak bermaksud anda perlu duduk tidak berbuat apa-apa langsung.
Bak kata orang selagi ada kemahuan di situ ada jalan. Kini kita sudah hampir sebulan mengikut saranan kerajaan untuk melakukan panjarakan sosial dan isolasi di rumah masing-masing bagi memutuskan rangkaian penularan wabak COVID-19.
Jadi mungkin bagi anda yang sudah biasa bersenam atau berlari di kawasan lapang, jalan raya, tasik mahupun gimnasium ini merupakan satu cabaran.
Tetapi inilah masa untuk kita semua lebih kreatif mencari jalan bagaimana untuk melakukan aktiviti larian dalam kawasan tertutup dan ruang yang terhad. Jika anda mempunyai treadmill mungkin ini bukan satu masalah besar.
Tapi buat anda yang tidak memilikinya usah khuatir kerana ada jalan di mana kita boleh berlari dalam rumah.
IKLAN
GUNA RUANG DALAM APARTMEN
Katakanlah anda tinggal di sebuah apartmen yang memiliki keluasan sederhana. Gunakan kawasan hallway di tengah-tengah rumang di antara pintu masuk hingga ke bahagian balkoni. Jika ada meja atau kerusi di tengah-tengah, alihkan buat seketika.
Lakukan larian ulang-alik sebanyak 20 hingga 30 kali. Tidak perlu memecut dan laju. Cukup sekadar anda boleh berlari dengan ritma yang stabil dan mampu mengeluarkan peluh.
Selang-selikan dengan berjalan untuk beberapa pusingan dan teruskan berlari ulang-alik sebanyak 20 kali lagi.
IKLAN
RUANG BELAKANG RUMAH DAN BALKONI
Bagi anda yang tinggal di rumah teres, gunakan kawasan luar rumah dengan sebaiknya. Katakan anda mempunyai halaman rumah yang mempunyai jarak lebih kurang 5 hingga 10 meter. Lakukan larian dalam bentuk pusingan sebanyak 20 hingga 30 kali.
Jika anda ingin impak lebih baik lakukan hingga mencapai jarak 5 kilometer. Gunakan jam tangan GPS bagi mengesan jarak larian anda.
IKLAN
Untuk mengelak rasa bosan anda boleh mengajak pasangan atau ahli keluarga yang lain untuk berlari bersama. Kekalkan tempo pada tahap sederhana.
Bagi kasut pula, pakai sahaja kasut larian biasa yang sesuai untuk permukaan luar rumah.
Selamat mencuba. Stay home & stay safe!
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Bisep dan trisep merupakan lokasi mata nakal yang sering wanita tumpu. Maka tidak hairanlah ramai lelaki sanggup berusaha mendapatkan lengan yang mantap dan pejal.
Kalau setakat berangan-angan lepas tengok gambar orang sado semata-mata, sampai bila-bila pun lengan anda sekadar kelihatan biasa-biasa sahaja.
Jadi untuk tidak memusnahkan impian dan harapan itu, kena tak bermula hari ini anda cuba lakukan 5 teknik muda untuk besarkan otot bisep dan trisep menerusi :
1. Curls
Bagaimana nak lakukan gerakan ini? Bertenang, gerakan curls ini dapat membentuk otot lengan dengan anda menggunaka barbel atau dumbel. Untuk permulaan, mulakan dengan beban yang ringan. Pastikan posisi barbel pada kedua sisi tubuh, lalu gerakkan beban ke arah dada. Ketika mengangkatnya sila jangan gerakkan siku. Pastikan juga siku tetap berada di sisi tubuh. Lakukan gerakan ini sebanyak 12 kali. Selain itu, gerakan ini dapat divariasikan dengan curls yang lain. Caranya dengan menekuk siku, lalu menarik beban ke bahagian dada. Ulanginya juga sebanyak 12 kali.
2. One-leg rear-delt raise
Pilih barbell berat antara 2 atau 3 kilogram. Posisikan badan anda mendepakan ke dua belah tangan dengan beban barbel. Angkat satu kaki ke belakang sambil condongkan tubuh ke depan. Tahan posisi tubuh sejajar dan lurus dari kepala hingga kaki. Selepas itu buat gerakan seperti burung gerakkan sayap sebanyak antara 10 ke 15 kali.
3. Push up
Ini senaman paling asas dalam senaman namun mempunyai impak yang sangat baik. Ia bukan hanya mampu membakar kalori, tetapi ia juga menjadi salah satu cara untuk anda membesarkan otot lengan dengan efektif.
Dalam keadaan badan anda berlutut dengan posisi tangan menyentuh lantai sejajar bahu dan lutut sejajar pinggul. Angkat kaki kiri lurus ke belakang dan gerakkan lengan kanan lurus ke depan. Tahan selama lima saat kemudian lakukan gerakan sama dengan kaki kanan dan lengan kiri. Ulang kira-kira 15 kali.
5. Triceps down dog
Mula-mula posisikan badan anda seperti hendak melakukan plank dengan kedua telapak tangan serta jari-jari kaki menyentuh lantai. Kemudian letakkan kedua siku ditekuk untuk menopang tubuh dalam posisi lurus. Naikkan sedikit pinggul dan dan lengan lurus. Ketika menaikkan pinggul cuba pastikan tapak kaki menyentuh lantai. Cuba tahan selama beberapa saat kemudian kembalikan kepada posisi asal seperti plank. Anda boleh ulang gerakan ini sebanyak 10 kali.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Bagaimana kita dapat mengetahui tanda amaran awal bagi kanser pankreas? Dikongsikan di sini beberapa tanda amaran awal kanser pankreas yang boleh dikesan. Di antara tanda-tanda awal ialah apabila pesakit mempunyai atau mendapat:
1. Diabetes secara mendadak
Tumor pankreas ini boleh menyebabkan pesakit kanser mendapat diabetes secara tiba-tiba/mendadak.
2. Mata dan kulit menjadi semakin kuning
Ini disebabkan tumor pankreas, walaupun bersaiz kecil, boleh menutup atau menyumbat duktus hempedu yang terletak di bahagian pangkal pankreas yang menyebabkan air hempedu berkumpul di situ kerana tersekat. Ini juga boleh menyebabkan jaundice (sakit kuning).
3. Gatal di kulit, tapak tangan dan tapak kaki
Kesan sampingan jaundice yang biasa ialah gatal-gatal di tapak tangan dan tapak kaki disebabkan oleh reaksi kulit terhadap bilirubin (bahan kimia berwarna coklat kekuningan di hati yang menyebabkan jaundice).
4. Kurang selera makan
Biasanya 6-8 bulan sebelum tumor pankreas dapat dikesan, pesakit kanser ini tiba-tiba hilang selera makan dan cepat berasa kenyang selepas makan sedikit.
5. Perubahan deria rasa
Pesakit kanser pankreas bertukar deria rasa yang biasa. Contohnya, tiba-tiba tidak suka bau kopi, rokok, atau lain-lain yang sebelum itu disukainya.
6. Sakit perut
Rasa sakit perut ini terasa sehingga ke bahagian belakang badan. Rasa sakit ini akan hilang apabila badan ditundukkan ke depan.
7. Pundi hempedu membesar
Pundi hempedu pesakit kanser ini membesar disebabkan oleh duktus hempedu yang tersumbat di mana hempedu akan membengkak/membesar di belakang duktus ini. Pundi hempedu yang membesar ini boleh dirasai oleh doktor yang memeriksa pesakit dan juga boleh dilihat pada ujian imej.
8. Najis yang pucat, terapung dan berbau busuk
Ini disebabkan tumor pankreas menghalang enzim penghadaman sampai ke pangkal usus bagi proses penghadaman lemak. Jadi, makanan berlemak tidak dapat dihadamkan yang akhirnya najis yang dihasilkan tidak padat, ringan, berbau dan terapung kerana kandungan lemak yang tinggi.
9. Najis hitam dan berdarah
Ini disebabkan oleh pendarahan di bahagian atas usus.
10. Turun berat badan secara mendadak tanpa dirancang
Ini disebabkan oleh kurangnya enzim pankreas yang dihasilkan bagi menghadamkan lemak yang diperlukan sebagai sumber tenaga. Lemak hanya melalui sistem penghadaman tanpa proses penghadaman.
Jika terdapat dua atau tiga daripada tanda-tanda berikut, silalah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Sumber : Lelaki Sihat
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Cerita tiga pemuda Malaysia merentasi pelbagai negara bermula dari United Kingdom (UK) menuju ke Malaysia hanya dengan berbasikal mula mendapat perhatian umum.
Maskulin berjaya mendapatkan salah seorang daripada mereka iaitu Muhammad Amir Arsad dan perkongsian ekspedisi mereka sangat menarik.
Jom baca points cerita yang telah dikongsikan :
Perkenalan yang tidak disengajakan, beli basikal terpakai
Pada peringkat awal, mereka bertiga mengembara secara solo dengan konsep back packing di negara-negara Eropah.
Pada ketika itu, masing-masing tidak pernah kenal antara satu sama lain tetapi Facebook telah menjadi penghubung permulaannya.
Ketiga-ketiga mereka terbang ke negara Eropah dan semasa di London, secara kebetulan Azmeer telah bertemu Iggy (atau nama sebenarnya Faizul).
Pertemuan antara Azmeer dan Iggy menyebabkan tercetusnya idea untuk berbasikal dan dari situ, mereka membuat keputusan untuk membeli basikal terpakai di London.
Mula berbasikal pada April 2018
Azmeer dan Iggy mula berbasikal di London pada April 2018. Amir pula telah membeli basikal terpakai di Kolon, Jerman dan pada Julai 2018, Amir telah menghubungi Azmeer dan Iggy untuk menyertai mereka di Split, Croatia.
Bermodalkan duit simpanan RM10,000
Bercakap tentang modal yang digunakan, Amir mengakui bajet yang disediakan sebenarnya tidak banyak.
“Kami ada buat sedikit simpanan dalam RM10,000 untuk setiap seorang dan dengan simpanan tersebut, kami keluar mengembara.
“Kami belum pasti lagi berapa jumlah keseluruhan yang akan dihabiskan untuk keseluruhan perjalanan sehingga ke Malaysia nanti,” katanya kepada Maskulin.
Ujarnya dalam satu perkongsian, mereka bertiga perlu berjimat-cermat dan berbelanja sekitar USD3 hingga USD4 sahaja sehari dan tidur di dalam khemah sebagai rutin.
Ditahan 5 jam dan dianggap sebagai pengganas
Mengimbau detik lalu, Amir membuka cerita tentang pengalaman sukar yang pernah dihadapi mereka bertiga sewaktu berbasikal.
Misalnya ketika merentasi Taraz, Kazakhstan, mereka telah disoal siasat oleh badan khas keselamatan kerajaan Kazakhstan selama 5 jam atas alasan mereka dikhuatiri sebagai pengganas.
Akibat kekangan visa, terpaksa kayuh 4 hari tanpa henti
Di Turkmenistan pula, mereka terpaksa berkayuh dari pagi sehingga melepasi pukul 12 tengah malam selama 4 hari berturut-turut kerana kekangan visa.
Mereka terpaksa melakukan demikian kerana transit visa yang diperolehi hanya bertahan selama 5 hari sahaja dan mereka perlu merentas sejauh 480 kilometer (km) di Turkmenistan.
Sedang berdepan musim sejuk
Ketika masih lagi sedang mengayuh hari ini, mereka berdepan cabaran paling utama iaitu musim sejuk.
Suka atau tidak, mereka perlu mengharungi musim sejuk sejak dari Timur Turki sehingga kini di Asia Tengah.
Sebut nama Malaysia, perasaan penuh hormat dipamerkan
Ketika ditanya ada atau tidak bertemu rakyat di negara luar yang bersikap baik seperti rakyat di Malaysia, Amir mengakui memang ada.
Malah apabila mereka mengetahui Amir, Azmeer dan Iggy adalah orang Malaysia, mereka mempamerkan perasaan yang penuh hormat.
Mereka juga berbesar hati untuk memberikan bantuan dan layanan mesra kepada Amir, Azmeer dan Iggy.
Lebih-lebih lagi di negara-negara yang majority penduduknya adalah beragama Islam. Kata Amir, memang terlalu ramai orang yang baik hati mereka temui di jalanan.
Siapa sebenarnya Amir, Azmeer dan Iggy?
Jujur sewaktu penulis mengetahui latar belakang tentang mereka, timbul rasa kagum kerana demi minat, mereka meninggalkan kerjaya mereka yang bukan calang-calang.
Misalnya.. Amir sendiri. Dia merupakan seorang peguam. Azmeer pula seorang freelancer dalam bidang fotografi dan aktif dalam aktiviti kemanusiaan manakala Iggy pernah berkhidmat dalam IT.
Apa makanan yang akan ‘diserbu’ sebaik sahaja tiba di Malaysia?
Bagi Amir, dia merindui masakan jawa ibunya iaitu ayam masak ungkep. Azmeer mengidam nak makan sate manakala Iggy pula teringin nak makan KFC.
Nasihat kepada mereka yang ingin mengembara
Amir menegaskan kepada mereka yang ingin mengembara janganlah meminta-minta sumbangan daripada orang ramai untuk mereka menjayakan misi peribadi.
“Ini kerana kebanyakan mereka bukanlah daripada golongan orang yang susah ataupun miskin yang perlu diberi bantuan sumbangan.
“Maka.. tiada salahnya guna duit sendiri untuk jayakan misi bersifat peribadi untuk mencetuskan inspirasi kepada orang ramai,” katanya. – MASKULIN
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
“3 rakyat Malaysia cipta teknologi pengecasan tanpa wayar di angkasa, bulan”, itulah tajuk utama laporan media tempatan yang membawa nama mereka menjadi sebutan dan meraih perhatian MASKULIN kali ini.