Gaya Hidup

Kejohanan Liga Teqball Malaysia Pertama Di Malaysia Dapat Sambutan Luar Biasa

Share

Mungkin sesetengah daripada anda tidak pernah atau mungkin tidak biasa mendengar tentang sukan yang dinamakan sebagai teqball ini. Namun tahukah anda ia kini sedang menggapai populariti yang cukup hebat di serata dunia?

Teqball merupakan sejenis sukan yang relatif baru dan merupakan kombinasi antara sepak bola dan tenis meja. Permainan ini dimainkan di atas meja khusus yang berbentuk melengkung dan tujuan dari permainan ini adalah mengirim bola ke sisi lawan dengan memukulnya dengan bagian tubuh apa pun kecuali tangan dan lengan.

Difahamkan teqball dapat dimainkan oleh dua pemain (singles) atau empat pemain (doubles) dan pemain diperbolehkan memukul bola sebanyak tiga kali sebelum mengirimkannya ke sisi lawan.

Lebih kurang dengan sepak takraw pun ada, bukan?

Pada Sabtu lalu telah berlangsung satu kejohanan teqball yang pertama seumpamanya di Malaysia. Liga Teqball Malaysia (LTM) 2023 berlangsung dengan cukup meriah dengan menyaksikan pasukan DBKL Hunters muncul sebagai juara.

PERLAWANAN SENGIT

Pertarungan sengit dari lapan pasukan yang datang dari pelbagai lokasi di seluruh negara berlangsung selama dua hari di KL Gateway Mall.

Dengan hadiah utama sebanyak RM8000 dan peluang mengangkat trofi LTM untuk kali pertama, kejohanan ini juga berfungsi sebagai proses pemilihan pasukan Malaysia yang akan bertanding dalam edisi ke-6 Kejohanan Teqball Dunia.

Menentang tujuh pasukan lain, DBKL Hunters berhadapan dengan Negeri Sembilan Stags dalam perlawanan akhir yang berlangsung hingga pusingan kelima. Perlawanan pertama menyaksikan Mohd Hanifah Abd Wahid memberi Stags markah pertama berhadap Mohd Ridhwan Zamri dalam perlawanan perseorangan lelaki.

Siti Asnidah Zamri kemudian menyamakan kedudukan dalam perlawanan perseorangan Wanita apabila dia memenangi pertandingan dalam set terus dengan Nurul Syafiqah Jafri.

Perlawanan ketiga menyaksikan pasangan lelaki beregu elektrik Muhammad Faris Farizal Zukeri-Muhammad Eizlan Rakhli Abd Rahman mendahului untuk Hunters, tetapi pasangan wanita Stags, Nurul Syafiqah Jafri-Siti Norzubaidah Che Ab Wahab, menjadikan seri 2-2, memaksa perlawanan berakhir di perlawanan beregu campuran.

Penonton di KL Gateway Mall dibuai oleh persembahan yang memukau pada akhirnya apabila Muhammad Eizlan Rakhli Abd Rahman-Siti Asnidah Zamri memenangi 12-4, 12-10 dan mengesahkan kemenangan sejarah mereka untuk Hunters berbanding Mohd Aslam Ahmad Suhaimi-Siti Nurzubaidah Che Ab Wahab.

Presiden MTA, KJ Siva, sangat gembira dengan penyertaan dalam kejohanan perdana ini, katanya, “Saya sangat gembira dengan pelaksanaan keseluruhan kejohanan ini. MTA hanya berusia 5 tahun dan kini sudah memiliki liga sendiri untuk pemain negara kita menunjukkan bakat dan kemahiran mereka yang besar.

“Ini juga membuka pintu kepada lebih banyak pertandingan Teqball di seluruh negara, memberi lebih banyak laluan kepada pemain untuk menyertai dan berkembang dalam sukan ini.

“Saya harap pasukan yang akan ke Kejohanan Teqball Sedunia membawa permainan terbaik mereka ke Bangkok. Saya percaya dengan latihan dan bimbingan yang betul, kita boleh cemerlang di peringkat antarabangsa dan membawa kemuliaan kepada Malaysia,” katanya.

Tahniah MASKULIN ucapkan kepada semua pemenang dan juga peserta kejohanan teqball pertama di Malaysia kali ini.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim