Kedai Gunting Rambut & Kecantikan Dibenarkan Beroperasi Bermula 10 Jun Ini – Datuk Seri Ismail Sabri

Share

Berita gembira yang pastinya ditunggu-tunggu oleh ramai pihak apabila kerajaan memberi kebenaran untuk perkhidmatan kedai gunting rambut, hair dresser, kecantikan dan facial kembali beroperasi bermula 10 Jun 2020 ini dengan SOP yang ketat.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media yang berlangsung hari ini, perniagaan gunting rambut, hair dresser, kecantikan dan facial ini menyumbang kepada KDNK negara berjumlah 13.5 bilion setahun.

Operasi kedai gunting rambut, hair dresser, kecantikan dan facial terpaksa ditutup sejak mula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan bagi mengekang risko penularan wabak COVID-19.

Penutupan kedai gunting rambut dan salun ini pastinya menyukarkan golongan lelaki untuk menggunting rambut sehingga ada yang terpaksa menggunting rambut sendiri, tidak kurang juga yang membotakkan rambut atau membiarkan sahaja rambut kekal panjang.

Menurut Ismail Sabri, aktiviti perkhidmatan kedai gunting rambut, hair dresser, kecantikan dan facial yang dibenarkan termasuklah menggunting rambut asas, mencuci rambut, mencukur jambang dan misai, solekan dan rawatan rambut, manicure dan pedicure serta cuci dan rawatan muka.

Bagi golongan berisiko tinggi yang berusia 60 tahun ke atas diwajibkan membuat temu janji sebelum mendapatkan khidmat menggunting rambut tanpa kehadiran pihak-pihak lain sewaktu proses tersebut.

“Kita juga meminta pengusaha kedai gunting rambut agar menetapkan waktu untuk warga emas ini menggunting rambut bagi mengelakkan percampuran dengan orang lain,” ujar beliau.

Manakala untuk kanak-kanak di bawah umur 12 tahun, dibenarkan untuk menggunting rambut tetapi perlulah memakai alat pelindung diri serta penutup muka dan apron pakai buang.

Antara SOP-SOP yang perlu dipatuhi termasuk pemakaian face shield dan apron bagi penggunting rambut dan yang terlibat dengan facial dan sebagainya. Mereka mesti memakai apron dan sarung tangan yang akan ditukar setiap kali bertukar pelanggan.

Setiap pelanggan juga mesti memakai apron pakai buang dan tidak boleh bergilir-gilir memakai apron yang digunakan oleh pelanggan lain.

Published by
RY