Seiring dengan trend semasa, lelaki bertubuh sasa sentiasa menjadi perhatian. Begitu juga dengan Arif Bashah yang tidak mahu ketinggalan untuk memiliki tubuh idaman atas usaha dan konsistensinya. Kini dia mengimpikan untuk menjadi sumber inspirasi kepada lelaki lain di luar sana.
MASKULIN : DEFINISI MASKULIN?
“Lelaki maskulin perlu memiliki perwatakan menarik dari segi berkomunikasi, arif dan berpengetahuan. Bersikap gentleman terhadap wanita serta orang sekeliling antara sifat yang perlu ada pada kaum Adam”.
MASKULIN : MENGAPA ANDA MAHU MEMBUAT TRANSFORMASI PADA FIZIKAL ANDA?
“Saya mula berkecimpung dalam dunia kecergasan selepas kecewa dalam bercinta. Selepas berpisah, saya mula tiada selera makan dan kebetulan pula pada bulan Ramadan. Ramai kawan-kawan terkejut dengan kondisi badan saya yang semakin susut dan sangat kurus. Sejak itu saya nekad untuk berubah. Di gim, kehidupan saya berubah dan diri ini berasa lebih yakin”.
MASKULIN : RUTIN ANDA SETIAP HARI?
“Seperti biasa, saya akan pergi ke gim 6 kali seminggu. Setiap satu sesi saya akan fokus pada satu kumpulan otot. Contohnya hari Isnin menumpukan pada bahagian dada dan Selasa pula bahagian kaki. Saya akan melakukan 4 hingga 5 jenis latihan dan kebanyakan rutin compound movement iaitu melibatkan pergerakan otot-otot besar. Repetition pula sebanyak 8 hingga 12 kali dengan 4 set untuk satu latihan. Biasanya saya akan melakukannya bersama rakan-rakan”.
MASKULIN : AMALAN DIET ANDA?
“Saya memang mengambil berat soal pemakanan. Karbohidrat seperti Oats, kentang dan nasi beras perang akan dimakan pada waktu siang sahaja. Nutrisi daripada Protein pula kebanyakannya daripada ayam bahagian dada, telor dan suplemen Protein”.
MASKULIN : SIAPAKAH INSPIRASI ANDA?
“Greg Plitt. Beliau memberi motivasi dan inspirasi kepada saya. Masih teringat kali pertama melihat Greg di muka depan majalah Fitness. Malangnya beliau terlibat dalam kemalangan maut pada bulan Januari lalu. Ternyata ia satu kehilangan besar dalam industri kecergasan dunia”.
MASKULIN : MATLAMAT SETERUSNYA?
“Untuk tahun-tahun mendatang, pastinya jadual harian agak sibuk tetapi saya berharap dapat mengekalkan dan pada masa yang sama menambahbaikkan keadaan tubuh badan sebaik mungkin. Seterusnya berharap dapat terus memberi inspirasi kepada pembaca Maskulin dan pengikut saya”.
MASKULIN : ADAKAH SIX PACK ITU PENTING UNTUK SEORANG LELAKI?
“Six pack pada perut bukanlah lambang sebenar lelaki maskulin dan sejati. Tanpa perwatakan dan personaliti menarik, lelaki berbadan tegap ini hanyalah lelaki superficial yang tiada keistimewaan. Bagi saya, apa yang paling penting adalah pemikiran dan ilmu pada seseorang lelaki. It’s imperative for men to present themselves in a thoughtful manner”.
MASKULIN : SEDIKIT NASIHAT BUAT PEMBACA MASKULIN ONLINE?
“Membina badan ternyata memakan masa yang lama. Tiada jalan singkat. Take your time. Jadikan senaman itu sebahagian daripada gaya hidup kita. Apa yang paling penting dalam membina tubuh berotot, kita perlu menjaga diet pemakanan . Kunjungan kita ke gim tidak akan bermakna tanpa diet yang seimbang”.
PROFIL:
Nama penuh: Arif Bashah Kamal
Nama komersial: Arif / Arif Bashah
Umur: 32 tahun
Tarikh lahir: 7 April 1983
Tempat lahir: Kuala Lumpur
Kerjaya: Ahli Perniagaan
Pencapaian: Mr Jeff Classic (Peserta)
GAMBAR : INSTAGRAM ARIF BASHAH KAMAL