Kaya Dengan Kesederhanaan, 8 Perkara Perlu Tentang Presiden ‘Termiskin’ Di Dunia Ni

Share

Mungkin kita jarang dihidangkan dengan kehidupan Presiden ‘Termiskin’ di dunia ni. Beliau ini terkenal dengan gelaran ‘Presiden Termiskin Di Dunia’ kerana gaya hidup sederhana yang sangat jarang dilihat di kalangan pemimpin. Cara hidupnya yang seperti orang kebiasaan serta sifat pemurahnya menjadikan beliau lebih mudah didekati oleh rakyat. Di bawah merupakan beberapa fakta yang pasti membuat anda ‘tabik spring’ dengan sifat beliau semasa menjadi Presiden Uruguay.

Cara hidup mereka yang berjawatan korporat memang sinonim dengan kemewahan, begitu juga dengan seorang presiden atau Perdana Menteri. Semua keperluan terjaga dan sentiasa mendapat kawalan ketat sepanjang masa. Namun lain pula ceritanya dengan bekas Presiden ke-40 Uruguay, Jose Mujica yang memerintah pada tahun 2010 hingga 2015.

1. TOLAK TAWARAN TINGGAL DI RUMAH MEWAH

Siapa yang tak suka tinggal di dalam kediaman selesa dan serba mewah, kan? Bukankan Perdana Menteri atau Presiden saja, mereka yang bertaraf ‘menteri cabuk’ atau penjawat awam pun kalau boleh nak demand kuarters yang cantik dan selesa.

Namun, presiden ini menolak tawaran rumah mewah milik kerajaan Uruguay dan memilih untuk tinggal di rumah satu bilik dengan ladang bunga kekwa bersama isterinya di pinggir bandar Montevideo. Jose Mujica di hadapan rumah ladang yang diduduki oleh beliau walaupun setelah menjadi Presiden Uruguay.

2. MENDERMAKAN 90% GAJI KEPADA RAKYAT

Bayangkan, betapa murahnya hati Presiden Jose Mujica yang mendermakan 90% daripada jumlah gaji bulanannya secara konsisten iaitu USD12,000 ( RM47,382) khasnya kepada golongan miskin dan peniaga kecil-kecilan.

Gaji yang hanya berbaki USD 775 (RM3060) sebulan digunakan untuk kegunaan peribadi. Baki gajinya dilaporkan hampir sama dengan pendapatan rakyat Uruguay secara purata. Presiden Jose Mujica yang memandu sendiri kereta Volkswagen birunya yang merupakan satu-satunya aset beliau.

3. KERETA VOLKSWAGEN LAMA SATU-SATUNYA ASET

Jika selalunya kita dengar orang kenamaan pasti mempunyai kereta import mewah berjenama serta hartanah yang banyak. Dalam sebuah laporan El Mundo, beliau yang mengisytiharkan aset hanya memiliki sebuah kereta Volkswagen Beetle model lama (1987), manakala ladang yang diduduki adalah milik iserinya, Senator Lucia Topolansky yang juga mendermakan sebahagian daripada gajinya.

Difahamkan bahawa seorang jutawan dari negara Arab pernah menawarkan sebanyak 1 milion dolar untuk membeli kereta tersebut tetapi ia ditolak oleh beliau!

Jose Mujica bersama isteri, Senator Lucia Topolansky

4. IKUT SAMA BERATUR DI KLINIK

Presiden yang merendah ini juga mesra rakyat. Hasil tanaman bunga di ladangnya sering dijual kepada penduduk-penduduk sekeliling. Malah, kalau ke klinik atau pejabat-pejabat, beliau juga akan beratur seperti orang awam! Sebagai presiden, ia merupakan cara untuknya mengenali rakyat dengan lebih dekat tanpa jurang sosial. Beliau juga dapat menghayati gaya hidup rakyat serta menyelami kesukaran yang dialami saban hari.

Presiden Jose Mujica dilihat sedang beratur semasa mendapatkan rawatan di hospital awam

5. BERPAKAIAN SEPERTI ORANG KEBANYAKAN

Cara hidupnya yang sederhana bukan sahaja dapat dilihat dengan gaya hidup serta kemesraannya dengan penduduk sekeliling, malah beliau juga sering mendapat perhatian apabila hadir ke majilis-majlis rasmi para pemimpin. Diiringi dengan kereta model lama Volkswagennya, beliau sering didapati berpakaian kemeja biasa dengan sandal dan jarang mengenakan sepersalinan pakaian kot dan tali leher yang formal seperti pemimpin lain.

6. TIDAK DIKAWAL KETAT

Tidak seperti pemimpin kebiasaannya, presiden ini memilih untuk tidak dikawal ketat oleh pengawal. Rumahnya tiada tembok tinggi atau kamera litar tertutup di setiap penjuru. Hanya dua pengawal yang bertugas yang setia di luar rumahnya.

7. BERJAYA MEMULIHKAN EKONOMI NEGARA

Semasa penggal pemerintahannya antara 2010 hingga 2015, beliau berjaya memulihkan ekonomi negara dengan mengurangkan kadar pengangguran warga Uruguay di samping purata kenaikan gaji yang tinggi. Kesan ini amat signifikan memandangkan negara jiran Argentina dan Brazil pada ketika itu mengalami kemerosotan ekonomi.

8. MEMPERJUANGKAN KEAMANAN SEJAK DULU LAGI

Sebelum melibatkan diri dalam dunia politik, beliau terkenal kerana menganggotai kumpulan pejuang gerila Tupamaros pada awal 1970an. Kumpulan ini terkenal dengan tindakan berani mereka merompak bank dan syarikat yang menyeleweng kemudian menyedekahkan hasil rompakan kepada rakyat. Kumpulan ini juga biasa dengan jolokan “The Robin Hood” kerana tindakan mereka. Akibat kegiatan kumpulan ini, beliau juga pernah dipenjarakan selama 14 tahun sehinggalah dibebaskan pada 1985 apabila Uruguay mencapai demokrasi.

KAYA DENGAN KESEDERHANAAN

Walaupun mendapat jolokan sebagai ‘Presiden Termiskin Di Dunia’, beliau percaya bahawa orang paling miskin di dunia sebenarnya ialah orang yang terlalu mengejar kebendaan dan sentiasa rasa tak cukup. Benarlah bak kata pepatah, orang yang paling banyak memberi sebenarnya adalah orang yang paling kaya! Cara hidupnya merupakan refleksi masa lalunya dan beliau amat bersyukur dengan apa yang dimiliki. Walaupun status beliau telah diangkat sebagai Presiden, ia langsung tidak menghalang beliau daripada melalui kehidupan seperti seorang rakyat biasa.

Wah, memang banyak yang kita boleh pelajari daripada Presiden Jose Mujica ini, kan?

Published by
Ruziana Zainal