Tanyalah kepada mana-mana pelari yang aktif melakukan aktiviti larian. Mencari kasut larian yang sesuai untuk jangka masa panjang bukanlah satu perkara mudah.
Setiap orang mempunyai bentuk kaki yang berbeza dan di sinilah cabaran mencari kasut yang paling sesuai untuk keselesaan berpanjangan. Sebab itulah dalam mencari dan menggunakan kasut larian kita tidak boleh ikut trend secara membuta-tuli.
Salah satu jenama yang kini cukup popular di kalangan pelari aktif ialah HOKA. Baru-baru ini, MASKULIN telah berkesempatan merasai sendiri menggunakan kasut larian terbaru mereka, HOKA Mach 5.
Selepas selama lebih sebulan menggunakannya, inilah apa yang penulis boleh kongsikan kepada anda semua.
Pertama sekali mari kita berkenalan dengan kasut yang hadir dengan rekaan yang cukup ringkas tetapi dalam masa yang sama hadir dengan fungsi yang lengkap.
Secara dasarnya, HOKA Mach 5 merupakan kasut larian yang ringan dan lancar. Ia dikatakan mampu mengisi beberapa peranan dalam rutin larian larian kita.
Tampil sebagai versi kelima, kasut ini mempunyai lapisan busa midsole yang lebih lembut dan superkritikal, kesesuaian yang lebih baik dan berat yang lebih ringan yang menjadikannya kemas kini yang hebat.
Berikut spesifikasi asas HOKA Mach 5
Berat: 232 gram
Klasifikasi: Performance/ Kasut larian ringan
Drop: 5mm
Pertama kali menyarung HOKA Mach 5 di kaki di antara yang paling ketara dirasai ialah sensasi bahawa ia adalah kasut larian yang sangat ringan. Ia sudah dijangkakan namun cukup mengejutkan. HOKA Mach 5 merupakan kasut larian berprestasi tinggi yang mampu memenuhi apa jua corak dan gaya larian anda.
Sebagai contoh, penulis menyertai acara larian 10km dengan cukup lancar sekali dengan menggunakan HOKA Mach 5. Selain faktor ringan ia juga cukup stabil dan seimbang. Tidak ada perasaan seperti perlu berhati-hati ketika melakukan larian.
Midsole Profly+ memberikan keseimbangan yang cukup baik selain memberikan responsif yang sangat baik kepada kawasan di jari kaki. Lantunan larian juga dirasai dengan ketara, terima kasih kepada outsole EVA yang cukup tebal.
Dari segi daya tarikan pula ia cukup memuaskan dengan memberikan pendaratan yang baik kepada underfoot. Malah traction yang diperolehi melalui outsole ini cukup versatil. Melakukan larian di atas apa jua permukaan tidak menjadi sebarang masalah. Jadi tidak hairanlah larian 10km yang dilakukan tersebut merupakan paling ‘smooth’ pernah penulis rasai.
Selain faktor outsole dan midsole, salah satu perkara yang cukup penting bagi sepasang kasut larian ialah bahagian upper. Buat anda yang mungkin ada kegusaran akan ‘fit’ sesuai tidak perlu risau dengan HOKA Mach 5.
Sama ada anda jenis kaki tirus atau sedikit lebar ia masih boleh digunakan dengan selesa, Bahan yang digunakan untuk upper adalah dari jenis breathable. Pada bahagian sistem ikatan talinya juga cukup kemas dan boleh diketatkan mengikut keselesaan sendiri.
Lidahnya sedikit nipis namun terdapat padding di bahagian atas bagi sokongan yang lebih baik. Dari segi dimensinya, HOKA Mach 5 hadir dengan kelebaran normal pada bahagian tumit, tengah kaki dan juga bahagian hadapan atau jari.
Pujian boleh diberikan kepada HOKA kerana rekaan gabungan bahan pada upper dan midsole yang digunakan memberikan keselesaan luar biasa.
Secara keseluruhannya, HOKA Mach 5 merupakan kasut larian yang cukup sesuai buat mereka yang lebih versatil dalam larian mereka. Sama ada larian di atas trek, jalan raya atau permukaan keras seperti simen ia dapat menonjolkan kemampuannya dengan sangat cemerlang.
Jadi buat anda yang ingin mencari kasut larian yang mempunyai ‘value’ yang cukup baik, HOKA Mach 5 boleh menjadi jawapannya!
MASKULIN Rating: 4/5