Kesihatan

Kanser Prostat: Rawat Sekadar Kawal Gejala Bagi Tahap Lanjut, Tidak Mampu Sembuh – Pakar Urologi

Share

Lelaki yang menghidap kanser prostat sebenarnya mampu untuk mencapai kesembuhan jika penyakit itu dikesan pada tahap awal.

Bagaimanapun, lebih ramai penghidap kanser itu yang tampil mendapatkan rawatan di hospital ketika penyakit mereka sudah berada di tahap lanjut.

Perkara itu dikongsikan oleh Pakar Urologi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Madya Dr Shanggar Kuppusamy ketika ditemui MASKULIN.

“Lebih kurang 50 ke 60 peratus pesakit yang datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan prostate cancer adalah dalam tahap empat sebenarnya,” jelas Dr Shanggar.

Foto: Dr Shanggar (kanan) ketika ditemui MASKULIN.

“Pesakit yang datang dalam tahap empat biasanya their story is not a good news lah. Mungkin tidak dapat dirawat sampai sembuh, mungkin kita boleh control penyakit mereka sahaja”.

Menurut Dr Shanggar, rawatan bagi pesakit kanser prostat tahap empat kebiasaanya hanya sekadar untuk mengawal gejala sahaja dan bukannya untuk mencapai kesembuhan.

“Kalaulah kita dapat merawat patients dari tahap satu, dua, bahkan tahap tiga sekalipun, mungkin kita boleh rawat sampai sembuh”.

Penyakit kanser prostat ini juga bukan seperti kanser lain yang berkemungkinan untuk menyerang pesakit semula selepas menjalani rawatan, tambahnya.

“Kuasa MASKULIN, Lawan Kanser Prostat”

Dengan kerjasama dengan Universiti Malaya (UM), MASKULIN tampil dengan sebuah kempen kesedaran kanser prostat sepanjang bulan November ini.

Bertemakan “Kuasa MASKULIN, Lawan Kanser Prostat”, kempen ini bertujuan mendidik dan memberikan informasi yang tepat mengenai kanser prostat kepada masyarakat umum, khususnya lelaki. Ini termasuk maklumat mengenai faktor risiko, cara pencegahan dan pilihan rawatan yang ada.

Untuk maklumat lanjut mengenai kanser prostat, layari laman sesawang Beat Prostate Cancer.

Published by
Ruszaini Ruslan