Bukan sahaja kurang cakna mengenai kanser prostat, namun masih ramai kaum lelaki yang masih bersikap ambil ringan terhadap sebarang tanda-tanda masalah kesihatan yang dihadapi.
Menurut Pakar Urologi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Profesor Madya Dr Shanggar Kuppusamy, kebanyakan lelaki agak sukar untuk tampil mendapatkan rawatan bagi sebarang masalah kesihatan yang mereka lalui.
“Lelaki memang dia orang susah sikit untuk datang (mendapatkan rawatan). Biasanya bila kita jumpa dengan lelaki, dia orang macam ‘saya okay sahaja’.
“Bila dah ada problem, baru datang jumpa doktor. Masa itu mungkin sudah terlambat,” jelasnya ketika ditemui MASKULIN.
Perkara itu juga merupakan antara faktor mengapa lebih ramai pesakit kanser prostat dikesan apabila mereka sudah berada di tahap lanjut.
Belum Wujud Program Saringan Kanser Prostat
Menurutnya lagi, masih belum wujud program saringan kanser prostat di Malaysia mahupun di dunia sehingga hari ini.
“Bukan kita nak saring semua orang, itu tidak boleh sebenarnya,” kata Dr Shanggar.
Jelasnya, hal ini kerana kadar kekerapan berlakunya penyakit ini di Malaysia tidak begitu tinggi.
“Masalahnya, penyakit yang kita jumpa dah tahap empat, itu masalahnya. Bukan kerana incidence sangat tinggi”.
Maka, tujuan utama program saringan adalah untuk mengesan pesakit kanser prostat di tahap lebih awal.
Dalam pada itu, Dr Shanggar juga tidak menolak kemungkinan yang perasaan malu masih menebal dalam diri kaum lelaki jika mereka disahkan menghidap kanser prostat.
“Sebab prostat ini ada banyak kena-mengena dengan kehidupan seks. Ini mungkin satu faktor yang membuatkan lelaki susah untuk tampil,” ulasnya lanjut.
“Kuasa MASKULIN, Lawan Kanser Prostat”
Dengan kerjasama dengan Universiti Malaya (UM), MASKULIN tampil dengan sebuah kempen kesedaran kanser prostat sepanjang bulan November ini.
Bertemakan “Kuasa MASKULIN, Lawan Kanser Prostat”, kempen ini bertujuan mendidik dan memberikan informasi yang tepat mengenai kanser prostat kepada masyarakat umum, khususnya lelaki. Ini termasuk maklumat mengenai faktor risiko, cara pencegahan dan pilihan rawatan yang ada.
Untuk maklumat lanjut mengenai kanser prostat, layari laman sesawang Beat Prostate Cancer.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI