Kesihatan

Kanser Prostat: Figura Ternama Yang Pernah Laluinya

Share

Jika anda baru sahaja didiagnos dengan kanser prostat, ataupun terpaksa hidup dengan kesan sampingan dari rawatan penyakit itu, anda tidak berseorangan. Tahukah anda ramai figura ternama antarabangsa yang pernah menghidap kanser prostat dan berjaya mengharunginya? Memetik laman web Confitex, MASKULIN kongsikan kisah-kisah mereka sebagai pemangkin semangat anda yang masih sedang berjuang melawan penyakit itu.

1. Ben Stiller

Pelakon, pelawak, penerbit dan pengarah ini baru berusia 48 tahun ketika didiagnos dengan kanser prostat pada 2014, susulan ujian antigen khusus prostat (PSA) yang dijalaninya setiap enam bulan sejak beliau berusia 46 tahun. Tanpa sebarang gejala dan sejarah penyakit berkenaan di dalam keluarganya, bahkan tidak tergolong di dalam kumpulan berisiko tinggi, Ben terpaksa memilih untuk menjalani pembedahan membuang prostatnya.

2. Stephen Fry

Jika tidak kerana pemeriksaan kesihatan yang perlu dijalaninya sebagai syarat untuk melaksanakan projek lakonan baharunya, selebriti dan penyiar Britain ini mungkin tidak akan sedar akan ‘pembunuh senyap’ yang ada di prostatnya. Pelakon yang juga pelawak dan pengarah ini kemudian menjalani pembedahan sebulan selepas itu yang berjaya membuang semua kesan tumor.

3. John Kerry

Ahli politik Amerika Syarikat (AS) ini baru berusia 50-an dan masih memegang jawatan sebagai senator Demokrat Massachusetts ketika didiagnos pada 2002. Walaupun masih di peringkat awal, John memilih untuk menjalani pembedahan membuang kelenjar prostatnya disebabkan ayahnya meninggal dunia dua tahun sebelumnya akibat kanser yang sama.

4. Rod Stewart

Tiada siapa menyedari penyanyi legenda pop ini pernah menderita penyakit tersebut sehinggalah di sebuah persembahan amal mengumpul dana kanser prostat pada 2019. Ketika sedang membuat persembahan, Rod mendedahkan yang dia pernah bertarung dengan penyakit itu. Kejayaannya melawan penyakit itu adalah disebabkan kansernya berjaya dikesan awal susulan pemeriksaan berkala.

5. Robert De Niro

Pelakon ini menegaskan yang diagnosis awal dan gaya hidup yang sihat memainkan peranan utama dalam proses penyembuhan dari kanser prostat. Robert didiagnos dengan penyakit itu setelah menjalanu ujian PSA berkala ketika berusia 60 pada tahun 2003. Robert bagaimanapun memilih untuk tidak mendedahkan butiran rawatannya namun dia kini telah disahkan sembuh sepenuhnya dari kanser dan turut menimang cahaya mata keenam pada 2011.

6. Colin Powell

Bekas Setiausaha Negara AS dan jeneral empat bintang dalam Tentera AS, Colin Powell sangat lantang menyuarakan kesedaran kanser prostat di kalangan lelaki berkulit hitam sejak menjalani pembedahan penyakit itu pada 2003. Colin dilaporkan mengakui tidak begitu terkejut ketika disahkan menghidap penyakit itu ketika berusia 66 tahun. Hal ini disebabkan beliau menyedari akan fakta yang lelaki berkulit hitam lebih cenderung untuk menghidap kanser prostat berbanding lelaki berkulit putih.

7. Andrew LLoyd-Webber

Andrew merupakan salah seorang dari selebriti yang berterus terang akan kesan sampingan rawatan kanser prostat. Pada 2011, komposer terkenal ini mendedahkan yang beliau mati pucuk susulan menjalani pembedahan buang prostat pada 2009. Bagaimanapun, Andrew tetap bersyukur kerana berjaya mengharunginya. “Saya hidup, saya ada muzik saya, saya ada anak-anak saya. Sayalah lelaki paling bertuah. Saya menganggapnya sebagai nasib yang baik kerana saya berjaya mengharunginya,” katanya.

Dengan kerjasama dengan Universiti Malaya (UM), MASKULIN tampil dengan sebuah kempen kesedaran kanser prostat sepanjang bulan November ini.

Bertemakan “Kuasa MASKULIN, Lawan Kanser Prostat”, kempen ini bertujuan mendidik dan memberikan informasi yang tepat mengenai kanser prostat kepada masyarakat umum, khususnya lelaki. Ini termasuk maklumat mengenai faktor risiko, cara pencegahan dan pilihan rawatan yang ada.

Untuk maklumat lanjut mengenai kanser prostat, layari laman sesawang Beat Prostate Cancer.

Published by
Ruszaini Ruslan