Selepas melalui detik hitam akibat serangan di Singapura yang memberi kesan mendalam kepada fizikal dan mentalnya, Kamal Adli kini kembali bangkit dalam industri lakonan.
Pelakon berbakat ini bakal muncul dalam drama sensasi, Dia Imamku, bergandingan dengan Siti Saleha sebagai watak utama.
Drama ini menandakan kemunculan semula Kamal dalam naskhah adaptasi novel terkenal karya Siti Rosmizah. Menariknya, ini merupakan kali pertama beliau berlakon dalam drama hasil karya novelis tersohor itu.
Menurut Kamal, beliau sudah biasa dengan penulisan Siti Rosmizah dan sangat menghormati kehalusan karya penulis tersebut.
“Cabaran saya sebagai pelakon kali ini adalah untuk memastikan setiap dialog dalam drama ini sama seperti dalam novel. Tapi Alhamdulillah, lama-kelamaan saya faham dan selesa bekerja dengan beliau,” katanya yang ditemui MASKULIN di ‘Tayangan Perdana Ramadan Astro 2025’.
Dalam Dia Imamku, Kamal memegang watak sebagai Amiruddin atau Budin, seorang lelaki sederhana yang bekerja dengan keluarga kaya.
Watak ini merupakan cabaran besar buatnya kerana Amiruddin digambarkan sebagai lelaki yang tenang, penyabar dan memiliki latar belakang agama yang kuat.
“Dia seorang yang sangat tenang, penyabar, dan latar belakang agamanya sangat kuat. Jadi saya kena banyak belajar. Dalam cerita ni, karakter saya banyak kena buli dengan karakter Siti Saleha,” jelas Kamal tentang peranannya.
Tambahnya lagi, drama ini bukan sekadar kisah percintaan biasa, tetapi mempunyai elemen yang sangat menarik dan mendalam.
“Pelakon dalam drama ini semuanya berkaliber dan watak-wataknya sangat berwarna-warni. Ia bukan cerita tentang keceruaangan ‘menyoldol’ macam itu,” katanya berseloroh.
Drama ini mengisahkan Humairah (Siti Saleha), seorang wanita kaya tetapi sombong dan penuh dengan ketidakpastian.
Setelah kembali dari London untuk menguruskan perniagaan keluarga, egonya menyebabkan dia jauh dari keluarga, terutamanya adiknya, Lily Hamra, yang lebih disayangi oleh ibu bapa mereka.
Dalam perjalanannya, Humairah jatuh cinta dengan Amiruddin, lelaki sederhana yang bekerja dengan keluarganya.
Namun, kerana keangkuhannya, dia akhirnya memusnahkan hubungan mereka. Setelah menyedari kesilapannya, Humairah cuba memperbaiki keadaan, namun hatinya masih dipenuhi dengan penyesalan.
Selain cabaran membawa watak Amiruddin, Kamal juga berkongsi bahawa peranan ini memberikan banyak pengajaran kepadanya, termasuk dalam kehidupan peribadi. “Saya boleh katakan ramai akan kasihan dengan saya sebab watak saya ni sangat baik,” ujarnya.
BACA: Dr Say Shazril Menyeru Rakyat Malaysia Dapatkan Vaksin Influenza Setahun Sekali
Beliau juga mendedahkan bahawa sikap Amiruddin sedikit sebanyak memberi inspirasi dalam kehidupan rumah tangganya.
@maskulinmy Kamal Adli sebagai Amir di dalam Megadrama terbaru Astro “Dia Imamku” sempena bulan Ramadan akan ditayangkan bermula 17 Februari ini di Astro Ria, Sooka dan Astro One #Maskulin #GayaHidup #Astro #AstroRia #DiaImamku #KamalAdli ♬ original sound – Maskulin
“Saya banyak terapkan watak Amir, mungkin boleh berikan kesan positif kepada isteri saya. Saya belajar banyak daripada watak Amir yang lebih chill, tenang, dan penyabar,” katanya lagi.
Buat peminat setia Kamal Adli dan Siti Saleha, jangan lupa untuk menyaksikan drama Dia Imamku yang bakal bersiaran mulai 17 Februari, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria serta boleh distrim melalui Astro One & sooka. Saksikan sendiri bagaimana perjalanan kisah Humairah dan Amiruddin dalam drama penuh emosi ini!
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.