Zakat fitrah adalah salah satu daripada rukun Islam yang wajib dikeluarkan oleh setiap individu Muslim yang berkemampuan, dengan tujuan untuk membersihkan diri daripada segala kekotoran jiwa dan perbuatan buruk sepanjang bulan Ramadan.
Zakat ini perlu dikeluarkan sebelum solat sunat Aidilfitri dan wajib ditunaikan oleh setiap Muslim yang memenuhi syarat tertentu.
Dalam hadis Rasulullah SAW, disebutkan:
“Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah sebagai penyuci bagi orang-orang yang berpuasa daripada perbuatan sia-sia (al-laghw) dan ucapan yang kotor (al-rafas), dan juga sebagai hidangan bagi orang-orang miskin. Sesiapa yang menunaikannya sebelum solat sunat Aidilfitri, zakatnya tersebut diterima.
Namun, bagi sesiapa yang menunaikan sesudah solat sunat Aidilfitri, nilainya hanya sebagai salah satu sedekah daripada sedekah-sedekah (tidak dikira sebagai zakat fitrah).” (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah)
Bagi memastikan ia ditunaikan dengan tepat, terdapat beberapa waktu yang perlu diketahui oleh setiap Muslim.
Waktu yang harus bagi pembayaran zakat fitrah adalah sepanjang bulan Ramadan, sementara waktu wajib adalah selepas terbenam matahari pada malam Aidilfitri.
Namun, waktu yang paling afdhal untuk membayar zakat fitrah adalah sebelum solat sunat Aidilfitri bagi memastikan ia sampai kepada golongan yang memerlukan sebelum mereka menyambut Hari Raya.
Pembayaran zakat selepas solat sunat Aidilfitri adalah makruh, manakala ia menjadi haram jika dilakukan selepas terbenam matahari pada 1 Syawal tanpa uzur syarie.
Jumlahnya diukur berdasarkan jumlah satu gantang Baghdad yang bersamaan dengan kira-kira 2.7 kilogram beras atau makanan ruji yang biasa dimakan oleh masyarakat setempat.
Kadar zakat ini berbeza mengikut negeri dan harga beras yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) masing-masing. Sebagai contoh, kadar zakat fitrah di Wilayah Persekutuan adalah RM7, RM15, dan RM22, bergantung kepada jenis beras yang digunakan oleh pembayar zakat.
Di Malaysia, pembayaran zakat fitrah dikendalikan oleh Majlis Agama Islam Negeri. Pembayaran zakat ini boleh dilakukan dalam bentuk beras atau wang tunai, bergantung kepada amalan di negeri masing-masing.
Biasanya, pembayaran boleh dilakukan di masjid, surau, dan kaunter zakat yang disediakan. Selain itu, banyak negeri kini menawarkan kemudahan pembayaran zakat secara dalam talian melalui portal zakat negeri, aplikasi perbankan, atau e-dompet.
Bagi memudahkan umat Islam mengira jumlah zakat fitrah yang perlu dibayar, Astro Awani menyediakan Kalkulator Zakat Fitrah melalui inisiatif Salam Ramadan. Berikut adalah langkah-langkah untuk mengira zakat fitrah dengan menggunakan kalkulator ini:
Layari Laman Sesawang
Pertama, layari laman sesawang pulse.astroawani.com/ramadan.
Pilih Negeri
Di bahagian negeri, pilih negeri anda. Sebagai contoh, pilih Wilayah Persekutuan.
Pilih Kemampuan Zakat
Pilih kadar zakat berdasarkan kemampuan anda. Sebagai contoh, untuk Wilayah Persekutuan, terdapat tiga pilihan kadar zakat: RM7, RM15, dan RM22.
Masukkan Jumlah Tanggungan
Isikan jumlah tanggungan anda di ruang kosong yang disediakan.
Klik “Kira Zakat Saya”
Akhir sekali, klik butang “KIRA ZAKAT SAYA” untuk mendapatkan jumlah bayaran zakat yang perlu dikeluarkan.
Setelah mengikuti langkah-langkah ini, jumlah bayaran yang perlu dikeluarkan akan terpapar di skrin.
BACA: Azeem Fahmi Catat Sejarah, Pecah Rekod 60m Sekali Lagi Dalam Tempoh Kurang Sebulan
Buat anda yang menetap atau bekerja di Wilayah Persekutuan (KL, Putrajaya dan Labuan) boleh terus membuat bayaran zakat secara di atas talian melalui pautan yang disediakan!
Semoga perkongsian ini memberikan manfaat untuk anda. Selamat berpuasa!
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.