Kalau Nak Kasut Nampak Baru Macam Lepas Keluar Kedai, Sangat Disarankan Ikut 3 Tip Ini!

Share

Nampak macam remeh tetapi percayalah kasut merupakan antara aksesori yang terpenting dalam pemakaian anda.

Baik lelaki mahupun perempuan, ramai yang tersilap langkah dalam bab penjagaan kasut ini kerana umum menganggapnya sekadar ‘benda’ yang dipakai di kaki.

Namun perlu diingatkan, setiap kasut mempunyai kegunaannya yang tersendiri dan spesifik mengikut situasi.

Misalnya, anda perlu tahu bila kesesuaian untuk mengenakan kasut untuk ke pejabat, running shoes dan sebagainya.

Kesan tidak menjaga kasut

Teknik penjagaan kasut amat berbeza seperti menyimpan baju atau barang-barang lain. Ramai yang tersilap langkah dalam teknik yang betul untuk penjagaan kasut sehingga :

  1. Kasut mudah rosak
  2. Lusuh
  3. Tidak tahan lama
  4. Dan akhir sekali terpaksa dibuang

Bagi anda yang tidak pernah ambil berat, ini teknik asas penjagaan kasut yang perlu anda ambil tahu :

1. Basuh atau lap seminggu sekali

Kebanyakan orang akan membiarkan kasut yang kotor sehingga kering. Lebih-lebih lagi selepas terkena hujan. Perkara tersebut sebenarnya lebih menyukarkan anda untuk membersihkan kasut. Walaupun anda menyembur cecair kalis air atau sneaker yang materialnya kulit, bahagian tali dan jahitan kasut tetap boleh menyerap air serta kotoran. Perkara ini sekali gus menyebabkan kasut kesayangan anda itu berubah warna dan apa yang perlu anda buat adalah basuh atau lap kasut tersebut sekurang kurangnya seminggu sekali menggunakan tisu basah ataupun kain lembab.

2. Gunakan semburan kalis air

Semburan kalis air sangat berguna jika anda keluar atau ke tempat kerja. Lagi-lagi jika anda menaiki motorsikal dan material kasut anda adalah kain. Material seperti suede atau nubuck memang mudah untuk menyerap air dan kotoran. Jadi, adalah tindakan yang bijak sekiranya anda menyembur kasut anda dengan semburan kalis air. Sekurang-kurangnya tidak cepat kotor. Untuk hasil yang lebih memuaskan, sembur dan tinggalkan semalaman supaya ianya betul-betul kering. Ulangi langkah ini dua hingga tiga lapisan.

3. Simpan kasut dalam kotak

Mesti ramai yang sudah membuang kotak yang dibeli bukan? Kotak kasut anda tersebut sepatutnya jangan dibuang, sebaliknya boleh digunakan untuk menyimpan kasut. Jika anda tinggalkan kasut di rak, ia hanya mengumpul debu dalam setiap kedutan dan rekahan kasut melainkan anda rajin untuk lap semua kasut anda setiap hari. Kotoran yang melekat pada rekahan dan kedutan kasut ini sebenarnya mempercepatkan kasut ini untuk rosak.

Published by
Akyem Samad