Masa rehat atau ‘Me Time’ dalam rumah tangga amat penting, kerana masing-masing mempunyai cara yang tersendiri untuk melepaskan tekanan yang dihadapi sama ada di tempat kerja atau persekitaran.
Dalam rumah tangga, untuk makesure keharmonian dapat disemai kita perlu menghormati masa rehat antara suami dan isteri. Jika belum mempunyai anak, mudah untuk dilaksanakan tetapi jika sudah menimang cahaya mata, harus adanya toleransi di antara suami dan isteri.
Beralah dalam rumah tangga amat penting. Jika hari ini suami sudah pergi bermain futsal bersama rakan, tidak salah jika isteri mahu keluar bersama rakan-rakan wanitanya. Jika ia diamalkan, rumahtangga pasti bahagia hingga ke akhir hayat.
Seorang pengguna Facebook, Shamsul Ramli
telah membuat perkongsian kenapa suami perlu menghormati masa rehat isteri dan juga sebaliknya.Kalau ditanya aku ini suami yang bagaimana, aku suka mengatakan yang aku seorang suami yang sederhana dan beshe beshe aje. Cuma satu pendirian aku yang jelas, aku tidak pernah merasakan yang seorang suami adalah lebih superior dari seorang isteri.
Bagi aku, kedua-duanya memainkan peranan yang sama penting dalam rumah tangga. Sama-sama mempunyai tanggungjawab yang sama berat.
Aku tidak percaya kepada konsep: suami perlu dilayan seperti raja, makan minum disediakan, kain baju dicucikan. Suami kerjanya di rumah hanya melepak di depan TV sambil pekena kopi.
Kopi itu pun si isteri yang perlu sediakan!
Zaman mak-mak kita dulu mungkin begitu. Aku setuju begitu kerana mak-mak kita dulu adalah suri rumah sepenuh masa. Yang bertugas membanting tulang mencari rezeki adalah bapa-bapa kita.
Jadinya sudah ada ‘kontrak sosial’ di situ. Bapa-bapa keluar rumah mencari rezeki, mak-mak di rumah menyediakan makan pakai.
Zaman la ni dah tak begitu, majoriti wanita hari ini bekerjaya. Dan aku mengahwini salah seorang darinya.
Wanita hari ini bekerja pun bukan semuanya untuk kepuasan diri sendiri tetapi lebih ramai yang bekerja kerana keperluan hidup. Tuntutan hidup masa kini, untuk membantu si suami dan keluarga juga.
Maka itu, ‘kontrak sosial’ untuk pasangan bekerjaya ini juga seharusnya berbeza.
Jujurnya aku lebih suka sebegini. Segala perkara jika boleh dilakukan bersama-sama. Sama-sama ada kerja, sama-sama main peranan.
Jika seorang memasak, seorang lagi harus mengemas dan mencuci pinggan mangkuk.
Jika seorang membasuh kain baju, yang seorang lagi harus menjemur.
Ketika travelling, yang seorang memandu manakala yang seorang lagi harus menguruskan anak-anak.
‘Me time’?
Yup perlu ada juga, untuk diri masing-masing. Masing-masing penat bekerja dan masing-masing perlu ada ‘me time’ masing-masing.
Jika ‘me time’ si suami adalah di kolam pancing, apalah salahnya membenarkan ‘me time’ isterinya di gedung membeli belah atau sekadar di kedai kemboja seberang jalan nun.
Hang out bersama rakan masing-masing?
Aku setuju. Jika dia boleh membenarkan kita mengeteh di kedai mamak atau ke snooker sekali sekala, apalah salahnya kita benarkan mereka melepak sesekali di Old Town atau Secret Recipe.
Ah kalau dia hendak ke superstar karaoke sekali pun, melepaskan tekanan kerja bersama rakan-rakan sekerja dia, benarkan ajelah.
Tak akan menjadi kudis pun kan?
Cumanya janganlah keterlaluan pula. Janganlah sampai melanggar norma budaya dan batas agama kita. Janganlah sampai mengamalkan cara hidup barat pula. Di sana budaya swap suami atau isteri pun boleh menjadi gaya hidup.
Jahanam kalau begitu.
Dan kalau kau nak sangat juga kenalah kau tukar nama, kepada John, Johny, atau Jonathan!