Kalau Bukan Kerana Wanita Ini, Raja Charles III Mungkin Tidak Akan Naik Takhta

Share

Siapakah gerangan insan tersebut?

Jika disebut nama Edward Albert Christian George Andrew Patrick David, pasti ramai yang tidak kenal. Namun jika disebut Raja Edward VII pasti ada sesetengah daripada pembaca kenal dengan figura popular ini.

Raja Edward VII merupakan Raja United Kingdom yang penuh kontroversi kerana hanya bertakhta kurang 12 bulan sahaja sebelum baginda melepaskan gelaran.

Namun apakah kaitan Raja Edward VII dengan Raja Charles III?

Secara umumnya, Raja Edward VII merupakan datuk saudara kepada Raja Charles III. Dan jika dilihat daripada sudut pewarisan gelaran, keturunan Raja Edward VII yang seharusnya menjadi pemerintah sah seterusnya.

Walaupun begitu, demi cinta kepada seorang janda, Raja Edward VII sanggup melepaskan takhta.

Pada 11 Disember 1936 secara rasminya baginda tidak lagi bergelar Raja United Kingdom dan tanah jajahannya lalu menyerahkan takhta kepada adinda baginda, Raja George VI yang merupakan datuk kepada Raja Charles III.

Siapakah wanita yang begitu dicintai Raja Edward VII sehingga sanggup turun takhta dan akhirnya hanya bergelar Edward, Duke of Windsor?

Wallis Simpson bersama Raja Edward VII. Kredit foto: Getty Images via Vogue

Wanita tersebut ialah Wallis Simpson yang merupakan seorang sosialit Amerika Syarikat. Hubungan cintanya dengan Raja Edward VII menjadi satu polemik kerajaan United Kingdom kerana statusnya sebagai janda kepada dua perkahwinan berbeza sebelumnya.

Raja Edward VII yang juga memegang tanggungjawab sebagai ketua Church of England akan menimbulkan ketegangan agama dan juga politik kerana menurut kepercayaan gereja tersebut, seorang janda tidak boleh berkahwin semula selagi bekas suami masih hidup.

Namun cinta mengatasi segala-galanya, Raja Edward VII berkahwin dengan Wallis pada 3 Jun 1937 ketika masing-masing berusia 43 dan 41 tahun. Perkahwinan itu tidak direstui Church of England dan tiada seorang pun keluarga Raja Edrwad VII menghadiri majlis tersebut.

BACA JUGA: Rahsia Rutin Senaman Ryan Reynolds Dapat Body Mantap Bagi Filem Aksi Lakonannya

Biarpun begitu hubungan kedua-dua figura popular ini terus mekar dan hidup bersama sehingga ke akhir hayat, malangnya mereka tidak dikurniakan cahaya mata. Raja Edward VII meninggal dunia pada 28 Mei 1972 manakala Wallis Simpson pula meninggal dunia pada 24 April 1986.

Jasad kedua-dua mereka telah ditanam secara bersebelahan di Royal Burial Ground, Frogmore.

Jika difikirkan kembali, andai Raja Edward VII tidak meneruskan hasratnya untuk berkahwin dengan Wallis Simpson dan berkahwin dengan wanita lain yang berdarah bangsawan, mungkin baginda akan memiliki keturunannya sendiri dan terus menjadi pewaris kerajaan United Kingdom.

Tapi, itu sudah takdir yang tertulis….

 

Published by
Fiezreen