Trend merakam gambar sendiri atau lebih dikenali sebagai ‘Selfie’ kini menjadi ikutan ramai di kalangan masyarakat kita. Trend ini kian popular terutamanya pada pengguna telefon pintar yang mempunyai kemudahan Internet. Malah, golongan lelaki juga tidak ketinggalan tergolong dalam trend ini. Golongan ini selalunya gemar memuat naik gambar mereka di laman sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan banyak lagi.
Ada juga golongan selfie ini yang sanggup mempertaruhkan dan gadai nyawa. Apa pun gila selfie tidaklah jadi kesalahan, asal trend ini jangan sampai makan diri.
Satu kajian dijalankan di United Kingdom dan India terhadap 225 golongan muda melalui selfitis behaviour skill bagi melihat tahap keseriusan mereka berselfie
Baru-baru ini pakar Perunding Psikiatri dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid berkata, penyelidikan berkenaan perbuatan itu di negara ini tidak banyak dilakukan dan ia masih perlukan kajian ilmiah sebelum diklasifikasikan penyakit kerana dibimbangi rakyat di negara ini terjebak amalan itu secara berlebihan hingga boleh mendatangkan kemudaratan sama ada kepada kesan fizikal ataupun mental seseorang.
Namun begitu trend berselfie atau berswafoto di Malaysia belum diklasifikasikan sebagai penyakit mental kronik bagaimanapun tahap obses masyarakat kita terhadap aktiviti trend itu semakin membimbangkan. Beliau yang juga Pengarah Universiti Malaya Specialist Centre (UMSC) berkata, melalui kajian itu, lebih 65 peratus daripada 225 orang berkenaan mengalami masalah selfitis behaviour scale (SBS) yang dikategorikan sebagai selfitis borderline, selfitis akut dan selfitis kronik.
“Selfitis borderline bermaksud mereka yang berselfie sekurang-kurangnya tiga kali sehari dan tidak memuat naik gambar dalam media sosial. Manakala selfitis akut dikategorikan mereka yang berswafoto sekurang-kurangnya tiga kali sehari dan memuat naik gambar dalam media sosial, selfitis kronik pula mereka yang berswafoto lebih daripada enam kali sehari dan memuat naik gambar dalam media sosial,” katanya.
“Mengikut kajian dibuat juga mendapati mereka yang berumur belasan hingga 20 tahun sering terlibat dengan gejala itu, bagaimanapun semakin meningkat usia dorongan ke arah perbuatan swafoto semakin berkurangan. Dalam pada itu, beliau menyifatkan berswafoto juga mempunyai kaitan dengan ‘narsisistik personaliti’ bagi mereka yang mempunyai penyakit-penyakit psikiatri seperti anxiety disorder, dan ketagihan.
“Kita tidak pasti sama ada hubung kait ini berkaitan punca atau akibat berswafoto itu sendiri. Bagaimanapun jika dilihat perbuatan berswafoto itu kemungkinan seseorang itu sudah ada penyakit atau kesan daripada sibuk berselfie akan menyebabkan komplikasi penyakit mental.
Konsep sederhana, harmoni berselfie . Hari ini semua peringkat umur suka berselfie. Namun golongan remaja dan awal dewasa adalah antara yang sangat aktif dan kreatif sewaktu berselfie. Saya berpandangan hukum berselfie pada asalnya adalah harus namun ia terikat dengan syarat-syarat tertentu seperti:
1. Niat atau tujuan, sekiranya bertujuan menunjuk-nunjuk, bangga diri, takabbur maka ia adalah dilarang.
2. Mestilah menutup aurat yang sempurna, haram mendedahkan aurat walaupun dalam gambar tanpa alasan syarie adalah dilihat dari sudut niat dan keadaan diri seseorang.
3. Sopan dan bermaruah, sekiranya berselfie dengan bercampur lelaki dan perempuan tanpa batasan atau berlatarbelakangkan aktiviti yang dilarang maka berselfie adalah dilarang.
4. Tidak menimbulkan ketidakselesaan atau gangguan terhadap orang lain, khususnya latar belakang atau orang lain yang terambil gambarnya tanpa kerelaannya.
Tabiat berselfie secara sihat tiada masalah, tetapi tabiat berselfie yang tidak sihat itu yang dilarang. Justeru, niat dan tujuan sangat penting dalam melakukan suatu perkara, takwa dan jati diri menjadi asas perlakuan baik dan bermoral. Keterlaluan tanpa panduan dan batasan dalam aktiviti berselfie boleh membawa kepada kemudaratan, justeru tabiat berselfie mesti ada garis panduan dan batasan dari sudut hukum-hakam agama dan nilai moral.
Islam menekankan konsep kesederhanaan dan keharmonian. Jika ingin berselfie pastikan ia suatu yang baik dan tidak melanggar batas agama. Kita perlu ingat gambar yang dihantar dalam media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram ia akan menjadi tatapan jutaan manusia di alam maya.
Sekiranya yang dihantar adalah yang baik, insya-ALLAH kita akan dapat pahala berganda, namun sekiranya yang dihantar itu adalah yang tidak bermoral dan bertentangan dengan batasan agama, pastinya ia akan mengundang kemarahan orang lain. Apa yang lebih bahaya adalah membawa kemarahan dan kemurkaan ALLAH yang akan menjerumuskan kita ke dalam neraka kerana dosanya juga berganda.
– Isfadiah Mohd Dasuki
Penasihat Shariah, Brainy Bunch
International Islamic Montessori
Sumber : Sinar harian online