Sejauh manakah anda rasa keadaan trafik di negara kita. Bagi pengguna jalan raya yang melalui hari demi hari pasti bersetuju bahawa kondisi kesesakan trafik semakin hari semakin teruk.
Keadaan ini semakin buruk berlaku di bandar-bandar utama di seluruh negara terutamanya di Lembah Klang. Perjalanan dalam jarak 10km pun boleh mengambil masa sehingga satu jam. Begitulah jika ia benar-benar sesak ketika di waktu puncak.
Kesesakan jalan raya di kenal pasti sebagao antara punca menyebabkan pemandu di negara kita alami stres yang cukup tinggi. Dalam kajian terbaru oleh yang dikongsi oleh confused.com terhadap 48 buah negara mendapati Malaysia merupakan antara negara paling teruk di mana pemandunya mengalami stres.
Lebih tepat, Malaysia berada di kedudukan ke lapan sebagai negara yang pemandu atau pengguna jalan rayanya berdepan stres paling tinggi. Dengan sebanyak 72 poin ia juga menjadikan Malaysia sebagai negara pada kedudukan tertinggi di Asia Tenggara.
Selama ini mungkin ramai yang berpandangan negara lain di rantau ini lebih teruk keadaannya. Namun ia tidak menggambarkan rasa stres sepenuhnya.
Sebagai contoh, Singapura berada di tangga ke-17. Malaysia pula mencatatkan purata 91.5 buah kereta setiap satu kilometer berbanding 192.3 buah bagi jarak sama di negara jiran tersebut.
Jadi apakah punca menyebabkan pemandu di Malaysia sentiasa berdepan stres. Pada pandangan MASKULIN ini 10 punca utama yang menjadi penyumbangnya.
Ads
1.
Terperangkap dalam kesesakan jalan raya dalam tempoh yang lama
2.
Berdepan dengan karenah pembuli jalan raya dan pemandu agresif
3.
Kurangnya kesedaran untuk menggunakan ‘signal’ bila ingin menukar lorong
4.
Kenderaan yang tidak mengikuti arahan lampu isyarat dengan baik
Ads
5.
Berdepan pemandu yang suka memotong barisan
6.
Di lebuh raya bila berdepan kereta dari belakang yang mengekori rapat atau ‘mencucuk’
7.
Meletakkan kereta di tempat yang tidak sepatutnya
Ads
8.
Kenderaan yang ‘double park’
9.
Berdepan situasi brek mengejut dengan kerap
10.
Bila mengekori kereta yang memandu terlalu perlahan terutamanya di lebuh raya
Semoga kita semua menjadi pemandu yang lebih berhemah di jalan raya. Nak tahu sejauh mana anda stres ketika memandu? Periksalah kadar denyutan jantung menggunakan jam pintar ketika memandu. Pasti anda pu akan terkejut melihat betapa lajunya jantung anda berdegup kerana stres.
Jom subscribe YouTube dan Telegram MASKULIN untuk seleksi kandungan menarik tentang gaya hidup lelaki!
Demi minat dan cinta terhadap ilmu, pelajar tahun akhir pengajian Usuluddin di Universiti Al-Azhar, Mesir, Muhammad Nur Hadi Sallehuddin sanggup membelanjakan hampir RM20,000 wang simpanannya.
Memetik laporan Sinar Harian, Nur Hadi itu menggunakan wang itu untuk mengumpul 200 kitab turath, iaitu kitab tradisi ilmu Islam karangan ulama alam Melayu dari sekitar 1920-an hingga 1960-an.
Dia yang kini berusia 24 tahun itu mula mengumpul khazanah berharga ini sejak awal 2020. Kebanyakan kitab tersebut dicetak oleh Mustafa al-Halabi, salah satu syarikat percetakan dan penjualan buku tertua di Timur Tengah. Kitab-kitab ini, yang sukar diperolehi, sebahagian besarnya ditulis dalam tulisan Jawi dan Aceh, meliputi pelbagai disiplin ilmu Islam seperti sejarah, tafsir, tajwid, fiqah, tasawuf, hadis, akidah, dan kamus Arab-Jawi.
Antara koleksi berharga yang dimiliki Nur Hadi ialah Kamus Idris Al-Marbawi karya Dr Syeikh Idris al-Marbawi, Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan pertama, dan Doa Hari Arafah nukilan Syeikh Jaafar Husein dari Kelantan, selain kitab-kitab tulisan ulama dari Indonesia dan Pattani.
“Semasa awal datang ke Mesir, saya tidak tahu kewujudan kitab-kitab ini sehingga diberitahu oleh rakan di Malaysia. Pada mulanya, saya hanya membeli 25 buku sahaja, tetapi lama-kelamaan timbul rasa tanggungjawab untuk mencari dan mengumpulkannya,” ujar Nur Hadi.
Selain kitab-kitab tersebut, Nur Hadi juga mengumpul bahan lain seperti dokumen persuratan dan cop besi yang diukir tulisan Jawi-Arab. Salah satu penemuan menariknya ialah bukti bertulis sumbangan besar Syeikh Idris sebagai editor kepada kitab-kitab tulisan ulama lain sebelum dicetak untuk diterbitkan.
Berasal dari Taiping, Perak, Nur Hadi terdorong mengumpul kitab-kitab lama ini kerana nilainya yang bersejarah dan cetakan aslinya di Mesir yang lebih dipercayai sebagai rujukan. Pertemuannya dengan seorang peniaga buku Arab, Ammu Abdul Maula, yang berusia 70-an dan bekerja di Mustafa al-Halabi lebih dari 50 tahun, memudahkannya mengumpul kitab turath dalam kuantiti yang banyak.
Jelasnya, Ammu yang berpengalaman luas mengenai simpanan kitab turath yang dicetak syarikat itu membawanya masuk ke gudang buku dan menunjukkan kitab turath alam Melayu yang masih ada. Dari situlah Nur Hadi mendapatkan kebanyakan tajuk yang sudah tiada lebihan naskhah.
Nur Hadi merancang untuk membawa pulang koleksi kitab ini ke tanah air dan sedia berkongsi dengan pihak berkaitan yang berminat seperti pengkaji sejarah, ahli akademik, dan universiti. Koleksi ini diharap dapat menjadi sumber rujukan yang bernilai tinggi untuk generasi akan datang.
Tip urus wang ini adalah perkara paling asas yang perlu anda fahami dan lakukan dalam perancangan kewangan peribadi anda.
Kenapa Pendapatan MESTI melebihi Perbelanjaan?
Konsep yang begitu mudah untuk difahami tetapi mencabar untuk dipraktikkan. Kita perlu pastikan pendapatan atau gaji (input) mesti lebih daripada perbelanjaan (output). Barulah kita berada dalam zon selamat dan dapat mengelakkan daripada berhutang.
Persoalannya, bagaimana ingin tahu perbelanjaan kita ? Mudah sahaja. Bermula awal bulan depan, pastikan semua perbelanjaan anda setiap bulan direkodkan dan ketahui berapa jumlah perbelanjaan anda pada bulan tersebut. Berkenaan pendapatan pula, anda hanya perlu jumlahkan gaji bulanan termasuk elaun, bonus, kerja-kerja tambahan dan pendapatan pasif.
Apabila PENDAPATAN anda ditolak PERBELANJAAN, masih mempunyai baki positif, maka anda telah melepasi ujian pertama dan berada dalam zon selamat. Tetapi, sekiranya baki negatif, anda hanya ada dua pilihan sama ada mengurangkan PERBELANJAAN atau menambahkan PENDAPATAN.
Kurangkan Perbelanjaan
Untuk kembalikan ke zon selamat, anda boleh cuba kurangkan dahulu perbelanjaan bulanan. Pengalaman saya mengajar, perubahan yang sedikit tetapi istiqamah biasanya lebih berkesan daripada anda cuba untuk berubah secara drastik. Terpulang kepada anda untuk membuat pilihan terbaik. Saya gariskan beberapa langkah asas yang anda boleh lakukan untuk mengurangkan perbelanjaan.
1.Rekod semua perbelanjaan anda
Saya biasa menggunakan buku 555 yang diletakkan dalam dompet untuk merekodkan perbelanjaan ketika mula memantau perbelanjaan dulu. Tetapi sekarang ini sudah ada pelbagai alat elektronik yang boleh digunakan untuk merekodkan perbelanjaan seperti menggunakan smartphone, iPad dan sebagainya. Rekod ini akan menjadi data rujukan anda untuk menganalisis perbelanjaan. Proses merekodkan ini juga secara tidak langsung berjaya menjadikan saya begitu berjaga-jaga sebelum berbelanja.
2.Bezakan KEPERLUAN dan KEHENDAK
Asingkan setiap perbelanjaan anda sama ada ia satu keperluan atau kehendak. Cuba periksa bil-bil bulanan anda. Adakah anda betul-betul perlukannya? Adakah anda perlu melanggan Astro atau siaran TVpercuma sudah memadai?
Adakah anda perlu menggunakan Smartphone Blackberry atau iPhone tetapi anda sebenarnya hanya gunakannya untuk telefon dan SMS sahaja? Adakah anda perlu menonton wayang apabila setiap filem baru ditayangkan atau anda boleh menyewa atau membeli secara berkongsi DVD filem tersebut? Semua perbelanjaan yang tidak perlu bolehlah dikurangkan atau dihapuskan terus.
3.Berbelanja mengikut belanjawan
Anda perlu membuat “budget” atau belanjawan lebih awal iaitu sebelum wang gaji anda masuk. Pastikan ia bertulis dan sepatutnya dibincangkan bersama pasangan anda bagi yang sudah berkahwin. Apabila sudah ada belanjawan bulanan, anda perlu pastikan hanya berbelanja mengikut apa yang ada di dalam belanjawan sahaja.
Dengan cara ini anda dapat mengelakkan belanja secara berlebihan atau membeli barangan yang tidak perlu atau tiada dalam belanjawan. Contohnya, sebelum pergi membeli belah di pusat membeli-belah, pastikan anda telah sediakan senarai barang untuk dibeli dan disiplinkan diri anda dengan hanya membeli barang-barang yang ada di dalam senarai tadi sahaja.
Tambahkan Pendapatan
Bagaimana pula untuk menambahkan pendapatan anda? Sebenarnya terdapat banyak cara untuk menjana pendapatan tambahan bagi menampung keperluan. Berikut empat cara untuk menambahkan pendapatan anda.
1.Jadi pekerja cemerlang
Anda mempunyai pilihan sama ada pertama, untuk bekerja secara sambil lewa, rasa terpaksa dan benci dengan kerjaya anda sekarang atau kedua, anda meningkatkan motivasi, minat, disiplin, bekerja bersungguh-sungguh dan menjadi pekerja cemerlang.
Apa perbezaan antara pekerja cemerlang dan pekerja malas? Sudah tentu kenaikan gaji tahunan mereka tidak sama. Elaun dan bonus juga biasanya akan berbeza. Kenaikan pangkat pula menjanjikan kenaikan gaji anda.
2.Tingkatkan ilmu anda
Ramai yang saya lihat membuang masa di tempat kerja dengan melayari Internet , chatting dan tidak melakukan apa-apa apabila tiada kerja. Ini adalah suatu kerugian yang besar. Anda sepatutnya menggunakan masa tersebut untuk menambahkan ilmu pengetahuan dan kemahiran.
Contohnya, anda boleh bergiat aktif dalam persatuan atau aktiviti berbentuk sukarela di tempat kerja sebagai platform latihan bagi meningkatkan ilmu pengucapan awam, “presentation skill”, “event management” dan pengurusan masa berkesan. Ini adalah ilmu-ilmu yang berguna dalam apa sahaja bidang kerjaya yang anda ceburi.
Selain itu, sebaik-baiknya perlu menjadi pakar dalam bidang kerjaya anda. Kalau anda seorang doktor misalnya, berusahalah untuk menjadi doktor pakar.
3.Buat Baik dengan semua orang
Di tempat kerja, anda akan berurusan dengan pelbagai jenis orang termasuklah rakan dari jabatan yang sama dan berlainan, kontraktor, konsultan, ketua masyarakat dan sebagainya. Walaupun anda adalah seorang bos atau ketua, layanlah anak-anak buah dengan baik dan adil.
Bina hubungan yang baik dengan seramai mungkin kenalan tidak mengira latar belakang. Kita tidak tahu mungkin suatu hari nanti mereka bakal menjadi bos kita, pelanggan kita, rakan kongsi atau tempat kita meminta bantuan kelak.
4.Mulakan bisnes secara sambilan (part-time)
Sekiranya anda menguruskan masa dengan baik, anda sebenarnya sempat untuk memperuntukkan beberapa jam pada waktu malam dan hujung minggu bagi menjalankan perniagaan secara part time. Anda boleh manfaatkan minat atau kepakaran anda untuk menjana pendapatan seperti menjadi juru foto, menulis blog dan menjual produk “homemade” (coklat, biskut, anyaman).
Saya mencadangkan anda menceburi perniagaan melalui Internet kerana modal yang minimum serta anda boleh lakukannya dari rumah atau di mana sahaja. Modal permulaan yang anda perlukan hanyalah sebuah komputer dan talian Internet. Anda boleh melakukan pemasaran secara online dan menjual produk fizikal atau digital seperti ebook.
Sekiranya anda tiada produk sendiri, saya cadangkan anda memulakan dengan kaedah dropship atau affiliate. Ini merupakan antara strategi yang telah saya cuba dan membuahkan hasil.
SUkur Baju di Badan Sendiri
Setiap perbelanjaan yang dapat dikurangkan dan tambahan pendapatan yang diperoleh akan memberi kesan positif serta membantu mengukuhkan lagi status kewangan anda. Mula-mula, duit lebihan tersebut anda gunakan untuk melangsaikan segala hutang-hutang terlebih dahulu. Kemudian, anda boleh guna lebihan wang anda untuk simpanan. Dengan duit simpanan yang banyak, secara automatik anda akan berasa lega dan lebih selamat. Ketika ini barulah anda mula melabur dan menggandakan lagi wang anda.
Akhir kata, ukurlah baju di badan anda sendiri. Berbelanjalah mengikut kemampuan anda. Berpijaklah di bumi yang nyata. Jangan mudah terpengaruh dengan keadaan sekeliling. Apa yang penting, pastikan PERBELANJAAN anda kurang daripada PENDAPATAN anda.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Cara terpantas untuk membakar kalori dalam masa 20 minit adalah dengan membuat senaman melibatkan keseluruhan otot termasuklah otot kaki dan badan. Kaedah ini dijangka membakar lebih 350 kalori berbanding senaman biasa hanya membakar 200 kalori untuk 20 minit.
Senaman ini bukan sahaja memfokuskan pada pembakaran kalori tetapi meningkatkan kekuatan otot. Lagi banyak otot yang anda bina, lagi tinggi metabolisme anda. Lakukan rutin senaman ini untuk tiga kali seminggu dan sebanyak 20 hingga 30 pengulangan. Kemudian rehat 1 minit dan lakukan sebanyak 3 hingga 4 circuit/set.
SUMO DEADLIFT
-Sumo deadlift menggunakan otot kaki secara keseluruhan. Senaman ini boleh dilakukan dengan mengguna berat beban sendiri (bodyweight) atau menggunakan beban seperti dumbbell dan iron plate.
-Mulakan pada posisi berdiri tegak dengan kaki dibuka luas seperti dalam posisi sumo hujung kaki menghadap ke penjuru. Keluarkan pinggul (butt out) dan pastikan badan dalam keadaan tegap.
-Kemudian mulakan pergerakan dengan merendahkan badan dan menarik nafas sehingga dumbbell mencecah lantai dan tolak kembali ke posisi permulaan.
IRON CROSS
-Mulakan senaman ini dengan berdiri tegak dan kaki di buka seluas lebar bahu (shoulder) dengan memegang dumbbell menghadap ke sisi.
-Kemudian mulakan pergerakan dengan mengerakkan tangan ke hadapan anda. Pada masa yang sama lakukan squat dengan menarik nafas.
-Apabila anda menolak badan anda ke posisi permulaan, hembus nafas dan letakkan dumbbell ke sisi kembali.
DUMBBELL SWING
-Senaman ini kebiasaannya dilakukan dengan menggunakan kettlebell. Senaman ini membina otot pada kaki, abdominal serta otot di bahagian belakang tubuh badan.
-Buka dan jarakkan kaki anda selebar bahu anda dengan hujung kaki anda menghadap ke penjuru. –Kemudian mulakan pergerakan dengan menghayun dumbbell sehingga tangan anda lurus ke hadapan. Pastikan tulang belakang anda sentiasa tegap dan tidak melengkung.
SNATCH
-Senaman ini menggunakan hampir keseluruhan otot. Ia memerlukan kalori atau tenaga yang banyak secara tidak langsung membakar lemak pada badan anda. Senaman ini perlu dilakukan dengan laju (explosive power).
-Kebiasaannya senaman ini dilakukan dengan menggunakan barbell . Bagi mereka yang baru mencuba, boleh menggunakan dumbbell.
-Mulakan dengan posisi berdiri tegak dan pegang dumbbell dengan meletak di hadapan kaki seperti dalam posisi deadlift.
-Kemudian angkat dumbbell tegak ke atas dalam masa yang sama lakukan squat dan berdiri tegak. Ulangi pergerakan ini.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.