Menurut peguam ini, ‘Childfree Lifestyle’ merujuk kepada pasangan yang memutuskan untuk tidak mempunyai anak selepas berkahwin. Apabila saya membuat pencarian mengenai istilah tersebut, didapati bahawa negara Indonesia antara yang aktif membincangkannya.
Antara faktor yang menyebabkan pasangan memilih untuk tidak mempunyai anak adalah kerana belum bersedia dan terutama sekali faktor kewangan. Dalam perkongsian tersebut, belia turut bertanya sama ada fahaman ini diterima di Malaysia dan adakah ramai yang sudah mula mengamalkan gaya hidup sebegini.
HARAM KAHWIN UNTUK BERSERONOK – Mufti
Berkahwin dengan niat mahu mencegah kehamilan semata-mata inginkan keseronokan serta kebebasan adalah berdosa dan hukumnya haram, kerana ia tidak selari dengan matlamat perkahwinan menurut syariah. Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor memberitahu, Islam melarang umatnya yang berkahwin mencegah kehamilan tanpa sebab yang munasabah.
Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya,
“Berkahwinlah dan beranak pinaklah, sesungguhnya aku akan berbangga dengan ramai umatku pada hari kiamat…”
Islam amat menggalakkan agar setiap pasangan suami isteri berazam dan berusaha untuk mempunyai anak. Bagi mereka yang tidak mempunyai anak setelah berusaha atau tidak berusaha mendapatkan anak dengan kaedah-kaedah alternatif adalah tidak dikira sebagai satu kesalahan dan berdosa di sisi syarak. Hal ini kerana, Allah SWT sahaja yang berhak dan berkuasa untuk menciptakan setiap nyawa di muka bumi ini. Ini berpandukan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
لَيْسَتْ نَفْسٌ مَخْلُوقَةٌ إِلَّا اللَّهُ خَالِقُهَا
Maksudnya: Tiada suatu nyawa pun yang diciptakan melainkan Allahlah Penciptanya- Riwayat al-Bukhari (7409) dan Muslim (1438)
*Nak merancang itu boleh, tapi janganlah sampai berniat untuk tidak mempunyai anak. Siapa nak terus bawa legasi nama dan doakan untuk kita boleh kita dah tiada?