Jurulatih Kecergasan Tak Semestinya Kena Sado, Setuju?

Share

ETIKA SEBAGAI JURULATIH KECERGASAN

Dewasa ini, kita boleh lihat semakin ramai jurulatih kecergasan peribadi atau personal fitness trainer semenjak fonomena Mr. Badan Cantik dipertandingkan. Tugas sebagai fitness trainer bukanlah sesuatu yang mudah sebenarnya kerana mereka bertanggungjawab terhadap pelanggannya. Terdapat banyak kesilapan yang sering fitness trainer kerap dilakukan tanpa disedari.

 

Kesilapan 1  : Tidak mempunyai sijil

Sijil kejurulatihan sangat penting kerana ianya adalah lesen yang menunjukkan pengiktirafan sebagai jurulatih dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang fitness trainer terapkan. Terdapat pelbagai sijil dikeluarkan oleh badan-badan yang diiktiraf sama ada dari luar dan dalam negara. Tiada undang-undang mengatakan fitness trainer wajib mempunyai sijil, tetapi sekiranya pelanggan anda cedera dan saman anda, ini akan memburukkan lagi keadaan.

Kesilapan 2 : Latihan yang sama

Jurulatih kecergasan sepatutnya pakar dalam melatih kecergasan. Kecergasan bermaksud kebolehan untuk melakukan pelbagai komponen dan aktiviti. Terdapat lima komponen kecergasan fizikal berasaskan kesihatan (health related fitness). Fitness trainer seharusnya mengamalkan serta menerapkan lima komponen wajib ini dalam melatih pelanggannya iaitu daya tahan kardiorispitori, kekuatan otot, daya tahan otot,  komposisi lemak badan, kelenturan dan kelonggaran. Fitness trainer

seharusnya kreatif dalam merancang pelbagai latihan untuk pelanggannya. Sebuah program latihan tidak akan dapat sesuai untuk semua kerana setiap orang mempunyai matlamat dan kebolehan tersendiri. Adakah fitness trainer anda melatih anda dengan program yang sama bertahun-tahun?

Kesilapan 3 : Kebersihan dan pakaian

Fitness trainer seharusnya menjadi contoh kepada pelanggannya. Mereka seharusnya mengamalkan dan menjaga kebersihan dari segi pemakaian. Terdapat juga trainer yang datang melatih pelanggannya dalam keadaan yang tidak terurus dengan kasut yang agak kotor dan pakaian yang tidak sesuai untuk tujuan latihan seperti memakai seluar jeans. Pakaian mereka melambangkan profesionalisme mereka.

Kesilapan 4: Pengurusan masa dan disiplin

Masalah yang biasa berlaku adalah fitness trainer tidak datang tepat pada waktunya. Pelanggan adalah boss kerana membayar gaji anda. Disiplin seharusnya dititik beratkan kerana ini menunjukkan sama ada fitness trainer itu selalu membuat kerja tepat pada masa atau tidak. Terdapat juga fitness trainer

yang menjawab panggilan sambil melatih pelanggannya. Ini menunjukkan sikap yang tidak beretika dan menjadi imej kepada fitness trainer yang lain.

 

Kerjaya sebagai jurulatih kecergasan bukanlah sesuatu yang mudah. Kerjaya ini memerlukan kekuatan dari segi mental dan fizikal. Ini boleh dilihat dengan tanggungjawab yang tinggi untuk mencapai objektif. Di samping itu, jurulatih kecergasan perlu mematuhi beberapa kod etika sebagai seorang jurulatih. Ini mencerminkan profesionalisme seseorang itu dalam kerjaya.

 

Motivasi

Jurulatih kecergasan perlu memotivasikan anak buahnya.Terdapat juga jurulatih yang kerap kali memandang rendah dan tidak memberi semangat kepada pelanggan. Hal ini boleh mengakibatkan prestasi merudum dari masa ke masa. Motivasi boleh diberi dari pelbagai sudut contohnya dengan menggalakkan, menasihatkan, memberi ganjaran dan membawa pelanggan ke tempat latihan yang menarik dan tidak membosankan.

 

Fokus

Kerjaya ini juga perlu mendedikasikan masa jurulatih kepada anak buahnya. Fokus dengan kerjaya perlu diterapkan. Kelalaian yang kerap berlaku ialah jurulatih melatih anak buahnya sambil bermain telefon, menjawab panggilan telefon dan berbual-bual dengan rakan jurulatih semasa anak buahnya sedang menjalani latihan. Tindakan ini boleh dilihat tidak beretika.

Topik

Jurulatih anda boleh menjadi rakan baik. Jurulatih kecergasan perlulah kreatif dan inovatif bukan sahaja dalam membentuk latihan tetapi juga dalam aspek perbualan. Walau bagaimanapun, topik perbualan tetap menjadi isu sensitif jika terdapat isu-isu yang menjadi kontra dari segi minat pelanggannya. Elakkan berbual isu politik, keagamaan, bangsa dan isu semasa yang boleh menyinggung perasaan.

 

Perikemanusiaan

Jurulatih perlulah bertimbang rasa dalam menjalankan tanggungjawabnya. Jurulatih perlu mengetahui kondisi pelanggannya dari masa ke masa dalam memberi latihan sebagai contoh kondisi pelanggannya dari kesihatan, pemakanan, kecederaan sebelum memulakan latihan. Jurulatih perlu memulakan sesi latihan dengan menemu bual pelanggannya bagi mengetahui kondisi semasa. Sekiranya pelanggan anda cedera di bahagian kaki, elakkan latihan pada hari tersebut pada bahagian kaki dan fokus pada tubuh badan. Jurulatih kecergasan juga perlu tahu bagaimana mengikut rentak mengawal keadaan bagi mengelakkan kebosanan dan memahami mood pelanggannya serta memanipulasikan keadaan kepada keseronokan semasa latihan.

 

 

 

Published by
Kim Rahim