Pada dua hari lepas sejarah sukan permotoran Malaysia telah mengukir satu lagi sejarah baru yang pastinya mampu membanggakan kita semua.
PETRONAS telah memperkenalkan pasukan pertama dari Malaysia yang bakal berentap di kelas tertinggi Grand Prix motosikal dunia iaitu MotoGO! Selain itu, mereka turut meneruskan berentap di dua kelas di bawah pada kelas Moto2 dan Moto3.
Pada majlis pelancaran yang dilangsungkan di Menara Berkembar PETRONAS, kesemua pelumba dari setiap kelas turut hadir untuk diperkenalkan kepada pihak media dan orang ramai.
Nama rasmi pasukan yang bakal berentap pada musim 2019 ini ialah PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (Petronas Yamaha SRT) dan pelumba-pelumba yang mewakilinya ialah Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo untuk kelas MotoGP dengan menggunakan jentera Yamaha YZR-M1.
BACA: Lasak & Kacak, 3 Kerabat Yang Popular Kerana Aktif Bersukan
Manakala untuk kelas Moto2 pula menampilkan bakat besar Malaysia, Khairul Idham Pawi. Bagi kelas Moto3 pula dua pelumba masing-masing dari Jepun dan United Kingdom iaitu Ayumu Sasaki dan John McPhee.
Tampil dengan jentera paduan warna utama hijau dan hitam, peminat-peminat MotoGP tempatan pasti sangat teruja dengan penglibatan pasukan pertama dari Malaysia di pentas tertinggi sukan lumba motosikal dunia. Malah, MASKULIN yakin ramai yang akan mengabadikan tema warna ini pada motosikal mereka nanti.
Menurut Team Principal PETRONAS Yamaha SRT dan CEO Litar Antarabangsa Sepang, Razlan Razali, “pelancaran pasukan ini membawa niat kami dengan jelas untuk bersaing pada musim MotoGP 2019.”
“Ia merupakan satu perjalanan yang luar biasa buat kami dan semoga ia berterusan membawa kejayaan. Pelancaran pasukan ini adalah untuk rakyat Malaysia yang telah menyokong Malaysian MotoGP sejak 1991.”
Semoga pasukan PETRONAS Yamaha SRT mampu bersing dengan pasukan-pasukan utama di peringkat MotoGP dan sekaligus mengharumkan nama Malaysia.
Sumber: Petronas SRT