Jika Rambut Mula Gugur, Ini 5 Petua Untuk Elak Kepala Jadi Botak

Share

Ramai orang yang berkepala botak pastinya merasakan ini merupakan satu kondisi yang cukup mencabar bila tinggal di negara kita yang mempunyai cuaca tropika.

Apa tidaknya mereka tidak mempunyai sebarang perlindungan berbentuk rambut dan cahaya matahari akan terus terkena kulit kepala mereka. Jika pakai topi pula ia pasti rasa tidak selesa dengan peluh yang mengalir.

Malah sebuah kaji selidik yang dijalankan responden wanita mendapati tiga daripada lima orang mengatakan lelaki yang mengalami rambut gugur merupakan antara faktor mereka hilang minat atau untuk ada perasaan terhadap seseorang lelaki.

Tapi anga jangan keliru, botak dengan pilihan sendiri dan botak akibat masalah rambut adalah dua perkara berbeza. Kondisi botak tengah merupakan dilema besar buat lelaki zaman sekarang. Dan anda jangan ingat lelaki di usia muda tak terlepas daripada masalah ini, ya!

Kini terdapat pelbagai jenis rawatan moden untuk kurangkan keguguran rambut lelaki. Tapi kali ini MASKULIN nak kongsikan 5 petua yang menggunakan sumber alam semula jadi.

Kacang Hijau

Ambil kacang hijau dan rendam selama satu malam. Kemudian tapis kacang hijau tersebut dan ambil airnya. Sapukan air kacang hijau itu ke kulit kepala anda. Sambil itu picit kulit kepala anda dengan perlahan-lahan. Ini merupakan cara biasa yang pernah diamalkan oleh orang-orang zaman dahulu untuk menyuburkan semula kulit kepala dan merangsang pertumbuhan rambut.

Daun Pandan

Ambil daun pandan dan tumbuk sehingga lumat. Kemudian pandan tersebut dicampurkan dengan sedikit air dan perah. Ambil sedikit santan dan campurkan dengan pandan yang ditumbuk tadi, kacau sehingga rata. Biarkan selama kira-kira setengah hari. Selepas itu sapukan pada rambut anda. Biarkan ia selama kira-kira 45 minit. Kemudian bilas dengan air. Anda boleh amalkan seberapa kerap yang mungkin untuk dapatkan hasil maksima.

Minyak Kelapa Hijau

Lebatkan rambut anda dengan gunakan minyak kelapa hijau dan sapukan pada rambut. Biarkannya selama semalaman sebelum anda bilas dengan air bersih. Tapi anda mungkin berasa sedikit tidak selesa dan janggal kerana bau minyak kelapa yang agak kuat. Lakukan beberapa kali dan lihat hasilnya.

Vitamin Semula Jadi

Perkara yang anda makan juga memainkan peranan penting dalam cara melebatkan rambut anda dengan berkesan. Ambil banyak makanan yang mengandungi Vitamin seperti Vitamin A, vitamin B atau vitamin D untuk merancakkan pertumbuhan rambut. Perbanyakan ambil makanan yang berasaskan sayuran hijau dan buah-buahan kerana ia mengandungi nutrisi yang membantu untuk menguatkan akar rambut anda. Selain itu ia juga menjadikan rambut anda lebih menarik dan lebat.

 

Published by
Farizul Izwany