Hari Raya Aidilfitri tahun ini cukup dinantikanoleh rakyat Malaysia selepas dua tahun tidak dapat meraikannya bersama keluarga tersayang di kampung.
Musim perayaan ini ditambah meriah dengan kegembiraan ramai individu yang melakukan Pengeluaran Khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM10,000.
Kebenaran pengeluaran tersebut semangnya dinantikan oleh ramai orang apatah lagi menjelang tibanya Hari Lebaran. Namun gunakanlah wang tersebut dengan sebaik mungkin. Berbelanjalah dengan berhemah dan guna wang tersebut untuk meringankan beban anda.
Namun tidak semua yang melakukan pengeluaran tersebut sebenarnya betul-betul terdesak. Ada yang melakukan pengeluaran kerana semata-mata ia dibenarkan. Walau bagaimanapun tahukah anda melakukan pengeluaran tersebut and mungkin wajib dikenakan zakat berjumlah RM250.
Hal tersebut dinyatakan oleh Zakat Pulau Pinang menerusi laman Facebook mereka pada beberapa hari lalu. Jelas mereka, wang pengeluaran KWSP tersebut yang dilakukan oleh pencarum dikategorikan sebagai ‘al-maal al-mustafad’.
Mereka menjelaskan apa-apa pendapatan atau harta yang dimiliki dengan cara upah, ganjaran, pemberian, pindahan dan lain-lain pendapatan yang bukan berpunca daripada pulangan simpanan, pelaburan atau aktiviti jual beli.
“Mengikut kiraan, jumlah wang KWSP yang dikeluarkan didarab dengan 2.5 peratus, sebagai contoh RM10,000 didarab 2.5 peratus adalah RM250.
“Maka jumlah yang perlu dikeluarkan zakat bagi pencarum yang mendapat RM10,000 adalah sebanyak RM250,” jelas mereka lagi.
Akan tetapi terdapat 3 situasi berbeza bagi bayaran zakat pengeluaran KWSP. Dan ketiga-tiga situasi ini menentukan sama ada anda wajib membayar zakat tersebut atau tidak.
Berikut tiga situasi tersebut.
Diwajibkan zakat serta merta sekiranya pendapatan tahunan seseorang pencarum KWSP itu sudah melebihi nisab tahun pertama.
Situasi kedua pula adalah cukup Haul. Ia bermaksud seseorang itu perlu menunggu sehingga akhir tahun (haul) kerana yakin pendapatan tahunan mencapai nisab setelah wang pengeluaran KWSP ini digabungkan.
Situasi di mana seseorang itu tidak wajib zakat terhadap pengeluaran KWSP ini kerana tidak mempunyai sebarang pendapatan dan pengeluaran bertujuan memenuhi keperluan asasi diri dan keluarga.
Bagi situasi ketiga yang tidak perlu membayar zakat tersebut, perkara ini pernah dijelaskan dengan lebih lanjut oleh Pengurus Unit Kanan Syariah & Antarabangsa, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Ahmad Husni Abd Rahman menerusi satu laporan Berita Alhijrah.
Jelasnya pembayaran di bawah zakat harta itu adalah dituntut hanya bagi individu yang membuat pengeluaran secara suka-suka tanpa ada bebanan dan masalah kewangan.
Ini kerana pembayaran zakat KWSP sebanyak 2.5 peratus adalah wajib ke atas individu yang membuat pengeluaran khas KWSP berjumlah RM10,000.
Namun jangan keliru, kerana pembayaran zakat adalah tidak wajib bagi individu yang membuat pengeluaran wang tersebut atas keperluan sumber pendapatan yang mendesak.
Berikut merupakan perincian syarat pengecualian tersebut.
1. Individu yang berdepan masalah pendapatan dan menggunakan wang tersebut untuk meneruskan kehidupan.
2. Golongan yang masih mempunyai hutang yang perlu dilangsaikan dengan segera.
3. Pengeluaran yang digunakan untuk keperluan-keperluan asas atau mustahak seperti perubatan, pendidikan, dan seumpamanya.
Kalau anda ingin melakukan kira-kira amaun zakat pengeluaran KWSP, boleh layari website https://bayarzakatmalaysia.my/.
Semoga perkongsian ini memberikan manfaat untuk anda.