Pada 23 November lalu, jenama jam mewah terkenal Rado meraikan pembukaan butik baharunya di Pavilion Kuala Lumpur dengan kehadiran dutanya Ji Chang-wook, seorang bintang dari Korea Selatan.
Kehadirannya bersama Ketua Pegawai Eksekutif Rado Adrian Bosshard disambut dengan ratusan peminat yang turut serta ingin mengambil kesempatan merakamkan gambar dan video bintang Korea itu dihadapan mata mereka.
Acara bermula pada jam 3 petang apabila Chang-wook dan Adrian memasuki pusat membeli belah tersebut di atas hamparan karpet merah menuju ke bahagian Centre Court.
Di situ, Adrian memperkenalkan jam tangan Rado DiaStar Original berwarna kuning pertama dengan bezel Ceramos™ yang inovatif jenama itu.
Adrian kemudian mempersembahkan jamitu kepada Chang-wook, sekaligus menjadikannya pemilik rasmi pertama DiaStar Original sejak dilancarkan pada 1972.
Selepas itu, kedua-dua mereka menuju ke butik Rado untuk acara memotong reben. Mereka turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Membeli-Belah Pavilion Dato’ Joyce Yap, Pengarah Kanan Runcit dan Pajakan Lovell Ho, Naib Presiden Pemasaran Rado Rico Steiner, serta Pengurus Jenama Rado untuk Malaysia Penny Chong.