Bersempena Sukan Paralimpik Paris 2024, Majlis Paralimpik Malaysia (PCM) memperkenalkan jersi rasmi yang akan dipakai kontinjen negara ke temasya itu.
Menerusi hantaran di laman media sosial rasmi PCM, rekaan jersi bagi atlet paralimpik negara turut menggunakan corak belang harimau seperti jersi rasmi atlet negara ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Yang membezakannya ialah, corak belang harimau jersi kali ini menggunakan warna-warna yang melambangkan bendera Jalur Gemilang seperti merah, kuning, dan biru.
Dengan menggunakan rona putih sebagai warna dasar jersi, ia menyerlahkan corak belang harimau berwarna jalur gemilang itu.
Pakaian rasmi itu diperagakan oleh atlet renang paralimpik, Muhammad Imaan Aiman dan atlet boccia, Abdul Razzaq Abdul Rahman.
Meninjau ke ruangan komen, ramai yang memuji rekaan jersi rasmi bagi atlet paralimpik negara ini.
Melihat rekaan pakaian itu sahaja sudah membakar semangat kesukanan, apatah lagi apabila berentap di persada antarabangsa nanti.
Malah, ada juga warga maya yang berminat untuk membeli jersi tersebut jika ada dijual kepada umum.
Pengumuman pakaian rasmi atlet paralimpik dengan rekaan yang segar dan bersemangat ini seakan memulihkan rasa kecewa rakyat Malaysia melihat pakaian rasmi atlet olimpik negara.
Terdahulu, pakaian rasmi atlet olimpik negara dikritik teruk oleh rakyat Malaysia kerana mutu rekaan yang dianggap seakan-akan memperlekehkan imej negara di persada antarabangsa.
Selain rekaan yang dikatakan tidak segar kerana masih kekal dengan rona hitam dan jingga seperti yang pernah digunakan sebelum ini, rakyat Malaysia turut kecewa apabila logo Jalur Gemilang tidak ditonjolkan dalam warna sebenar pada jersi.
Lebih memburukkan keadaan apabila pengumuman pakaian rasmi itu dilakukan dengan hanya menggunakan patung mannequin, sedangkan ramai atlet negara yang boleh memperagakan pakaian tersebut.
Sumber: Facebook Paralympic Council Malaysia
BACA: Baju Rasmi Kontinjen Malaysia Ke Olimpik Dikecam Teruk, Turut Ditegur Awal Ashaari
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.