Jentera Prestasi Tinggi Pacuan Elektrik, BMW XM Pertama Kali Diperkenalkan Di Malaysia

Share

Saban tahun industri automotif pasti akan menonjolkan teknologi hebat yang semakin hari semakin luar biasa. Begitu juga dengan pemain penting industri ini iaitu BMW.

Semalam, BMW Malaysia mengumumkan kemunculan buat julung kalinya BMW XM iaitu sebuah jentera SAV BMW M GmbH berprestasi tinggi yang didatangkan dengan daya pacuan elektrik.

Dijadualkan memasuki pasaran Malaysia pada bulan Jun tahun ini, BMW XM hadir dengan sistem pacuan B,W M HYBRID lengkap bersama teknologi suspensi M bagi menzahirkan pemanduan dinamik, premium dan tiada tandingannya.

BMW XM

“Kami benar-benar teruja untuk memperkenalkan BMW XM yang sulung di Malaysia. Jentera SAV serba eksklusif ini merupakan kereta berprestasi tinggi BMW M GmbH yang pertama bakal menampilkan sistem pacuan M HYBRID, lantas meluaskan lagi keupayaan e-mobiliti dalam segmen kereta berprestasi tinggi di Malaysia.

“Ia merupakan pengilhaman semula ideal automotif, dan karakteristik prestasinya yang ekstrem akan menjanjikan pengalaman pemanduan yang serba mewah buat para pelanggan dan penyokong jenama ini di Malaysia,” jelas Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser.

ERA BAHARU

Ketibaan MBW XM sekali gus turut menandakan satu era baharu sejak BMW M1 diperkenalkan pada era 1970-an. BMW XM yang sulung menggandingkan bahasa reka bentuk model-model BMW X dengan karakter yang menonjol serta aneka ciri yang elegan.

Justeru, berbekalkan juga prestasi cemerlang sebuah model BMW M, maka terlahirlah jentera elektrik yang benar-benar memukau, memecah acuan tradisi dan kelaziman.

Sebagai standard, BMW XM yang sulung hadir dengan Pakej M Aerodynamics dan M High-Gloss Shadow Line, dengan Konten Lanjutan yang disediakan untuk profil Shadow Line. Selain itu, lampu hadapan Adaptive LED dengan ciri bantuan lampu puncak juga disertakan secara standard.

Dari sudut hadapan, BMW XM yang sulung membawakan gril “kidney” bersaiz besar dengan kisi-kisi M berkembar secara mendatar, lalu ia disempurnakan dengan kontur gril ‘kidney’ beriluminasi. Di atasnya, terletak dua kubah kuasa sebagai elemen bonet yang berperwatakan ekspresif.

Mengiringi gril tersebut ialah set lampu hadapan yang tampak jitu dan langsing, ia terbahagi kepada dua modul yang berasingan, satu untuk pencahayaan waktu siang dan satu lagi untuk lampu rendah/puncak.

SISTEM PACUAN

BMW XM yang sulung merupakan model BMW M yang pertama didatangkan dengan sistem pacuan hibrid ‘plug-in’. Kombinasi antara enjin pembakaran dalaman yang membekalkan 360 kW / 489 kk.

Ia turut mencatatkan  nilai tork maksimum mencecah 650 Nm – dan motor elektrik memberi satu lagi kelebihan kepada prestasi M yang sinonim dengannya sambil meningkatkan efisiensi.

Semasa ia dirungkaikan, BMW XM yang sulung hadir secara eksklusif dengan teknologi M HYBRID, berpaksikan M TwinPower Turbo V8 4.4 liter.

Jentera ini turut membawakan sistem ekzos sport dengan ciri kawalan kelepak yang menonjolkan karakter ekstrovertnya, justeru profil bunyi yang setara dengan perwatakan ini telah disertakan bersama.

KUASA PECUTAN

Output keseluruhan rangkaian kuasa (powertrain) BMW XM yang sulung merekodkan 480 kW / 653 kk dan 800 Nm tork, ia dibekalkan melalui transmisi automatik Steptronic Sport lapan kelajuan. Pecutan abad dapat dibuat oleh kenderaan ini dalam masa 4.3 saat sahaja. Dengan rangkuman Kawalan Pelancar, daya pecutan maksimum dijamin seawal posisi henti.

Bagi BMW XM yang sulung, kelajuan tertingginya dihadkan pada paras 250 km/j (270 km/j dengan pakej M Driver, yang disertakan secara standard), manakala kelajuan tertinggi elektriknya dihadkan pada paras 140 km/j.

Seperti yang dijangkakan daripada kenderaan BMW M, SAV berelektrik ini menampilkan sistem pacuan semua roda M xDrive serba pintar secara standard.

Ia membekalkan dinamik pemanduan yang luar biasa, pengendalian yang optimum, serta cengkaman maksimum.

Di samping tetapan 4WD yang asas, pemandu dapat memilih mod 4WD Sport, yang mempunyai bias tayar belakang dan tahap kelincahan kenderaan ini dapat ditingkatkan melaluinya.

Semasa menyusuri permukaan berpasir, mod 4WD Sand boleh digunakan untuk mengoptimumkan cengkaman, ia disumbang oleh komponen diferensial M Sport yang membekalkan distribusi boleh ubah bagi daya pacuan roda belakang untuk menjamin cengkaman dan stabiliti pemanduan yang lebih cemerlang.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim