Gaya Hidup

Jenis Kereta Paling Kerap Dicuri Di Malaysia, Proton Wira Di Tangga Teratas!

Share

Tak dapat dinafikan kereta merupakan aset yang sangat penting buat seorang lelaki terutamanya jika mempunyai keluarga. Dengan kereta anda mampu membawa ahli keluarga untuk bergerak dari poin A ke poin B.

Jadi bayangkan jika kereta atau kenderaan empat roda anda dicuri. Pastinya ia cukup memeningkan kepala anda. Secara tak langusung anda umpama patah kaki dan sukar untuk bergarak ke mana-mana.

Kes kecurian kenderaan yang berlaku di negara kita merupakan antara kes jenayah serius yang berlaku di negara. Beberapa hari lalu sebuah laporan dikeluarkan oleh Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan Malaysia Berhad (VRTEC) bersempena Kempen Kesedaran Kecurian Kenderaan 2019.

Menerusi laporan tersebut tersenarai jenis serta model kenderaan yang paling kerap dicuri bermula dari Januari sehingga Jun 2019.

Mendahului senarai tersebut ialah Proton Wira dengan sebanyak 127 unit telah dilaporkan hilang. Ia disusuli oleh sebuah lagi model lama daripada Proton iaitu Iswara dengan sebanyak 82 kes kecurian.

Kereta kedua paling kerap dicuri pula Proton Iswara.

BACA: 12 Tip Basic Service Kereta Yang Wajib Seorang Lelaki Tahu!

Anda pasti terkejut dengan senarai jenis kenderaan paling kerap dicuri ini, bukan? Mengikuti dua jenis kereta itu ialah Perodua Kancil dan Toyota Hilux.

Menurut laporan itu lagi sebanyak 35,953 buah kereta telah dilaporkan dicuri sepanjang tahun 2018. Jumlah kes kecurian ini berkurangan sebanyak 15% berbanding tahun terdahulu iaitu 2017. Manakala untuk tempoh sama tahun ini dibandingkan dengan lima tahun kebelakangan menyaksikan juga penurunan kes.

Walapun harga di pasaran tidaklah tinggi namun Perodua Kancil turut jadi sasaran utama pencuri!

Mengapakah model kereta lama seperti Proton Wira dan Iswara begitu ‘panas’ sekali dan kerap dicuri?

Pada pendapat MASKULIN ini mungkin ada kaitan dengan jumlah alat ganti kenderaan model ini yang semakin berkurangan atau tidak lagi dibekalkan di pasaran. Dengan jumlah permintaan yang tinggi terutamanya di pasaran ‘gelap’ kenderaan model ini menjadi sasaran utama penjenayah yang ingin mencari wang mudah.

Kepada anda yang mempunyai kereta seperti dinyatakan di atas silalah ambil langkah pencegahan yang sepatutnya. Jangan harapkan sistem penguncian asas pada kereta sahaja. Gunakan kunci stereng serta memasang pengesan GPS untuk keselamatan yang lebih tinggi.

Senarai kereta paling kerap dicuri suku pertama tahun 2019

1. Proton Wira (127 unit)
2. Proton Iswara (82 unit)
3. Perodua Kancil (70 unit)
4. Toyota Hilux (52 unit)
5. Perodua Myvi (49 unit)
6. Proton Waja (41 unit)
7. Proton Saga (40 unit)
8. Nissan Vennette (36 unit)
9. Honda Civic (28 unit)
10. Honda City (24 unit)

Published by
Farizul Izwany