Luar Negara

Jejaka Paling Tampan Dalam Sejarah Filem Perancis, Alain Delon Meninggal Dunia Di Usia 88 Tahun

Share

Dunia perfileman Perancis kehilangan seorang legenda yang pernah mewarnai industri seni negara itu apabila Alain Delon meninggal dunia pada usia 88 tahun.

Memetik laporan BBC, Alain Delon menghembuskan nafas terkahir dengan tenang dikelilingi oleh tiga anaknya dan keluarga terdekat di kediamannya di Douchy.

Menurut kenyataan keluarga, pelakon yang terkenal dengan ketampanannya ketika muda itu berdepan dengan masalah kesihatan yang serius sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuklah mengalami strok pada tahun 2019.

Pernah dikenali sebagai jejaka paling tampan di dalam filem, Alain membintangi banyak filem terkenal sejak tahun 1960-an.

Penampilannya sentiasa mencuri hati para peminat tanpa mengira watak yang dimainkan, sama ada seorang pembunuh mahupun seorang penipu yang berkarisma.

Foto: Alain Delon di set penggambaran filem”The Yellow Rolls-Royce” pada 1964.

Presiden Perancis Emmanuel Macron turut memberi penghormatan kepada bintang legenda ini dengan menyatakan bahawa Alain “telah memainkan watak legenda dan membuatkan dunia bermimpi”.

Dalam satu ciapan di laman X, Emmanuel turut menyifatkan Alain bukan sekadar seorang Bintang, tetapi juga “tugu peringatan Perancis”.

Dia akan dikenang sebagai ikon terbesar dalam sejarah pawagam Perancis dan Eropah, yang bekerja dengan ramai pengarah terkenal.

Foto: Alain Delon di filem “Purple Noon” pada 1960.

Dilahirkan pada 1935, Alan membuat penampilan pertamanya dalam filem pada tahun 1957 ketika berusia 22 tahun.

Sepanjang kerjayanya, Alain telah bekerja dalam hampir 90 filem.

Foto: Alain Delon di filem”Le Samourai” pada 1967.

Penampilan umum terakhirnya adalah ketika menerima anugerah kehortmat Palme d’or di festival filem Cannes pada Mei 2019.

Ibarat mengetahui yang itu adalah penampilan terakhirnya, Alain sempat mengucapkan selamat tinggal ketika berucap di majlis anugerah itu.

“Ia sedikit penghormatan selepas kematian, tetapi ketika masih dalam jangka hayat saya.

“Saya akan pergi, tetapi saya tidak akan pergi tanpa mengucapkan terima kasih,” ucap Alain.

Antara filem yang pernah dilakonkan oleh Alain termasuklah Rocco and His Brothers (1960), The Black Tulip (1964), Zorro (1975), The Return of Casanova (1992) dan banyak lagi.

Sumber: BBC

BACA: ‘President Snow The Hunger Games’ Meninggal Dunia

 

Published by
Ruszaini Ruslan