DARI MANA DATANGNYA SAYANG, DARI MATA TURUN KE HATI. NAMUN, BAGI INDIVIDU YANG TIDAK MEMPUNYAI MATA YANG SEMPURNA SEPERTI JULING, IA AKAN MENJEJASKAN IMEJ DAN KEYAKINAN DIRI MEREKA.
Kerap kali, mereka akan mengelak daripada bertentang mata dengan orang lain kerana berasa rendah diri. Malah, kajian telah membuktikan bahawa mata juling menyukarkan seseorang bertemu jodoh dan menjejaskan peluang pekerjaan.
Dengan penglihatan normal, kedua-dua mata akan menuju satu titik atau objek yang menjadi pusat perhatian. Kemudian otak menyatukan kedua-dua imej yang terbentuk dari setiap mata menjadi satu bayangan tunggal tiga dimensi. Imej tiga dimensi inilah yang memberikan kita persepsi kedalaman.
Juling atau istilah perubatannya strabismus adalah efek penglihatan di mana kedua-dua mata tidak terarah pada satu objek yang menjadi pusat perhatian.
Satu mata (kadangkala kedua-duanya sekali) boleh tertumpu pada satu objek sedangkan mata yang lain juling ke dalam, ke luar, ke atas atau ke bawah.
Juling sama ada boleh menjadi sesuatu yang kekal atau dapat juga tenggelam timbul di mana mata yang juling kelihatan lurus dan yang tadinya tampak lurus kelihatan juling.
Di kalangan kanak-kanak, juling bukan sahaja berubah-ubah dari hari ke hari tetapi keadaannya boleh berubah-ubah dalam masa sehari sahaja.
Juling tidak memilih jantina, ia boleh berlaku kepada lelaki mahupun wanita. Juling juga dapat diwarisi daripada ibu bapa kepada anak-anak. Namun ia tetap boleh terjadi walau tidak ada riwayat keluarga juling.
Apabila salah satu mata juling, dua gambar yang berbeza akan dikirim ke otak. Pada anak-anak usia muda, otak belajar mengabaikan bayangan dari mata yang juling dan hanya melihat satu bayangan dari mata yang lurus atau mata yang melihat lebih baik. Lama-kelamaan, kanak-kanak tersebut kehilangan kedalaman persepsinya.
Sementara itu, orang dewasa yang mengalami juling sering mengeluh penglihatannya menjadi berganda kerana otaknya sudah terlatih untuk menerima imej dari kedua-dua mata dan tidak dapat mengabaikan bayangan dari mata yang juling.
MATA MALAS
Penglihatan seseorang kanak-kanak itu akan berkembang baik apabila kedua-dua matanya dalam posisi normal. Juling mampu mencetuskan ambliopia (mata malas), iaitu penglihatan yang tidak sempurna pada mata yang juling.
Otak akan mengutamakan imej yang datang dari mata yang lebih baik dan mengabaikan bayangan dari mata yang lebih lemah atau mata yang ambliopia. Hal ini terjadi pada hampir 50 peratus kanak-kanak yang juling.
Ambliopia dapat diatasi dengan menutup mata yang lebih baik dan memaksa mata yang lebih lemah agar penglihatan menjadi lebih baik.
Apabila terapi dilakukan pada kanak-kanak pada usia yang sudah agak lewat, mata malas umumnya menjadi kekal. Justeru, lebih awal ambliopia dirawat, penglihatan akan menjadi lebih baik.
PENYEBAB JULING
Enam otot mata yang mengawal pergerakan bola mata melekat pada bahagian luar mata. Pada setiap mata, dua otot menggerakkan ke kanan dan ke kiri. Empat otot lainnya menggerakkan ke atas, ke bawah dan berpusing.
Ads
Agar kedua-dua mata lurus dan dapat menumpu pada satu objek yang menjadi pusat perhatian, semua otot pada setiap mata harus seimbang dan bekerja secara bersama-sama.
Agar kedua-dua mata bergerak bersama-sama, semua otot pada kedua-dua mata harus diselaraskan dengan baik. Otot-otot mata ini dikawal oleh otak.
Juling lazim ditemui pada kanak-kanak dengan kelainan pada otak seperti palsi serebral, sindrom down, hidrosefalus, tumor otak dan anak yang lahir tidak cukup bulan.
Katarak atau trauma yang menjejaskan penglihatan juga boleh menyebabkan strabismus. Namun banyak juga kanak-kanak yang bermata juling tidak mempunyai kelainan-kelainan tersebut.
GEJALA STRABISMUS
Tanda utama juling adalah mata yang tidak lurus di mana apabila satu mata terfokus pada satu objek, mata yang lain tertuju pada objek yang lain pula.
Kadang-kadang, anak dengan strabismus akan mengenyitkan satu mata di saat matahari terik atau memiringkan leher untuk menggunakan kedua-dua matanya secara bersama-sama.
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN PSEUDOSTRABISMUS?
Mata bayi sering terlihat seakan-akan juling, padahal sebenarnya tidak juling. Keadaan ini yang disebut pseudostrabismus atau juling palsu.
Bayi baru lahir, sering mempunyai hidung yang agak lebar, leper atau agak penyek dan ada lipatan kulit pada bahagian kelopak dekat hidung yang kelihatan seolah-olah juling.
Keadaan ini akan pulih dengan sendirinya dengan bertambahnya usia dan perkembangan bayi. Bayi atau anak seperti ini tidak akan membesar menjadi benar-benar juling di kemudian hari.
Seorang pakar mata biasanya dapat menjelaskan kepada pesakitnya perbezaan di antara juling dengan pseudostrabismus.
Ads
JENIS-JENIS JULING YANG KERAP DITEMUI
* Esotropia kongenital di mana mata juling ke dalam yang bermula dari usia bayi kurang enam bulan. Bayi seperti ini tidak dapat menggunakan kedua-dua matanya secara bersama-sama. Pada kebanyakan kes, pembedahan awal diperlukan untuk meluruskan matanya
* Esotropia akomodatif merupakan bentuk esotropia (juling ke dalam) yang biasa ditemui pada kanak-kanak berusia dua tahun atau lebih besar. Pada jenis juling seperti ini, apabila kanak-kanak memfokuskan matanya untuk dapat melihat jelas, mata akan tampak juling ke dalam. Juling ini berlaku semasa melihat jauh saja, melihat dekat saja atau kedua-duanya
* Eksotropia atau juling keluar merupakan bentuk lain juling yang juga sering ditemui. Bentuk juling ini paling sering terjadi ketika anak memandang objek yang jauh.
Eksotropia hanya muncul sekali sekala terutama bila anak dalam keadaan lelah, sakit atau mengelamun. Orang tua sering memperhatikan anaknya juling keluar saat berada pada matahari terik.
Walaupun kaca mata, latihan atau prisma dapat mengurangi atau membantu mengawal juling di kalangan sesetengah kanak-kanak, namun dalam kebanyakan kes, pembedahan mungkin diperlukan.
BAGAIMANA MENDIAGNOSIS JULING
Strabismus dapat didiagnosis melalui pemeriksaan mata. Adalah disarankan agar kanak-kanak berusia di antara tiga hingga tiga setengah tahun menjalani pemeriksaan mata oleh pakar kanak-kanak, doktor atau mereka yang terlatih untuk memeriksa penglihatan anak prasekolah.
Apabila ada kanak-kanak yang gagal dalam ujian pemeriksaan ketajaman penglihatan, mereka akan dirujuk ke pakar mata untuk pemeriksaan lanjut.
Jika terdapat riwayat keluarga strabismus atau ambliopia, atau riwayat keluarga menggunakan kaca mata tebal, seorang pakar mata akan melakukan pemeriksaan penglihatan walaupun usianya kurang dari tiga tahun.
Sekiranya memang kanak-kanak tersebut kejulingannya nampak jelas sejak usia kurang dari enam bulan, ibu bapa perlu membawanya berjumpa doktor seawal yang boleh.
Ads
Setelah pemeriksaan mata lengkap, pakar mata akan mencadangkan terapi yang sesuai. Dalam beberapa kes, pemakaian kaca mata dapat meluruskan kedudukan bola mata.
Terapi lain berupa prosedur pembedahan untuk menyeimbangkan otot-otot yang tidak seimbang atau surgeri katarak apabila terdapat katarak.
Selalunya, menutup sebelah mata yang dominan untuk mengatasi ambliopia, diperlukan.
RAWATAN
Juling tidak akan pulih dengan sendirinya. Rawatan untuk meluruskan mata diperlukan. Jenis-jenis rawatan mungkin digunakan secara sendirian atau bergabung, bergantung kepada jenis juling dan penyebabnya.
* Biasanya kaca mata akan dipreskripsi untuk meningkatkan tumpuan dan mengarahkan garisan penglihatan, membolehkan mata menjadi lurus
* Ubat-ubatan dalam bentuk titisan mata atau sapuan mungkin juga digunakan dengan atau tanpa kaca mata. Ubat suntikan mungkin digunakan untuk melemahkan secara berpilih, otot-otot mata yang terlampau aktif
* Pembedahan akan dilakukan pada otot mata untuk meluruskan mata setelah pendekatan tanpa bedah tidak berjaya
* Latihan atau senaman mata berguna sama ada sebelum atau selepas surgeri.
BAGAIMANA PEMBEDAHAN JULING DILAKUKAN
Apa pun jenis pembedahan mata, bola mata tidak akan dikeluarkan dari soketnya. Pakar mata akan membuat hirisan pada selaput putih mata untuk dapat mencapai otot penggerak bola mata.
Otot mata kemudian dilepaskan dari lekatannya dan dipindahkan (lekatannya) pada tempat yang diinginkan sesuai dengan arah juling bola mata. Atau, otot-otot dipotong sedikit sesuai keperluan kemudian dilekatkan lagi pada tempat perlekatan semula.
Pembedahan strabismus dapat dilakukan pada satu atau kedua-dua mata sekali gus bergantung jenis dan besarnya juling. Surgeri umumnya dilakukan dengan bius umum, terutama pada kanak-kanak.
Surgeri biasanya dilakukan sebagai prosedur pesakit luar sahaja. Waktu pemulihan juga adalah cepat. Kanak-kanak biasanya dapat kembali melakukan aktiviti normal dalam masa beberapa hari sahaja.
Setelah pembedahan, kaca mata mungkin masih diperlukan. Dalam beberapa kes, pembedahan lebih dari satu kali mungkin diperlukan untuk menjaga mata agar tetap lurus.
KESAN SAMPINGAN SURGERI
Seperti juga pembedahan lainnya, surgeri strabismus juga ada risiko termasuklah infeksi, perdarahan, jaringan parut yang berlebihan dan walaupun amat jarang terjadi, gangguan penglihatan.
Pembedahan juling umumnya merupakan cara yang efektif untuk mengatasi masalah juling. Di samping itu, tambahan kaca mata dan terapi ambliopia tidak kurang pentingnya.
SUMBER : UTUSAN
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Seperti mana yang kita semua tahu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah disambung buat kali kedua bermula 15 April sehingga 28 April 2020.
Kita beruntung kerana penguatkuasaan yang dilakukan di dalam negara oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan melakukan sekatan jalan raya dan rondaan mampu membantu orang ramai patuh terhadap PKP.
Majoriti rakyat Malaysia mengikuti kepatuhan terhadap arahan kerajaan dengan baik sekali walaupun masih ada segelintir yang mengambil mudah akan kondisi serius penularan wabak COVID-19.
Namun selepas pengumuman pelanjutan tempoh PKP yang kedua ramai menyuarakan kerisauan apabila melihat jumlah kenderaan di atas jalan raya meningkat. Ini turut disuarakan oleh Dr Ahmad Luqman Bukhari, seorang doktor yang bertugas di sebuah hospital di Seremban, Negeri Sembilan.
Luahan itu disuarakan oleh beliau menerusi satu hantaran di Facebook.
“Saya perasan ramai yang duk cerita banyak kereta mula membanjiri Bandar Seremban sejak awal pagi tadi. Hingga ada yang beritahu PKP seolah-olah dah makin longgar.”
Kerisauan Dr Ahmad Luqman ada asasnya kerana jelasnya lagi kes positif COVID-19 di Seremban semalam meningkat kepada 41 kes baharu.
BARISAN HADAPAN YANG BERKORBAN
Melihatkan keadaan itu beliau terus terfikirkan akan rakan-rakan sekerja yang terpaksa bertungkus lumus bekerja siang dan malam demi negara.
“Lemah seluruh sendi badan lalu tersandar ke kerusi masa mula mula tahu berita ni tadi. Satu demi satu wajah rakan-rakan sekerja dekat Hospital Seremban sana tiba-tiba menerpa ke dalam fikiran.
Ada antara kami yang dah sebulan terpisah dengan isteri.
Ada yang baru seminggu menimang cahaya mata.
Ada yang isterinya sedang sarat mengandung.
Walaupun berada dalam suasana kerja berisiko tinggi untuk terkena jangkitan maut, mereka cekalkan hati.
Walaupun saban hari ada yang diarah untuk jalani kuarantin, mereka cekalkan hati.
Walaupun risau setiap kali tiba waktu pulang, takut takut terbawa pulang bencana ke rumah, mereka cekalkan hati.
Malangnya kecekalan tu dibalas dengan sampah busuk oleh sebahagian manusia degil yang tak reti patuh arahan berkurung!
Kawan-kawan,
Di Seremban ni sahaja kita dah ada 260 orang pesakit positif.
2 kawasan diletakkan dalam zon merah. Manakala 2 lokasi lagi dah dikategorikan sebagai zon jingga.”
TOLONG BERI KERJASAMA
Kerisauan beliau memang ada asasnya. Buat masa sekarang negara kita menunjukkan kesan-kesan baik selepas PKP dilaksanakan dengan jumlah jangkitan tidaklah meningkat mendadak terlau tinggi.
Malah Malaysia telah berjaya membuktikan ramalan dari JP Morgan meleset sama sekali. Namun jika orang ramai sambil lewa dan tidak terus ambil serius ia boleh memberikan kesan yang buruk.
Jelas Dr. Ahmad Luqman lagi;
“Sekiranya masih lagi bersikap sambil lewa dan bangga dengan sikap pentingkan diri sendiri, ketahuilah yang kita akan menzalimi lebih ramai orang lebih lebih lagi petugas kesihatan.
Bersedialah untuk menerima lebih banyak kes positif, dikenakan perintah berkurung yang lebih keras serta melihat pertambahan jumlah kematian di kawasan kita ni.
KKM dah berusaha sehabis baik. Namun kita tak kan menang jika ada yang tak berikan kerjasama.
Tolong kongsikan pesanan ini pada ahli keluarga dan sahabat agar mereka terus beringat dan berhati-hati. Bukan nak menakutkan,tetapi saya harap kita sama-sama jangan ambil mudah.”
Tinjauan MASKULIN di laman medoa sosial Twitter juga mendapati ramai yangmula menyuarakan kerisauan sama. Usahlah kita terlalu selesa dan tidak mendengar saranan untuk terus duduk di rumah.
Tiada orang lain yang boleh membantu negara melandaikan kadar jangkitan melainkan kita semua.
Stay home and stay safe!
Kredit: Dr Ahmad Luqman Bukhari
Foto kredit: Twitter @atiqahdahalan & @DonDanial20
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Seperti mana yang kita semua sedia maklum, hari ini merupakan hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di beberapa buah negeri buat kali kedua. Jadi tidak hairanlah ramai menggelarkan ia sebagai PKP 2.0. Antara figura penting negara dalam membanteras penularan wabak ini ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Bin Abdullah atau lebih mesra dengan panggilan DG Hisham.
Sepanjang tahun lalu beliau telah menjadi wajah yang membawa seribu harapan buat rakyat Malaysia. Kita semua telah buktikan bahawa kita mampu melandaikan kadar jangkitan. Cuma malangnya disebabkan ada pihak yang lebih selesa di kerusi empuk dan juga beberapa kerat rakyat Malaysia yang tidak mematuhi SOP, jumlah kes kian bertambah setiap hari.
Bezanya PKP kali ini ia turut datang bersama Perintah Darurat sekali gus menunjukkan bahawa betapa seriusnya keadaan pandemik yang berlaku di negara kita sekarang.
DG Hisham menerusi ciapannya di Twitter menyeru dan menggesa rakyat Malaysia untuk tidak menghadiri aktiviti yang menyukarkan penjarakan sosial seperti mana digariskan dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) kerajaan.
Tambahnya lagi, pematuhan kepada SOP amat penting dalam usaha semua pihak menangani gelombang ketiga COVID-19, di kala trend jelas menunjukkan kadar peningkatan yang agresif.
“Saya merayu kepada anda semua terus duduk di rumah. Tempoh dua minggu ini sangat penting untuk kita dan negara,” katanya lagi.
“Tempoh dua minggu ini sangat penting kepada kita dan negara,” jelas beliau lagi.
BOLEH CECAH 8 RIBU
Sebanyak enam negeri yang dikategorikan sebagai negeri PKP iaitu Selangor, WP Kuala Lumpur, WP Labuan, Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Sabah.
Manakala enam negeri dalam kategori PKP Bersyarat iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan. Dan selebihnya Perlis dan Sarawak diletakkan di bawah PKP Pemulihan.
Kondisi akan menjadi bertambah kritikal jika rakyat Malaysia tidak memilih untuik mematuhi SOP. DG Hisham turut berkongsi gambar rajah model Susceptible, Exposed, Infectious and Removed (SEIR) mengenai jangkaan peningkatan kes COVID-19 antara 6 Oktober, 2020, hingga 31 May, 2021.
Merujuk model berkenaan, kes-kes harian yang sudah tercatat menjangkaui ramalan yang ditetapkan pada kadar R0 1.1.
Ia juga meramalkan kes berkemungkinan akan mencecah sehingga 8,000 sehari jika R0 kekal pada kadar yang sama. Jadi kita semua memainkan peranan sangat penting bagi meastikan perkara tersebut tidak berlaku.
Kita jaga kita!
Jangan lupa untuk subscribe YouTube MASKULIN untuk seleksi video gaya hidup lelaki menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Siapa tidak kenal dengan maestro muzik legenda negara, Datu M. Nasir yang bukan sahaja melahirkan lagu-lagu hit nyanyian sendiri tetapi deretan penyanyi popular di tanah air.
Aura persembahan dari beliau sentiasa dinantikan oleh peminat yang tidak pernah jemu menyokong perjuangan seni oleh seniman yang memawa persona ikonik serata Nusantara.
Terbaru, Datuk M. Nasir bakal kembali dengan konsert dan persembahan yang cukup istimewa. Konsert yang diberi nama ‘Gendang Pati’ ini bakal diadakan pada 18 November 2023 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre.
Menariknya, siri konsert ini telah berlangsung di Singapura di mana beliau telah meninggalkan kesan yang sangat hebat kepada peminatnya di sana.
Kini, tiba masa Kuala Lumpur menjadi saksi kehebatan konsert yang dijangkan berlangsung selama dua jam dengan deretan lagu puitis dan sarat dengan makna tersendiri.
Konsert ini dibawakan secara eksklusif oleh MND SPORT & EVENT SDN BHD, M.Nasir tidak perlu menjanjikan persembahan yang spektakular atau luar biasa.
“Hal ini kerana M. Nasir itu sendiri sudah merangkumi seluruh perkara seni yang luar biasa dan hebat. Jadi kami di MND Sport & Event Sdn. Bhd percaya dengan kemampuan penghibur yang satu ini.
“Beliau telah membawa roh yang kuat terhadap karya yang dilahirkan sejak berzaman dan mendendangkan ia dalam Gendang Pati Dato’ M.Nasir Live in Kuala Lumpur ibarat kerja seni yang akan mengalir dengan lancar dan semula jadi,” ujar Daniel dari MND Sport & Event Sdn. Bhd.
KECINTAAN PEMINAT
Buat M.Nasir, Gendang Pati diadakan versi Kuala Lumpur kerana sedar kecintaan dan kecanduan penggemar yang sentiasa mahu melihat beliau beraksi di atas pentas sebagai sebuah lambang kelangsungan kariernya yang sentiasa ‘hidup’ tak lapuk dek zaman.
“Saya perlu bersyukur kerana meski sudah melakukan banyak persembahan pentas, masih seorang M.Nasir sentiasa ingin disapa, ditonton dan diminta mendendangkan karya yang ada secara langsung.
“Ini bukan tentang saya seorang tapi indikasi sihat industri muzik dan perkembangannya yang sentiasa positif. Yang pastinya, malam itu nanti akan dipenuhi dengan bunyi-bunyian gendang yang pasti membuatkan semua berdendang bergoyang.
“Saya harap Gendang Pati Dato’ M.Nasir Live in Kuala Lumpur akan menjadi sebuah lagi persembahan saya di tahun ini yang mampu membantu mengisi kecanduan semua terhadap karya saya,” ujar M.Nasir.
Konsert kali ini akan dibarisi pemuzik-pemuzik hebat yang menjadi tulang belakang M.Nasir iaitu pengarah muzik dan pemain gitar- Nan Alias, gitar rhythm- Rafi Mohd, bass- Norman , keyboard- Firdaus Mahmud dan Eddie Slam, dram- Ujang Exists serta penyanyi latar vokal- Eja, Widy, Yuaz & Awe.
Ini dikuatkan lagi dengan kehadiran pemain perkusi utama- Paang, perkusi tradisional- Mat Din, pemain perkusi – Che Long dan Anas. Juga ditambah dengan kemunculan Awe selaku pemain perkusi, rebab, serunai dan penyanyi jemputan.
Selain mempersembahkan M Nasir, pesta muzik ini akan diterbitkan oleh Roman Abadi Sdn Bhd yang pastinya memperkuatkan Gendang Pati Dato’ M.Nasir Live in Kuala Lumpur bakal mempersembahkan sebuah konsert yang menusuk jiwa dan meninggalkan momen istimewa pada malam itu nanti.
Untuk menyaksikan Gendang Pati Dato’ M.Nasir Live in Kuala Lumpur, tiket dengan beberapa kategori harga boleh didapati di laman web MyTicket.Asia. Tiket-tiket berharga RM228 (Bronze), RM258 (Silver), RM388 (Gold), RM428 (Platinum), RM488 (Diamond) dan RM888 (Meet & Greet).
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.