Jangan Tersalah Pilih Produk Rendah Lemak

Share

Mahu turunkan berat badan dengan pelbagai cara, tetapi tersilap makan boleh buat badan menjadi semakin mengembang dan gemuk. Ketahui 3 perkara yang boleh membuatkan diet anda silap.

MENURUNKAN BERAT BADAN HANYA DENGAN BERSENAM

Senaman penting untuk menurunkan berat badan, tetapi bergantung kepada senaman semata-mata tanpa mengawal pemakanan adalah usaha sia-sia. Kajian mendapati seseorang yang hanya bersenam tanpa mengawal jumlah makanan dan kalori makanan menyebabkan berat badan susah turun, malah bertambah.

Ini kerana ramai mengira kalori yang dibakar apabila bersenam dan menyangka dengan kalori yang dibakar, tidak perlu mengawal jumlah makanan yang diambil. Jika ingin menurunkan berat badan secara maksimum, jumlah pemakanan seharian masih perlu dikawal walaupun anda bersenam.

MEMILIH PRODUK ‘RENDAH LEMAK’

Kita selalu memilih makanan atau produk yang dilabel sebagai ‘rendah lemak’ dan merasakan ia baik untuk kesihatan dan boleh membantu menurunkan berat badan.

Hakikatnya, produk itu sebenarnya mempunyai nilai kalori tinggi kerana kandungan gulanya sangat tinggi. Pengeluar produk ini mengurangkan lemak dalam produk mereka tetapi menambah kandungan gula untuk membuatkan produk ini lebih sedap. Kajian sains mendapati lemak mono tak tepu (kekacang, avocado, minyak zaitun) dan lemak Omega 3 dari ikan baik untuk menurunkan berat badan.

MEMILIH MINUMAN ‘DIET’

Kajian mendapati pengambilan minuman ‘diet’ menyebabkan masalah berat badan dan kencing manis walaupun kalorinya lebih rendah. Satu kajian di Texas Health Science Center di San Antonio, Amerika Syarikat mendapati seseorang yang mengambil minuman ‘diet’ menghadapi sehingga 70 peratus peningkatan saiz pinggang daripada seseorang yang mengambil minuman biasa. Kajian sebelumnya juga mendapati, risiko obesiti bertambah sehingga 41 peratus untuk penggemar minuman ‘diet’.

Menurut pakar pemakanan, fenomena ini berlaku kerana pemanis tiruan aspartame yang rendah kalori dalam minuman ‘diet’ meningkatkan selera makan dan menghalang otak mendapat ‘isyarat kenyang’ apabila perut penuh. Minuman terbaik untuk menurunkan berat badan ialah air mineral.

Jika anda gagal dalam percubaan pertama untuk menurunkan berat badan, jangan terlalu cepat mengalah. Kajian mendapati seseorang yang hanya cuba menurunkan berat badan mendapat faedah kesihatan walaupun gagal menurunkan walau sedikitpun.

GAMBAR SEKADAR HIASAN

Published by
Kim Rahim