Foto hiasan
Di negara kita, kereta telah menjadi salah satu jenis kenderaan yang paling sinonim dan popular digunakan. Bagi mereka yang bekerjaya terutamanya penjawat awam, memiliki kereta bukan lagi sekadar satu keperluan tetapi seakan menjadi perkara wajib yang perlu dimiliki.
Kemudahan pembiayaan pinjaman bank yang dilihat tidak sukar untuk dipohon menjadikan kereta sebagai satu simbol kejayaan bagi mereka yang telah memasuki alam pekerjaan.
Keadaan ini lebih ketara dalam kalangan penjawat awam. Kita sedia maklum bahawa golongan ini cukup mudah mendapat kelulusan pinjaman daripada bank.
Namun, di sinilah letaknya kesilapan yang sering dilakukan oleh sesetengah penjawat awam apabila terjebak dengan gaya hidup di luar kemampuan akibat desakan sosial.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, turut mengulas isu ini dan menekankan kepentingan pengurusan kewangan yang bijak dalam kalangan penjawat awam.
Memetik laporan Berita Harian, beliau menyatakan bahawa ramai kakitangan awam memiliki kemahiran hebat dalam menguruskan jutaan ringgit wang kerajaan, tetapi gagal mengurus kewangan peribadi sehingga terpaksa bergantung kepada pinjaman.
“Kita sepatutnya hidup atas kemampuan kita. Kalau kita mampu pakai telefon bimbit Xiaomi, jangan cuba pakai iPhone.
“Terdapat kakitangan awam yang suka bermewah dari segi penampilan, sebagai contoh sekiranya mereka mampu memiliki kereta Perodua Myvi, janganlah cuba pakai Toyota Vios,” jelasnya lagi.
Hakikatnya, keinginan untuk memiliki sesuatu yang lebih mewah sering kali mendorong individu untuk berbelanja di luar kemampuan mereka.
Demi memenuhi kehendak sosial dan status, ada yang sanggup mengambil pinjaman yang tinggi sehingga menjejaskan kestabilan kewangan jangka panjang mereka.
Tambahnya lagi, Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Tatatertib) menetapkan bahawa potongan pinjaman tidak boleh melebihi 40 peratus daripada emolumen bulanan, kecuali untuk tujuan menunaikan haji dan pembelian rumah.
Jika peraturan ini dipatuhi, risiko bankrap dalam kalangan penjawat awam dapat dikurangkan.
Beliau juga menyatakan bahawa ketua jabatan telah diarahkan untuk menghantar kakitangan yang menghadapi masalah kewangan mendapatkan khidmat kaunseling daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Selain itu, Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI), Datuk M Bakri Abd Majid, turut mendedahkan bahawa gaya hidup golongan muda yang suka ‘menunjuk-nunjuk’ menjadi punca utama mereka terjerat dalam masalah kewangan yang serius.
Fenomena ini akhirnya menyebabkan ramai dalam kalangan mereka diisytiharkan bankrap. Sehubungan itu, beliau menyarankan agar pekerja muda, khususnya graduan yang baru memasuki alam pekerjaan, disekat daripada memiliki kad kredit kerana ia merupakan antara faktor utama yang membawa kepada masalah kewangan yang lebih besar.
Jelas sekali, kebijaksanaan dalam menguruskan kewangan adalah satu kemahiran yang sangat penting, terutamanya bagi mereka yang baru memasuki alam pekerjaan.
BACA: Hatrik Bersejarah! Faisal Halim Kembali Gemilang Selepas Serangan Ngeri
Menyedari hakikat ini, penjawat awam serta golongan muda perlu mengambil langkah lebih bijak dalam berbelanja dengan memastikan mereka hanya berbelanja mengikut kemampuan, bukan mengikut kehendak atau tekanan sosial.
Dengan itu, kestabilan kewangan jangka panjang dapat dijamin dan risiko terjerumus ke dalam masalah hutang dapat dielakkan.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.