JADILAH PEKERJA CEMERLANG!
Ada sesetengah eksekutif muda sekarang berpendapat bahawa melakukan tugasan dengan baik sudah memadai. Salah! Walau sebaik mana tugasan yang anda lakukan, sebenarnya banyak perkara lagi yang perlu dilakukan untuk yang terbaik antara terbaik. Malah majikan sendiri mengharapkan sesuatu yang lebih cemerlang daripada pekerjanya.
Untuk menjadi seorang pekerja cemerlang bukan hanya sekadar mempunyai kebolehan melakukan sesuatu tugasan dengan hebat. Contohnya, jangan sesekali melepaskan peluang untuk menunjukkan kemampuan anda melakukan tugasan yang hebat itu ketika diberi peluang. Jika anda baru sahaja memulakan kerja, tunjukkan kehebatan pada tugasan pertama. Selain itu, apa lagi yang perlu anda kuasai untuk menjadi pekerja cemerlang?
1-Keterampilan
Penampilan yang kemas iaitu berkemeja, memakai seluar slack bergosok dengan pilihan warna sesuai, menyarungkan kasut hitam atau coklat berkilat, menjadi faktor fizikal yang menyokong keyakinan majikan mahupun orang lain untuk berurusan dengan anda. Penampilan menjadi ‘tanggapan pertama’ yang biasanya dibuat, sama ada anda seorang yang hebat atau tidak. Ia sangat penting.
2-Komunikasi
Menjadi pekerja cemerlang juga memerlukan anda mempunyai kemahiran berkomunikasi yang baik. Apabila berada di dalam mesyuarat, anda mengemukakan cadangan atau pendapat dengan lancar dan yakin. Ketika membuat pembentangan sesuatu tugasan kepada rakan niaga atau klien, ia dilakukan dengan jelas dan mampu menarik minat untuk orang mendengarnya. Ya, Komunikasi yang baik menjadi faktor untuk anda berjaya.
3-Kemahiran
Kemahiran di sini bermaksud anda perlu menguasai sesuatu tugasan atau bidang kerja dengan baik. Apa yang dilakukan, dirancang atau untuk dilaksanakan hendakkan dengan pengetahuan. Bayangkan, anda mendapat satu projek besar dan ia perlu disiapkan dengan segera. Mampukan anda siapkan atau lakukan jika tidak memiliki kemahiran berkenaan tugasan tersebut? Sebab itulah, kemahiran dan menguasai sesuatu tugasan itu menampakkan anda seorang yang bijak serta berpengetahuan.
4-Pergaulan
Sama ada anda sedar atau tidak, seorang pekerja yang cemerlang juga lahir apabila dirinya mempunyai hubungan yang baik dengan semua peringkat jabatan di tempat kerja. Selain mengekalkan hubungan baik dengan majikan dan rakan sekerja, anda juga perlu mempunyai hubungan baik dengan pekerja di jabatan atau unit lain. Ingat! Hubungan dengan rakan sekerja atau ahli kumpulan tugasan juga diambil kira untuk anda dilihat sebagai pekerja cemerlang.
5-Populariti
Percaya atau tidak, populariti turut memainkan peranan penting untuk menjadi seorang pekerja yang cemerlang. Bukan popular sebagai selebriti, sebaliknya menjadi pekerja yang disenangi dan disayangi? Bagaimana cara untuk meraih populariti ini? Syaratnya anda perlu jujur dan ringan tulang membantu orang lain dalam melaksanakan tugasan, sentiasa beramah mesra (tapi jangan berlebih-lebih) dengan semua orang. Yang penting jangan sombong dan berlagak walaupun anda telah hebat dan cemerlang!.