Jangan Cemburu Kalau Tubuh Orang Lain Lebih Cantik! Ini Apa Yang Saya Amalkan_Kit Mah

Share

Sentiasa melihat diri secara positif dan sering ingin menjadi lebih baik dalam semua aspek kehidupan. Mungkin ramai yang menilai bahawa maskulin itu diperlihatkan melalui fizikal semata-mata. Namun, sebenarnya makna maskulin itu sendiri tidak sekecil itu. Mewakili ekspresi diri dalam beberapa elemen seperti kecergasan, kesihatan, keterampilan, cara berkomunikasi dan yang paling penting adalah bagaimana kita mengaplikasikan ilmu dalam kehidupan seharian.  Lelaki yang mempunyai motivasi yang tinggi ternyata punya elemen ini untuk diserap menjadi lelaki yang dilihat sebagai maskulin.

MASKULIN : APA YANG MEMOTIVASIKAN ANDA UNTUK DAPATKAN BADAN SEPERTI SEKARANG?

Lahir sebagai remaja lelaki biasa yang dianggap sebagai tidak mempunyai ciri-ciri seorang lelaki yang gagah dan tampan. Pada usia saya mencecah lima belas tahun, kesedaran itu muncul. Ketika itu, fizikal saya berada pada tahap ‘ underweight’ dan pasti tidak kelihatan menarik. Ada juga di antara rakan-rakan di sekolah yang melontarkan kata-kata berbaur negatif seolah menganggap fizikal dan kekuatan saya lebih lemah berbanding wanita. Percaya bahawa hanya diri sendiri mampu mengubah keyakinan diri, maka kata-kata itu menjadi motivasi dan penguat untuk saya berusaha sehingga ke hari ini.

 

MASKULIN : APA CARA ANDA TERUS FIT?

Bukan mudah untuk ‘keep fit’ sepanjang masa. Namun, usaha keras adalah tunjang utama untuk mengekalkan bentuk badan dan kecergasan. Perspektif negatif harus ditolak ke tepi untuk kekal bermotivasi sepanjang hari agar kaki melangkah ke gimnasium.  Bermula tanpa rujukan bersama pakar atau pun ‘trainer’, saya hanya belajar dan membuat pembacaan mengenai teknik,  tip dan amalan melalui laman web. Melalui proses ini, banyak yang saya pelajari meski sering kali mengalami kecederaan ketika latihan.

MASKULIN : APA RUTIN DAN MENU YANG ANDA AMALKAN?

Sekitar jam 7.00 pagi, saya akan memulakan rutin harian dengan masak untuk sarapan pagi. Sarapan merupakan suatu kemestian untuk mengekalkan diet seimbang. Jam 8.00 pagi saya akan keluar bekerja dan disebabkan jadual kerjaya saya yang lebih fleksibel maka waktu untuk berlatih di gim juga menjadi lebih fleksibel. Akan tetapi saya tidak menggalakkan diri untuk berlatih pada waktu malam kerana waktu malam adalah masa yang terbaik untuk berehat. Kekerapan memakan sayur-sayuran dan buah-buahan dengan kadar yang banyak juga membantu nutrisi saya selain turut menikmati daging dan kekacang agar seimbang.

 MASKULIN : ANDA PERCAYA PADA CHEAT DAY? 

Sebelum mengamalkan diet dan nutrisi, amat penting untuk mengetahui dan memahami potensi tubuh badan sendiri. Hal ini adalah penting kerana hanya diri sahaja yang dapat mengawal dan menstabilkan pengambilan makanan serta latihan agar diet akan menjadi lebih efektif. Oleh yang demikian, saya sendiri tidak terlalu mengamalkan jadual yang ketat kerana saya telah mengetahui sejauh mana tubuh badan saya dapat bekerja. Maka tidak susah jika saya teringin untuk menikmati makanan yang tinggi gula seperti kek dan minuman bergula kerana saya tahu bagaimana untuk menstabilkannya semula.

MASKULIN : INSPIRASI?

Mengambil inspirasi daripada nama besar seperti Dwayne Johnson atau lebih dikenali sebagai The Rock, saya amat mengagumi dirinya yang berjaya di dalam arena gusti dan bekerja keras untuk mengekalkan bentuk badannya meski sibuk dengan pelbagai tugasan serta kerjaya. Menjadikannya sebagai ikon dalam mencetuskan inspirasi untuk saya juga berjaya, dia menjadi sandaran tatkala melihat gaya hidup dan pencapaian yang dimilikinya sehingga kini.

MASKULIN : BERIKAN SEDIKIT NASIHAT UNTUK MEREKA YANG BARU NAK BERJINAK-JINAK DALAM DUNIA KECERGASAN?

Penting untuk memiliki ilmu yang cukup untuk memulakan langkah diet dan berlatih di gim. Ini adalah kerana supaya latihan dan diet yang dilakukan akan lebih efektif dan optimis. Sebaiknya dapatkan khidmat nasihat dan latihan daripada jurulatih profesional kerana jika tidak proses untuk mencapai target sasaran akan memakan masa yang lama disebabkan oleh proses pembelajaran sendiri yang tidak efisien. Diet pemakanan dan latihan perlulah datang seiring agar keseimbangan dan momentum dalam mencapai tubuh badan yang fit akan konsisten. Tidak perlu mengambil masa yang lama untuk ‘work out’ di gim. Cukup sekadar 45 minit atau satu jam sehari dan peruntukan empat atau lima kali dalam seminggu.

Gambar : Instagram Kit Mah

Published by
Kim Rahim